Iced Matcha Latte, Slowork Coffee & Matcha, Ara Damansara

Wednesday, 16 July 2025


Kawasan Ara Damansara dah makin meriah dengan cafe dan restoran baru. Lepas makan tengahari dekat Wartek, kitorang singgah beli matcha dekat Slowork Coffee & Matcha. Restoran ni baru buka mungkin dalam tahun lepas sebab dah lama tak makan dekat sini. 

Kalau Jumaat kitorang prefer dekat kawasan Oasis Square je sebab tak rushing nak balik, lagipun parking pun senang. Dekat sini kena pusing few times kalau datang masa lunch hour sebab dekat dengan Chinese food court. Tapi masa ni kitorang lunch dah lambat, nak dekat pukul 2 dah so senang la sikit dapat parking. 


Restoran Slowork buka dari jam 11 pagi sampai 9 malam. Restoran ni kecil je tapi selesa. Dekat sini ada menu makanan Penang macam mi udang, nasi lemak, laksa Thai, mi Jawa, creamy salted egg, chicken chop, carbonara, cendol macam tu. I tak tengok beria pun menu dia sebab motif utama pergi Slowork sebab nak beli Iced Matcha Latte je. Sementara tunggu order siap, usha itu ini sebab restoran baru. 




Dekat sini ada kek juga tapi gaya dia macam menu tu tak fix, mungkin berubah ikut mood Slowork. Tapi ni cuma teori rambang yang entah betul entah tidak. 




And it's doneeeeee! Rasa matcha dia sedap je, tak clumpy sebab dia dah whisk lama. Mungkin sebab tu nama dia Slowork sebab nak whisk matcha supaya bancuhan jadi cantik. Kalau ada mood nak try lagi I akan try tapi memandangkan ZUS dah ada matcha so I guess maybe next time sebab harga RM14 satu cup. For me, harga dia mahal sikit compared to ZUS sebab cup dia kecik nyah. 

In case you guys nak try, boleh waze alamat Slowork ni 53 Jalan PJU 1a/42, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor. Tel. : 012-590 3273

Minggu keempat Raise The Star Malaysia yang membawa tema “#Throwback” menyaksikan giliran Rayme merampas kedudukan tempat pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 74.02%, diikuti oleh Zury (68.24%) dan Scha Nuril (68.23%), sekaligus meletakkan diri mereka dalam kedudukan The Five Bersama-sama dengan Hariz Fayahet (62.40%) dan Pasya (61.22%). 

Pentas minggu ini juga turut menyaksikan keseluruhan markah terendah buat Ayiena (46.56%) dan Maria Effendi (42.49%), lantas disingkirkan daripada pertandingan. Selain itu, Melinda Dadew sekali lagi berjaya merangkul anugerah Gempak Star On Fire untuk konsert minggu keempat. 

SENARAI LAGU

Zuana: Bleeding Love - Leonna Lewis (56.15%)

Ayiena: Janji Manismu - Dato’ Aishah (46.56%)

Hariz Fayahet: Di Alam Fana Cintamu - Fotograf (62.40%)

Keka: Hush Hush: Hush Hush - The Pussycat Dolls (58.61%)

Melinda Dadew: Hanya Kau Yang Mampu - Aizat Amdan (52.39%)

Maria Effendi: Mengintai Dari Tirai Kamar - Exists (42.49%)

Alif Amie: Hapus Aku - Nidji (51.70%)

Sharee Lopes: Sangkar Cinta - Ziana Zain (56.72%)

Rayme: Poco Poco - Yopie Latul (74.02%)

Scha Nuril:Don't Speak - No Doubt (68.23%)

Max Brandon: Seribu Impian - Casey (51.62%)

Zury - Sekelip Mata Kau Berubah - Lestari (68.62%)

Pasya: Bintang - Budak Kaca Mata (61.22%)

Darling: Di Persimpangan Dilema - Datuk Nora Ariffin (50.44%)

Didie Shazry: Percayalah - Dato’ Sri Siti Nurhaliza (58.30%)

Aril Eles: Mencintaimu - Kris Dayanti (58.75%)

INFO PROGRAM RAISE THE STAR MALAYSIA

• Penjurian Raise The Star Malaysia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemarkahan komposer (juri) dan undian pihak umum.

