FILEM HASIL KERJASAMA PRODUKSI MALAYSIA–TAIWAN, ‘SAYANG’ BAKAL TEMUI PENONTON TAHUN 2026

Thursday, 3 July 2025

  • Daripada Pengarah filem pemenang anugerah, Jin Ong selaku Penerbit Eksekutif 
  • Membariskan pelakon Malaysia (Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad) & Taiwan (Lee Lee-Zen, Tang Yung-Hsu)
  • ‘Sayang’ adalah filem Malaysia pertama oleh pengarah dari Taiwan, Tang Hsiang-Chu

Filem hasil kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan iaitu  ‘Sayang’ baru sahaja menamatkan sesi penggambaran dan kini bersedia memasuki fasa pasca produksi. Filem yang dijadualkan menemui peminat pada tahun 2026 ini merupakan hasil arahan pemenang Anugerah Dokumentari Terbaik di Golden Horse Awards ke-39, Tang Hsiang-Chu, dan ini menyaksikan kali pertama pengarah dari Taiwan ini mengarahkan filem cereka.  


Projek ini melibatkan kerjasama antara syarikat produksi besar dari Malaysia dan Taiwan, termasuk Taiwan Creative Content Agency (TAICCA), Taipei Film Commission, Applause Entertainment Pvt. Ltd (Taiwan), Astro Shaw, Infinitus Entertainment, Hollymotion Venture, serta termasuklah pelabur persendirian seperti Vincent Ng Kok Yung, Desmond Ling Howe Ung, dan Yap Choon Kong. Filem ini turut diterbitkan bersama oleh More Entertainment Sdn. Bhd. (Malaysia) dan IS Entertainment CO., LTD. (Taiwan), dengan penerbit eksekutif Yeh Ju-Feng (Taiwan) dan Jin Ong, serta penerbit Nicole Teoh.

Sayang menghimpunkan lebih 100 tenaga produksi dan pelakon berbakat dari Malaysia, Taiwan, dan India. Antara pelakon yang terlibat ialah bintang dari Malaysia, Amir Ahnaf, Farah Ahmad, Khir Rahman, Mhia Farhana, Ong Ai Leng, Johnathan Lee, Tan Li Yang, Jo Kukathas dan Nandagopall serta pelakon Taiwan seperti Lee Lee-Zen dan bintang muda Taiwan, Tang Yung-Hsu

 

Filem ini memaparkan kisah tiga orang remaja dari latar belakang berbeza yang membesar di daerah Pantai Timur Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu. Penggambaran bermula pada bulan April lalu selama 40 hari di lokasi-lokasi sekitar Pantai Timur. 

Penerbit Eksekutif Jin Ong berkongsi tentang cabaran produksi yang dihadapi kerana kekurangan pengetahuan tentang geografi dan budaya setempat, namun rasa amat teruja kerana dapat mengetengahkan wajah Malaysia yang jarang ditampilkan di layar perak.


Skrip filem SAYANG telah mendapat pengiktirafan di  Excellent Screenplay Awards ke-44 [Kategori Khas] Anugerah Skrip Cemerlang ke-44 (Kategori Khas) daripada Biro Pembangunan Industri Audiovisual dan Muzik, Kementerian Kebudayaan Taiwan dan turut terpilih dalam Golden Horse Film Project Promotion (FPP) 2022. Proses praproduksi bagi filem ini mengambil tempoh lebih tiga tahun sebelum penggambaran dimulakan.

Pengarah Tang, yang memenangi Anugerah Dokumentari Terbaik di Golden Horse Awards ke-39 menerusi filem ‘How High Is the Mountain’, pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2000 semasa terlibat dalam filem ‘Summer Holiday’ sebagai juruteknik bunyi. Selepas itu, beliau kembali ke Malaysia lebih daripada 12 kali untuk kerja-kerja produksi lain dan kagum dengan Malaysia  yang mempunyai pelbagai kaum dan agama hidup dalam harmoni. Sebagai penggemar sejarah, budaya, dan kisah migrasi Malaysia, Tang menyifatkan negara ini sebagai kaya dengan khazanah seni untuk dokumentari, filem, novel, dan seni.


Inspirasi filem ini tercetus sewaktu beliau bekerja di Pantai Timur beberapa tahun dahulu, di mana beliau menyaksikan momen harmoni antara tiga kaum utama. Skripnya mula ditulis 13 tahun lalu, namun mula direalisasikan hanya pada tahun 2021, selepas bertemu penerbit Nicole Teoh. 

“Sayang bermaksud cinta, kasih sayang, dan kelembutan dalam Bahasa Melayu. Ada rakan mengatakan filem ini seperti surat cinta kepada Malaysia. Ada juga yang menyamakan semangat filem ini hampir dengan karya Allahyarham Yasmin Ahmad. Namun begitu, saya tidak berani menyamakan diri dengan karya-karya hebat Yasmin Ahmad. Subjek utama filem ini bertujuan membina kefahaman antara budaya.” – Director Tang Hsiang-Chu.

Jin Ong, yang terkenal dengan filem ‘Abang Adik’ kali ini bertindak sebagai Penerbit Eksekutif dalam filem Sayang. Beliau terinspirasi dengan skrip filem ini ketika di acara Golden Horse FPP 2022 dan bertekad membawa karya ini ke layar. Walaupun berdepan dengan kos produksi yang tinggi dan cabaran logistik, Jin menemui ketenangan dalam pemandangan indah sepanjang perjalanannya ke Pantai Timur, di mana ‘segala kesukaran terasa lebih ringan.’ Jin Ong berharap Sayang mampu membuka mata dunia kepada keindahan Pantai Timur kerana ia adalah permata tersembunyi.  

