FILEM FENOMENA JEPUN “KOKUHO” DIRAIKAN DALAM TAYANGAN MEDIA EKSKLUSIF DI MALAYSIA | DARI YAKUZA KE PENTAS KABUKI, TAKDIR DUA JIWA TERPISAH LATAR BELAKANG
Kuala Lumpur, 21 Julai 2026 – Filem pecah panggung Jepun KOKUHO, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 23 Julai 2026. Sehubungan itu, 8TV dengan kerjasama Primeworks Studios menganjurkan majlis Tayangan Media eksklusif pada 21 Julai. Acara tersebut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 200 tetamu jemputan terdiri wakil media, peminat filem, pencipta kandungan serta selebriti tempatan, sekali gus menjadi antara individu terawal menyaksikan karya dari Jepun ini yang mencuri perhatian di peringkat antarabangsa.
Diadaptasi daripada novel terkenal karya Shuichi Yoshida dan diarahkan oleh Lee Sang-il, filem berdurasi 175 minit ini mengangkat tema pengorbanan, cita-cita dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam mengejar kesempurnaan seni. Dalam pada itu, KOKUHO juga berjaya memikat hati dengan membawa penonton menyelami keindahan seni Kabuki melalui rekaan pentas hebat, kostum yang direka teliti selain persembahan yang menyentuh jiwa.
KOKUHO mengisahkan Kikuo (Ryo Yoshizawa), merupakan anak daripada keluarga yakuza yang kehidupannya berubah secara drastik ekoran sebuah tragedi membawanya ke dalam dunia Kabuki. Di situ, dia bertemu Shunsuke (Ryusei Yokohama), pewaris keluarga bangsawan Kabuki. Meskipun datang daripada latar belakang berbeza, kedua-duanya menelusuri jalan seni yang sama. Kikuo didorong oleh bakat semula jadi yang luar biasa, manakala Shunsuke pula menggalas warisan serta harapan besar keluarganya. Daripada persaingan akhirnya bertukar menjadi rasa hormat dan persahabatan, pentas Kabuki menjadi latar kepada sebuah kisah yang penuh emosi tentang impian, kecekalan dan warisan seni.
Bagi menjiwai watak dengan berkesan, pelakon utama Ryo Yoshizawa dan Ryusei Yokohama, menjalani latihan Kabuki secara intensif selama 18 bulan demi memperhalusi setiap pergerakan, isyarat tubuh dan ekspresi mereka, terutamanya peranan Onnagata iaitu pelakon lelaki yang menghidupkan watak wanita. Keserasian serta komitmen luar biasa mereka bukan sahaja meraih pujian ramai malah menjadi daya tarikan terkuat filem ini.
Selain dua bintang utamanya, filem ini turut diperhebat dengan barisan pelakon terkemuka seperti Mitsuki Takahata, Shinobu Terajima, Nana Mori, Takahiro Miura, Ai Mikami, Soya Kurokawa, Keitatsu Koshiyama, Masatoshi Nagase, Kyusaku Shimada, Emma Miyazawa, Ganjiro Nakamura, Min Tanaka, dan Ken Watanabe. Gabungan mantap para pelakon memberi kedalaman emosi yang luar biasa kepada jalan cerita, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan KOKUHO sebagai antara filem Jepun terbaik setakat ini.
Acara tayangan eksklusif pada malam itu turut disemarakkan dengan persembahan secara langsung lagu tema filem bertajuk Luminance. Menyerikan lagi suasana kebudayaan Jepun, para tetamu tampil berbusana gaya Jepun menerusi Pertandingan Busana Terbaik. Pemenang bertuah membawa pulang hadiah tunai RM500 bersama barangan eksklusif sumbangan SENKA by FineToday.
Bagi meneruskan kehangatan filem ini, 8TV bakal menganjurkan sesi perkongsian khas bertajuk "Inside Storytelling: From Idea to the Screen, From Story to Audience" pada 22 Julai, jam 10:30 pagi di Universiti SEGi. Pengisian ini menampilkan pengarah filem Malaysia yang pernah memenangi anugerah antarabangsa Edmund Yeo, ditemani Ketua 8TV, Wong Yee Lee serta Brandon Chew sebagai moderator. Wacana yang terbuka kepada umum ini akan mengupas topik penceritaan, pembangunan kandungan dan penerbitan filem, di samping berkongsi pandangan berharga mengenai proses kreatif.
Dibawakan oleh Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran di Malaysia, KOKUHO akan mula ditayangkan di pawagam terpilih di seluruh negara mulai 23 Julai 2026.
Untuk perkembangan terkini mengenai KOKUHO, sila ikuti platform rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube, atau ikuti laman Facebook rasmi 8TV (@8TVbadukongjian), Instagram (@8tvmalaysia), dan akaun Xiaohongshu (@8tvmalaysia).




Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.