• Para peserta akan diadili oleh komposer berdasarkan persembahan dengan markah penjurian sebanyak 80%, manakala undian pihak umum pula menyumbang kepada 20%.

• ‘Slay Meter’ adalah sistem kedudukan (ranking) yang diberikan oleh para juri berdasarkan persembahan para bintang. Bintang yang mendapat 5 slay akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dari pihak penaja.

• ‘Raise The Star’ disokong oleh QSR Brands (KFC) dan UMobile selaku Penaja Utama.

• Peserta dengan kedudukan paling bawah akan tersingkir dari pertandingan.

Saksikan Raise The Star Malaysia di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

Dua figura unggul dalam muzik Malaysia, Aina Abdul dan Ernie Zakri, kini berentap di pentas berprestij Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025). Bukan sekadar satu, kedua-duanya mencatat pencalonan berganda, dalam kategori Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat serta Selebriti Ikon Terhangat Dikuasai Samsung Galaxy.

Namun, ini bukan sekadar soal pencalonan. Ia adalah pertembungan dua figura wanita berpengaruh dalam muzik tanah air, masing-masing tampil dengan gaya, suara dan identiti seni yang tersendiri. Aina Abdul dan Ernie Zakri bukan sahaja mencuri perhatian menerusi karya dan persembahan, malah disokong peminat setia yang menjadikan persaingan ini antara yang paling hangat di AMT2025.

Aina Abdul sinonim dengan persembahan luar kotak, fesyen berani, dan vokal memukau yang meninggalkan impak. Dari Sepi ke Terus Hidup, setiap kemunculannya di pentas besar hadir dengan jiwa dan cerita yang mendalam. Persembahannya di Anugerah Juara Lagu (AJL) sering trending dan menjadi bualan hangat, membuktikan bahawa Aina bukan sekadar penyanyi, tetapi satu pengalaman yang meninggalkan kesan.

Di sisi lain, Ernie Zakri memancarkan keanggunan klasik yang tenang namun mengagumkan, membuktikan bahawa penampilan minimalis tidak pernah mengurangkan impak vokalnya. Dengan kejelasan suara, kawalan teknik yang mantap, dan karisma semula jadi, Ernie terus menawan hati pendengar pelbagai generasi. Suaranya sering digambarkan seperti petikan biola, lembut, halus, namun cukup meruntun jiwa.

Aina dan Ernie bukan sekadar pencabar dalam industri, malah sahabat yang sering menunjukkan sokongan terbuka antara satu sama lain. Namun, di pentas AMT2025, persahabatan itu bakal diuji apabila hanya satu akan dinobatkan sebagai diva sebenar. Dilema ini membahagikan peminat, masing-masing lantang mempertahankan idola mereka, kerana walaupun kedua-duanya layak, hanya satu yang akan membawa pulang trofi berprestij itu.

Pertarungan sengit antara dua bintang dengan pengaruh besar dan sokongan peminat yang luar biasa. Aina tampil dengan aura misteri dan dramatik, manakala Ernie memukau dengan vokal halus dan gaya bersahaja. Dua gaya berbeza, satu matlamat dan pemenangnya ditentukan 100% oleh undian anda. Undian kini dibuka, jadi jangan lupa untuk undi penyanyi kegemaran anda sekarang!

Untuk mengundi, peminat hanya perlu melayari laman rasmi di www.tonton.com.my/anugerahmeloditerhangat atau muat turun aplikasi Tonton di telefon pintar. Daftar akaun Tonton anda dan langgan pelan TontonUP untuk membuka akses undian, langganan selama 1 bulan akan memberikan anda 500 undian, manakala langganan selama 3 bulan pula melayakkan anda menerima sehingga 2,500 undian, semudah itu sahaja!

Untuk info lanjut tentang barisan selebriti yang akan turut serta, aktiviti lokasi dan kejutan yang menanti, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @MelodiTV3. 

Get ready, Malaysia!  Angkat tangan anda, wahai K-drama addicts dan K-pop fan sekalian!  Buat pertama kalinya, bintang Korea paling stylish dan penuh misteri, Lee Soo-hyuk, bakal menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur – dan anda boleh melihatnya secara langsung, depan mata!

