LETUPAN SEBENAR, BUKAN CGI! CHELOT Tampil Dengan Aksi Lebih Realistik di Pawagam Akan Datang!

Wednesday, 29 July 2026

Dalam dunia perfileman hari ini, penggunaan Computer-Generated Imagery (CGI) sering menjadi pilihan untuk menghasilkan babak aksi berskala besar. Namun bagi filem aksi thriller CHELOT, produksi memilih pendekatan berbeza dengan menggunakan letupan sebenar dalam sebanyak mungkin babak aksi bagi menghadirkan visual yang lebih autentik dan meyakinkan di layar perak. 

Menerusi perkongsian di media sosial, pihak produksi mendedahkan bahawa letupan yang dipaparkan dalam bahan promosi CHELOT bukanlah hasil suntingan CGI, sebaliknya dilaksanakan secara nyata dengan perancangan yang teliti sepanjang penggambaran. Pendekatan ini membolehkan setiap babak aksi tampil dengan impak yang lebih kuat, sekali gus menghidangkan debaran yang dapat dirasai sendiri oleh penonton. 

Pendekatan tersebut turut mencerminkan amalan yang masih menjadi pilihan sebahagian pembikin filem antarabangsa, yang mengutamakan penggunaan letupan dan kesan khas sebenar bagi menghasilkan aksi yang lebih autentik serta meyakinkan. 

Bagi merealisasikan skala aksi yang diinginkan, CHELOT menjalani penggambaran di beberapa lokasi yang menawarkan latar berbeza, termasuk Makmal MARDI Terbiar di Semenyih, Campbell Shopping Complex dan Kampung Bukit Manchong, Rawang. Setiap lokasi dipilih bagi menyokong penceritaan serta memperkukuhkan suasana yang ingin dibawa dalam filem ini. 

Produksi turut mendapat sokongan penuh daripada Unit Tindak Khas (UTK) sepanjang penggambaran, khususnya bagi menjayakan babak-babak aksi yang memerlukan koordinasi rapi serta pematuhan aspek keselamatan. 

Komitmen tinggi seluruh pasukan produksi turut terserlah menerusi salah satu babak aksi yang dirakam dalam satu pengambilan (one-take). Babak yang menggabungkan aksi dan letupan sebenar itu menuntut ketelitian, koordinasi serta ketahanan fizikal yang tinggi daripada pelakon dan kru. Akibat intensiti penggambaran, beberapa daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan ringan ketika menjayakan babak berkenaan, sekali gus membuktikan kesungguhan pasukan produksi dalam menghasilkan aksi yang benar-benar meyakinkan di layar perak. 

Primeworks Studios, selaku Rakan Pemasaran bagi CHELOT, membawakan karya aksi terbaharu arahan Adrian Teh yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 Ogos 2026. Menampilkan barisan pelakon ternama termasuk Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani dan Theeban G, filem ini mengangkat kisah penuh mendebarkan tentang keberanian, pengorbanan serta pertarungan sengit antara keadilan dan dunia jenayah yang dipenuhi muslihat. 

Kongsikan keterujaan anda menggunakan tanda pagar #CHELOT dan ikuti kami di Facebook, Instagram, X serta YouTube Primeworks Studios untuk mendapatkan perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan pelbagai aktiviti menarik berkaitan CHELOT. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.