Sementara itu, pemasaran dan pengedaran filem ini di Malaysia akan digalas sepenuhnya oleh penerbit terkemuka Malaysia, Astro Shaw. Mewakili Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad iaitu Ketua Astro Shaw menyatakan, “Kami amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada projek ini kerana kami percaya pada Jin Ong dan visinya dalam mengangkat cerita-cerita Malaysia yang jujur, menyentuh perasaan dan mewakili jiwa masyarakat kita. Bagi kami, filem Sayang adalah lebih daripada sekadar filem kerana ia adalah cermin kepada budaya, bahasa dan semangat perpaduan yang menjadi nadi kekuatan negara ini. Dengan kerjasama antara produksi Malaysia dan Taiwan telah membuka ruang kepada pertukaran idea kreatif, dan menjadikan cerita ini lebih berlapis serta bermakna, di mana ia bukan sahaja untuk penonton lokal, tetapi juga untuk penonton luar.”


Penerbit Nicole Teoh mengakui bahawa cabaran terbesar dalam menghasilkan Sayang adalah sifatnya yang berbilang bahasa, budaya, dan agama. Gabungan pelakon dan kru dari pelbagai latar belakang memerlukan penelitian yang rapi agar setiap elemen budaya disampaikan secara autentik dan dengan penuh hormat. Kunci kejayaan produksi ini terletak pada keterbukaan dan komunikasi yang berterusan di antara semua yang terlibat di set. 

Ketua Pegawai Eksekutif More Entertainment, Patrick So, berkongsi bahawa Jin Ong telah meyakinkannya bahawa filem Sayang adalah sebuah filem untuk semua rakyat Malaysia. Menonton video teaser selama 7 minit membuatkan beliau tersentuh dan percaya filem ini mampu menyentuh hati penonton.

Tang Yung-Hsu, calon Pelakon Baharu Terbaik Anugerah Golden Horse, hadir ke Malaysia buat pertama kali untuk Sayang dan telah melalui pelbagai pengalaman baharu seperti mempelajari bahasa isyarat hingga berenang dan bermain gendang. Membawakan watak San San, seorang guru bahasa isyarat, Tang mengakui ia amat mencabar. Beliau turut menekankan perbezaan antara bahasa isyarat Taiwan dan Malaysia yang menambah cabaran lakonannya, namun memuji pasukan produksi atas bimbingan mereka. Selain itu lawatannya ke komuniti orang kelainan upaya, serta kuil tempatan membantu Tang memahami dunia San San dan menghidupkan wataknya. Malah pengalaman mengenali budaya lain telah membuatkan beliau jatuh cinta dengan makanan tempatan seperti lauk kari, nasi lemak dan nasi kerabu.

Tang juga amat terharu dapat berlakon sebagai anak kepada pelakon veteran Lee Lee-Zen, yang memberi sokongan dan pujian terhadap lakonannya sejak bekerjasama dalam filem ‘Salli’ sebelum ini. “Saya terkejut apabila seorang pelakon senior mengenali saya. Beliau sering menenangkan saya semasa adegan emosional. Dia benar-benar ambil berat seperti seorang ayah.”


Lee Lee-Zen membawakan watak penjaga sebuah kuil Cina kecil di tepi laut bersama isteri lakonannya, Ong Ai Leng. Walaupun terpaksa berulang-alik antara Malaysia dan Taiwan sebanyak tiga kali sebulan, namun, beliau tetap bersyukur dapat merasai pengalaman berharga tinggal bersama penduduk tempatan di Kelantan dan Terengganu, serta menikmati makanan tradisional. “Produksi ini menghimpunkan kaum Melayu, India, dan Cina. Kami kebanyakannya berkomunikasi dengan bahasa Inggeris, tetapi hasil kerjasama membuahkan hasil dalam matlamat yang sama. Ia pengalaman berbilang budaya yang benar-benar istimewa,” katanya.

Sayang turut menampilkan bakat antarabangsa terkenal, termasuk sinematografer dari India, Kartik Vijay (‘The Garden of Evening Mists’, ‘Abang Adik’) yang menerima pencalonan Anugerah Golden Horse untuk Sinematografi Terbaik. Manakala pereka bunyi tersohor Tu Duu-Chih mengetuai reka bentuk bunyi filem ini, dan kesan visual diketuai oleh Tomi-Kuo, pemenang Anugerah Golden Horse untuk ‘Detention’ dan ‘My Missing Valentine’.

Reka bentuk kostum pula dikendalikan oleh Elaine Ng, yang turut pernah dicalonkan terdahulu dalam kategori Reka Bentuk Kostum Terbaik di Anugerah Golden Horse menerusi ‘Abang Adi’k. Reka bentuk produksi diketuai oleh Soon Yong Chow dan pengarah muziknya ialah RYOTA Katayama, yang sebelum ini pernah menerima pengiktirafan di Anugerah Golden Horse dan Anugerah Golden Melody.

Nantikan filem ini yang akan menemui penonton pada tahun 2026.

1 comment

  1. Wahhh suatu kerjasama yang baik. Tahniah buat barisan pelakon

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.