Tonton, platform penstriman No.1 negara, dengan bangga membawakan Lee Soo-hyuk LIVE di Pavilion Kuala Lumpur pada 16 Julai 2025 (Rabu) – sempena pelancaran eksklusif drama thriller Korea terbaharu, ‘S LINE’, yang kini sedang hangat ditayangkan secara serentak dengan Korea hanya di Tonton.

Kehadiran aktor kacak ini ke Malaysia bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi merupakan sebahagian daripada pelancaran drama thriller misteri fantasi yang kini mencetus fenomena di seluruh Asia.  ‘S LINE’,  boleh distrim secara eksklusif dan simulcast dengan Korea, bermula 11 Julai 2025, setiap Jumaat, jam 10 malam - membolehkan penonton Malaysia menontonnya pada hari yang sama dengan Korea, tanpa sebarang penantian!

Oppa Di Depan Mata Anda!  Ini Bukan Fantasi!

Temui Detektif Paling Kacak Lee Soo-hyuk LIVE di Pavilion KL!

Dikenali dengan wajah tajam, gaya ikonik  dan aura penuh misteri, Lee Soo-hyuk bukan sekadar pelakon – dia adalah ikon fesyen, model antarabangsa dan antara figura paling digilai dalam dunia K-Drama. Kini, peminat di Malaysia berpeluang menyaksikan kehadiran oppa paling cool ini secara LIVE!

Saksikan aura dan karisma detektif paling misteri ini di depan mata anda sendiri – hanya di Galaxy Unfolds Roadshow, hasil kolaborasi hebat antara TV3, Tonton dan Samsung Malaysia.

Acara eksklusif ini bakal berlangsung di Concourse Utama, Pavilion Kuala Lumpur pada 16 Julai, dari 3.30 petang hingga 7.30 malam.  Peminat berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi interaksi bersama Lee Soo-hyuk, persembahan istimewa, serta sesi foto eksklusif bersama sembilan peminat bertuah yang telah memenangi peraduan di platform media sosial Samsung Malaysia! Dari skrin ke dunia nyata – inilah detik yang wajib disertai oleh setiap pencinta K-Drama! 

Sebagai pembuka tirai kepada kemunculannya di Malaysia, para peminat juga boleh meraikan dan menyaksikan ketibaan Lee Soo-hyuk di KLIA1 pada 15 Julai, jam 4.50 petang, dengan liputan eksklusif di platform digital TV3 dan Tonton.

Strim ‘S LINE’ Sekarang dan Jumpa Oppa LIVE!

Jangan lepaskan peluang untuk jadi sebahagian daripada kegilaan K-Drama ini! Strim ‘S LINE’ sekarang di Tonton, dan bersiap sedia untuk bertemu Lee Soo-hyuk secara LIVE di Pavilion KL. Muat turun aplikasi Tonton atau layari www.tonton.com.my sekarang!

Movie Review | The Hunger Games (2012)

Sunday, 13 July 2025


Pengarah: Gary Ross
Penulis Skrip:  Gary Ross, Suzanne Collins, Billy Ray
Pelakon: Jennifer Lawrence, Josh Hutcherson, Liam Hemsworth, Woody Harrelson, Elizabeth Banks, Lenny Kravitz, Stanley Tucci, Donald Sutherland  
Syarikat Produksi: Color Force   
Pengedar: Lionsgate, Netflix 
Genre: Thriller / Action
Durasi Tayangan: 143 minit
Tarikh Tayangan: 12 Mac 2012 (Nokia Theatre), 23 March 2012 (United States)
Trailer:


Panem merupakan sebuah negara dystopia yang dibahagikan kepada 13 daerah dan Capitol menjadi pusat bandar yang menjaga kesemua daerah. Capitol juga menjadi tempat di mana rakyat kelas atasan ditempatkan dengan kehidupan serba mewah sementara daerah lain dibiarkan hidup dalam kemiskinan. Setiap daerah mempunyai sumber yang tersendiri dan semua penduduk dikerah untuk bekerja mengutip hasil sumber tersbut untuk diserahkan kepada Capitol. Disebabkan itu juga, setiap daerah mempunyai identiti dan budaya yang berbeza. 


