BLOOD BROTHERS BAWA AURA KEPALA NAGA KE AMT2025!

Thursday, 24 July 2025

BLOOD BROTHERS BAWA AURA KEPALA NAGA KE AMT2025! | Pertembungan Tiga Saudara: Sharnaaz vs Syafiq vs Zamarul

Blood Brothers masih belum reda disensasikan, naskhah penuh aksi dan emosi ini kini melangkah dari layar perak ke pentas anugerah. Barisan pelakonnya dilihat mendominasi kategori Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), apabila Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Zamarul Hisham berjaya menempatkan diri dalam Top 10. Ini sekali gus membuktikan bahawa pengaruh Blood Brothers masih membara dan terus mencuri perhatian sepanjang tahun ini.

Dulu berlawan di skrin, kini bersaing di carta undian! Dalam Blood Brothers, Sharnaaz dan Syafiq bergandingan sebagai ‘bodyguard’ setia di sebalik sebuah organisasi gelap, manakala Zamarul pula tampil sebagai anggota polis yang lantang melabel mereka sebagai penyangak. Kali ini, mereka bertembung sekali lagi, bukan dalam adegan penuh ketegangan, tetapi dalam perebutan gelaran Selebriti Maskulin Terhangat AMT2025.

Tegas, berprinsip dan autentik, itulah Sharnaaz Ahmad atau lebih mesra dipanggil 'Mamu' dalam kalangan warganet. Namanya tidak asing dalam dunia lakonan, terutama menerusi watak-watak berat yang meninggalkan kesan. Setiap karakter yang dibawa dihidupkan dengan jiwa dan karisma yang mencerminkan keperibadiannya. Mungkinkah Sharnaaz Ahmad pilihan paling tepat untuk merebut gelaran Selebriti Maskulin Terhangat AMT2025?

Turut menjadi tumpuan ialah Syafiq Kyle, pelakon versatil yang tidak gentar mencabar diri. Daripada watak lelaki idaman hingga karakter penuh kompleks, setiap lakonan dihayatinya dengan mendalam sehingga mampu memukau penonton. Tahun ini, Syafiq kembali menggegarkan panggung menerusi Blood Brothers yang menyerlahkan kematangan lakonannya. Setelah sekian lama menyepi dari pentas kemenangan, mampukah Hero Malaya ini bangkit semula dan menewaskan pesaing-pesaingnya di AMT2025?

Jangan pandang sebelah mata! Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad, Zamarul Hisham kembali mencetus impak menerusi watak Ayah Abdul dalam drama Langit ke Tujuh, dengan aura dingin yang cukup menggerunkan. Tidak terhenti di situ, lakonannya sebagai DSP Adlin dalam Blood Brothers mengukuhkan lagi reputasinya sebagai pelakon berkaliber yang tetap relevan dan wajar diberi perhatian menjelang AMT2025.

Tiga nama besar, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Zamarul Hisham tampil dengan aura dan kekuatan tersendiri, bakal bersaing sengit merebut gelaran Selebriti Maskulin Terhangat di AMT2025 menentang barisan selebriti hebat seperti Fattah Amin, Remy Ishak, Dato’ Adi Putra, Datuk Rosyam Noor dan Faizal Hussein. Siapakah yang akan dinobatkan? Segalanya terletak di tangan peminat. Saksikan detik penentu pada 3 Ogos 2025 di pentas penuh prestij, AMT2025.

Untuk mengundi, peminat hanya perlu melayari laman rasmi di www.tonton.com.my/anugerahmeloditerhangat atau muat turun aplikasi Tonton di telefon pintar. Daftar akaun Tonton anda dan langgan pelan TontonUP untuk membuka akses undian, langganan selama 1 bulan akan memberikan anda 500 undian, manakala langganan selama 3 bulan pula melayakkan anda menerima sehingga 2,500 undian, semudah itu sahaja!

Untuk info lanjut tentang barisan selebriti yang akan turut serta, aktiviti lokasi dan kejutan yang menanti, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @MelodiTV3. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.