Kesemua 13 daerah pernah memberontak untuk ketidakadilan Capitol lalu Daerah 13 dimusnahkan dan dibiarkan sebagai tanda peringatan kepada daerah-daerah lain. Sebagai memperingati pemberontakan tersebut, setiap tahun Capitol akan menganjurkan The Hunger Games di mana setiap daerah akan menghantar seorang wakil lelaki dan seorang wakil perempuan di antara umur 12 hingga ke 18 tahun secara undian. 

Dari 24 orang peserta hanya seorang sahaja akan diangkat sebagai pemenang dalam arena yang kejam tersebut. Tak semua akan mati dibunuh dalam pertarungan tapi kerana beberapa ‘ujian’ yang dimasukkan oleh Gamemakers. Setiap pergerakan dan perbualan sepanjang The Hunger Games dirakam dan ditayangkan secara langsung di seluruh Panem. 


‘Happy Hunger Games! And may the odds ever be in your favor.’

Bila nama Primrose Everdeen (Willow Shields) dipilih sebagai wakil Daerah 12 untuk The Hunger Games ke-74, Katniss Everdeen (Jennifer Lawrence) minta digantikan secara sukarela. Katniss bersama wakil lelaki, Peeta Mellark (Josh Hutcherson) dilatih oleh Haymitch Abernathy (Woody Harrelson) dan diiringi oleh Effie Trinket (Elizabeth Banks) sepanjang persiapan mereka di Capitol.

Masa filem The Hunger Games arahan Gary Ross diterbitkan pada tahun 2012, I antara yang follow franchise yang sarat dengan mesej sosial tentang negara dystopia. Fast forward to this weekend, I’ve decided to watch this franchise again. I barely remembered any scene from The Hunger Games franchise except meme Katniss volunteered dengan babak happy ending dalam warna kegemaran Peeta. *I hope this is not a spoiler since everyone already watched this franchise*


Filem The Hunger Games merupakan adaptasi dari novel bersiri The Hunger Games karya nukilan Suzanne Collins, yang juga menjadi penulis skrip untuk filem. Kalau novel diangkat menjadi filem, dah tentulah ada banyak part yang tak dimasukkan untuk menjaga durasi masa. But still penceritaan The Hunger Games menarik dari segi konsep yang digunakan, tema penindasan, satira dunia kapitalis juga perkembangan watak-watak yang dimasukkan. 

First half The Hunger Games, penulis perkenalkan Panem, permainan The Hunger Games dan juga watak-watak utama. Dialog yang dimasukkan digunakan untuk perjelaskan kebanyakan situasi. Pace penceritaan juga bergerak secara sederhana sebab ada banyak info yang dimasukkan untuk audience betul-betul faham instalment pertama The Hunger Games. 


Babak aksi cuma sub-genre dan digunakan dalam second half ketika The Hunger Games bermula sebab watak Katniss dan Peeta lebih banyak guna strategi bertahan dari menyerang. Babak awal di arena guna pace yang laju untuk menceritakan nasib kesemua peserta The Hunger Games ke-74. Dalam masa 8 jam dah ada 13 peserta terkorban.

Kalau ada yang kata The Hunger Games macam Battle Royale tak juga sebab pembunuhan tu tak kejam pun. Visual yang dimasukkan tersangatlah minima, mungkin untuk jaga rating tontonan supaya berjaya cari fanbase sebanyak yang mungkin supaya kontrak untuk sekuel seterusnya terjamin. But still rasa kasihan dan kejam tu tetap ada bila setiap peserta mati dibunuh. Yang membunuh pun tak ada pilihan sebab masing-masing nak survive dekat situ. Wujudnya watak Rue untuk tambahkan impak pada elemen dramatik dan kuatkan karakter Katniss untuk menentang Gamemakers.


Sinematografi Tom Stern menggunakan landskap alam semulajadi di North Carolina sebagai arena pertarungan tersebut. Penggunaan visual effects juga banyak untuk hidupkan elemen futuristik dalam filem The Hunger Games. The transition a bit old fashion tapi justifiable lah sebab dibikin pada tahun 2012. Kebanyakan babak pun bergegar sebab masa ni teknik tu tengah popular. 

Love angle antara Katniss Everdeen dan Peeta Mellark dah terbentuk sejak Reaping lagi, slowly penulis masukkan beberapa momen dengan pelbagai relationship tropes. Bermula dengan enemies to lovers bila Katniss mengamuk masa Peeta confess depan Caesar Flickman (Stanley Tucci) dan warga Capitol yang dia simpan perasaan pada Katniss. Mungkin juga cinta pandang pertama dari zaman sekolah lagi.


Kemudian Katniss dan Peeta muncul sebagai star-crossed lovers a.k.a fake relationship untuk raih penaja sepanjang The Hunger Games berlangsung. Dekat sini pun dah nampak yang relationship Katniss dan Peeta akan pergi jauh sebab warga Capitol akan pengaruhi corak permainan. Kemungkinan tu tak tinggi tapi bak kata Snow (Donald Sutherland), harapan lebih berbahaya dari rasa takut. Of course, the classic one – cinta tiga segi antara Katniss, Peeta dan Gale (Liam Hemsworth). 

Perjalanan Katniss dan Peeta sedikit sebanyak menjadi analogi mudah untuk pemberontakan yang akan diceritakan di instalment akan datang. Walaupun kisah cinta tiga segi tak berapa kuat dalam instalment pertama tapi sedikit sebanyak mempengaruhi karakter Katniss. Mungkin dia bercinta dengan Gale sebab keadaan mereka sama tapi perspektif Peeta yang banyak ajar Katniss tentang sisi dan cara pemikiran yang lainnya. Mungkin watak Peeta nampak lemah bila dia sedar yang dia akan mati dengan mudah tapi most of the time dia realistik. 


Filem ni boleh kata pendek juga lah sebab tak banyak watak dapat ruang yang cukup untuk ceritakan keadaan masing-masing. Macam watak Astrid, Prim, Gale, Haymitch malah Rue. Kenapa Rue dari awal lagi tertarik untuk berkawan dengan Katniss pun tak faham. Kenapa Cinna pilih Katniss sebagai muse pun tak diceritakan sangat. Sebab Katniss ada pin Mockingjay? Cara pin Mockingjay sampai ke tangan Katniss macam a bit awkward and flat sebab dia beli dekat pasar. 

The other complaint I feel the need to put in here is the soundtrack Safe and Sound from Taylor Swift. Not a swiftie tapi lagu Safe and Sound tu ada lirik yang mendalam jadi tak sepatutnya diletakkan di credit scene. Lagu tu patut ada dalam filem juga sebagai penenang untuk Katniss. Mungkin patut letak masa babak Katniss tidur dalam gua dengan Peeta. 


Filem The Hunger Games antara naskhah yang akan terus jadi rujukan tentang penganiayaan pihak atasan terhadap kelas bawahan. Hidup dalam kehidupan tanpa pilihan, dan kalau ada pun cuma ilusi kapitalis supaya sentiasa tunduk pada penindas. 

1. Team Production +1, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.4/10

MENJADI AIRA & DIRA, CABARAN EMOSI TERBERAT UNTUK TRACIE SINIDOL

Saturday, 12 July 2025

MENJADI AIRA & DIRA, CABARAN EMOSI TERBERAT UNTUK TRACIE SINIDOL | Diburu Masa Silam, Terperangkap Dalam Cinta Yang Samar — Semuanya Dalam Hilang Dalam Rindu

“Mama…? Mak cik ni siapa?” Begitulah bermulanya kisah penuh misteri dalam drama baharu slot Samarinda TV3 yang mengangkat perjalanan seorang wanita merungkai kembali hidupnya, memori demi memori, untuk mencari kebenaran yang akhirnya menempatkannya dalam keadaan yang cukup mengelirukan.

Diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd serta diarahkan oleh Along Kamaludin, drama 20 episod ini menggandingkan Tracie Sinidol, Jazmy Juma, Qistina Rania dan Zarif Ghazzi dalam sebuah kisah cinta dan penebusan yang diapit pelbagai lapisan konflik. Penonton bakal dibawa menyelami dunia Aira Nadira yang penuh teka-teki dan pergelutan jiwa menerusi Hilang Dalam Rindu, yang akan bersiaran mulai 17 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton http://www.tonton.com.my .

Aira Nadira (Tracie Sinidol), yang kehilangan ingatan, cuba menjejaki semula masa lalunya. Dia tidak mengingati sepuluh tahun terakhir dalam hidupnya, dan lebih membingungkan, dia kini bergelar isteri kepada Nadim Eijaz (Jazmy Juma), lelaki yang langsung tidak menunjukkan sebarang kasih padanya.

Berlatarkan konflik rumah tangga, kisah Aira perlahan-lahan terungkap melalui serpihan memori, hubungan beracun dengan adik iparnya dan satu rahsia besar yang menjadikan perkahwinan itu berlaku bukan atas dasar cinta, tetapi agenda peribadi. Ketika benih cinta mula tumbuh dalam situasi yang serba kabur, Aira terpaksa berdepan dengan kebenaran paling pahit, dan harus memilih sama ada untuk bangkit menentang perkara yang membentuk lukanya sebelum ini, atau berdamai dan membuka lembaran baharu.

Siapa sebenarnya Aira yang dikenali orang ramai sebelum ini? Dan apakah yang telah dia lakukan hingga ramai membencinya, meskipun di saat paling rapuh, ketika dia tidak berupaya mengingati banyak benda?

Menurut pelakon utama, Tracie Sinidol, wataknya dalam drama ini benar-benar menguji kebolehan lakonannya. “Cabaran terbesar adalah untuk menjiwai Aira dalam dua versi yang berbeza. Saya perlu tukar emosi, bahasa tubuh dan intonasi berdasarkan siapa Aira ketika itu, sama ada sebelum atau selepas koma. Setiap emosi perlu dibezakan secara halus, sebab Aira sebelum ini penuh dengan kemarahan dan dendam, manakala Aira selepas koma pula kosong, lembut dan keliru. Secara keseluruhan, pengalaman ini sangat bermakna buat saya dan banyak ilmu yang saya bawa pulang dari set ini.”

Jangan ketinggalan menyaksikan Hilang Dalam Rindu yang akan bersiaran mulai minggu hadapan, kerana dalam setiap ingatan yang hilang, tersimpan rahsia yang belum terjawab.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

MELODI TERHANGAT SUPERSTAR TOUR GEGARKAN MALAYSIA!

Friday, 11 July 2025

MELODI TERHANGAT SUPERSTAR TOUR GEGARKAN MALAYSIA! | JOHOR, ANDA ADALAH LOKASI PERTAMA YANG BAKAL MERASAI KEHANGATAN JELAJAH INI! 

Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) turun padang khas untuk anda! Bukan sekadar sebuah malam penuh glamor, AMT2025 kini hadir lebih dekat dengan rakyat menerusi Melodi Terhangat Superstar Tour, satu jelajah eksklusif yang membawa barisan pencalonan AMT2025 kegemaran ramai terus ke tiga negeri utama untuk berkongsi kemeriahan dan vibe sebenar AMT2025 bersama peminat di seluruh negara!

Warga Johor, bersiap sedia! Anda merupakan lokasi pertama yang bakal merasai sendiri kehangatan Melodi Terhangat Superstar Tour! Pada esok hari, 12 Julai 2025, bertempat di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru akan menjadi tumpuan apabila barisan artis paling hangat seperti Sophia AlBarakbah, Alya Iman, Siti Elizad, Shiha Zikir, Amir Masdi, Puteri Khareeza dan Nadzmi Adhwa turun padang untuk sesi meet & greet bersama peminat. Jangan lepaskan peluang untuk ambil gambar bersama selebriti, rebut hadiah menarik, dan saksikan persembahan eksklusif secara langsung!

Tarikh & lokasi jelajah akan datang:

  • 19 Julai 2025 – AEON Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang
  • 26 Julai 2025 – Lokasi baharu akan diumumkan dalam masa terdekat

Kehadiran Melodi Terhangat Superstar Bus, bas eksklusif yang membawa barisan pencalonan AMT2025 dari Lembah Klang ke setiap lokasi jelajah. Sepanjang perjalanan, pelbagai aktiviti menarik seperti sesi karaoke, cabaran TikTok, dan rakaman kandungan eksklusif akan berlangsung dan semuanya disiarkan LIVE di TikTok TV3! Ini bukan sekadar sebuah bas, tetapi pentas hiburan digital bergerak yang sarat dengan vibe, interaksi dan kejutan sepanjang jalan.

Sebagai Penaja Bersama dan Rakan Kereta Rasmi AMT 2025, PROTON turut menghangatkan jelajah ini dengan kehadiran model terbaharu mereka, All-New PROTON X50. Pengunjung boleh melihat lebih dekat,dengan membuat pre-booking tempahan secara terus di lokasi jelajah. Lebih menarik, ini juga merupakan peluang keemasan untuk menyertai kempen Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar, di mana seorang pemenang bertuah bakal membawa pulang sebuah All-New PROTON X50 serba baharu!

Melodi Terhangat Superstar Tour bukan sekadar promosi anugerah, ia adalah perayaan budaya pop Malaysia secara langsung. Jelajah ini membuka peluang kepada peminat dari pelbagai negeri untuk merasai sendiri kehangatan dan kemeriahan AMT2025, tanpa perlu berada di ibu kota. Ia membawa vibe anugerah terus kepada peminat dan selebriti dalam satu pengalaman yang penuh warna dan penuh makna.

Untuk info lanjut tentang barisan selebriti yang akan turut serta, aktiviti lokasi dan kejutan yang menanti, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @MelodiTV3. Melodi Terhangat Superstar Tour membuktikan, bila pentas hiburan turun padang, rakyatlah yang jadi tumpuan!

ASTRO PERKENAL ‘MANDUL BUKAN PILIHAN’ & ‘THARIQ RIDZUWAN: HIS TREASURE’ SEBAGAI PEMBUKAI TIRAI ‘HOME OF DRAMA’ 2025 | Bermula dengan dua naskhah ini, Astro bakal tampil dengan deretan karya luar biasa sehingga hujung tahun

Sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab drama utama negara, Astro, syarikat kandungan dan hiburan terkemuka Malaysia, membuka tirai kempen ‘Home of Drama’ tahun ini dengan dua karya berprestij khas buat pencinta drama dan novel. Daripada novel bestselling hinggalah ke karya penulis terkenal dari Indonesia, Astro bakal tampil dengan drama sarat emosi Mandul Bukan Pilihan bermula 14 Julai, diikuti dengan Thariq Ridzuwan: His Treasure, sebuah kisah romantik penuh escapism pada minggu berikutnya. 

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, “Astro terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju kandungan tempatan premium dengan menyajikan pelbagai cerita yang penuh emosi, relevan dan dekat dengan penonton, mencetuskan perbualan serta mencerminkan isu-isu masyarakat sebenar. Menerusi kempen Home of Drama, kami ingin mengetengahkan drama-drama berkualiti tinggi yang bukan sahaja mencetuskan fenomena, malah membawa nilai impak sosial yang mendalam. Astro meraikan kepelbagaian penonton dengan pelbagai genre yang dekat di hati. Dari cinta, kekeluargaan hingga isu kehidupan, Home of Drama Astro ialah destinasi utama anda untuk karya tempatan yang bermutu dan bermakna. Ini hanyalah permulaan, dengan lebih banyak pelancaran drama dan aktiviti berfokuskan peminat bakal berlangsung, termasuk kemuncak kempen kami seterusnya pada bulan Ogos.

Kami memulakan kempen ini dengan dua naskhah hebat iaitu Mandul Bukan Pilihan, sebuah drama kekeluargaan yang sarat dengan mesej sosial, dan Thariq Ridzuwan: His Treasure, sebuah kisah romantik aksi yang diadaptasi daripada novel pemenang anugerah. 

Mandul Bukan Pilihan mengangkat suara wanita dan stigma masyarakat, manakala Thariq Ridzuwan: His Treasure menyentuh sisi gelap cinta dan dendam. Kedua-dua judul ini menjadi pembuka tirai kepada deretan karya menarik yang akan diteruskan sehingga hujung tahun seperti Rumah Tanpa Luka, Generasi Perfect 10, Jutawan Ekspres, Bride From The Past, Mutiara Dalam Debuan Kabus dan banyak lagi, memperlihatkan kekuatan penceritaan tempatan yang kami banggakan,” tambah Raqim. 

Ditulis oleh penulis skrip terkenal Indonesia yang berjaya menghasilkan pelbagai karya pecah panggung, Mandul Bukan Pilihan merupakan drama yang mengangkat isu infertiliti dalam kalangan pasangan muda. Berlatarkan perjanjian RM1 juta yang mengikat nasib rumah tangga mereka, pasangan ini terpaksa membuat keputusan yang mencabar norma, kepercayaan dan prinsip hidup. Drama ini membuka ruang perbincangan mengenai tekanan emosi dan stigma yang sering dipendam wanita. Dibintangi Mira Filzah, Hun Haqeem, Ayda Jebat dan Ashraf Muslim, ia turut diserikan dengan runut bunyi menyentuh hati nyanyian Misha Omar, Hael Husaini dan Nadeera Zaini.

Manakala Thariq Ridzuwan: His Treasure merupakan drama romantik yang mengangkat tema cinta, kesetiaan dan penebusan. Ia mengisahkan seorang anggota elit yang kembali demi menyelamatkan cinta pertamanya daripada perkahwinan paksa, mencetuskan konflik emosi dan ancaman dari masa silam. Diadaptasi daripada sensasi online dengan lebih 10 juta bacaan dan novel laris, drama arahan Eyra Rahman ini dibintangi Meerqeen, Qasrina Karim, Evertts Gomes dan ramai lagi. Lebih istimewa, ia turut menampilkan ALPHA, kumpulan lelaki pertama Astro, menerusi runut bunyi rasmi bertajuk ‘P. Ramlee dan Saloma’ dan juga Hael Husaini yang bertajuk ‘Alangkah’.

Astro turut bakal meneruskan momentum kempen ini pada Ogos menerusi ‘Hello KITA’, sebuah acara istimewa yang menghimpunkan barisan pelakon Thariq Ridzuwan: His Treasure, Mandul Bukan Pilihan dan barisan pelakon daripada drama-drama Astro yang lain. Peminat dan pelanggan Astro berpeluang bertemu selebriti kegemaran mereka serta menyertai aktiviti interaktif sebagai sebahagian daripada komitmen Astro dalam meraikan karya tempatan dan mengukuhkan hubungan dengan para penonton.

Mandul Bukan Pilihan dan Thariq Ridzuwan: His Treasure boleh disaksikan secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838. 

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

Info Drama ‘Mandul Bukan Pilihan’


Produksi : iFAME
Pengarah : Osman Ali
Penulis Skrip : Oka Aurora
Info siaran : Bermula 14 Julai 2025, setiap Isnin – Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104)

Sinopsis Penuh : 
Ketika Aldi melamar Billa pada usia muda, nenek Billa yang tegas, Zahra, memaksa mereka menandatangani perjanjian berat: jika Billa mandul dan Aldi menceraikannya, Aldi perlu membayar RM1 juta. Demi cinta, mereka akur. Lima tahun berlalu tanpa zuriat walaupun mencuba pelbagai rawatan termasuk IVF. Tekanan memuncak apabila Billa disahkan menghidap kanser dan sebagai usaha terakhir, dia meminta adik angkatnya, Farah, untuk membantunya. Namun, Farah mempunyai niat tersembunyi untuk merampas Aldi. Dalam masa yang sama, Billa semakin rapat dengan sahabat lamanya, Ben, seorang doktor yang menjadi tempat bergantung. Pertelingkahan, pengkhianatan dan dilema cinta menguji perkahwinan mereka, memaksa Billa dan Aldi memilih antara kesetiaan, pengorbanan dan erti sebenar sebuah keluarga.

Info Drama ‘Thariq Ridzuwan: His Treasure’


Produksi : MIG Production Sdn Bhd
Pengarah : Eyra Rahman
Info siaran : Bermula 23 Julai 2025, setiap Rabu & Khamis, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104)

Sinopsis Penuh : 
Thariq, seorang ejen elit, sanggup mempertaruhkan segalanya demi menyelamatkan Radwa, bekas kekasihnya yang dipaksa berkahwin oleh ibunya sendiri. Mereka akhirnya bersatu namun hubungan mereka diuji dengan cemburu, trauma silam, tekanan keluarga dan tragedi yang hampir meragut segalanya. Saat Radwa disahkan hamil, harapan kembali menyinar tetapi kemunculan lelaki misteri dari masa lalunya sekali lagi menguji cinta mereka. Dalam perjuangan melawan masa silam dan ancaman baharu, Thariq dan Radwa berpegang pada cinta demi melindungi keluarga mereka.