Movie Review | Singsot: Siulan Kematian (2025)

Sunday, 27 July 2025


Pengarah: Wahyu Agung Prasetyo   
Penulis Skrip: Wahyu Agung Prasetyo 
Pelakon: Ardhana Jovin Aska Haryanto, Landung Simatupang, Jamaluddin Latif, Siti Fauziah, Sri Isworowati
Syarikat Produksi: Clockwork Films, Ravacana Films 
Pengedar: MD Pictures
Genre: Seram / Misteri  
Durasi Tayangan: 75 minit
Tarikh Tayangan: 13 Mac 2025 
Trailer:


Selalu kita dengar pesan orang tua pulang ke rumah sebelum Maghrib, jangan juga bersiul di waktu senja dikhuatiri akan diganggu oleh makhluk halus. Dua pesanan ini menjadi teras kepada filem Singsot: Siulan Kematian yang menyebabkan watak utama, Ipung (Ardhana Jovin Aska Haryanto) mula diganggu tanpa henti. Awalnya Ipung endahkan saja larangan neneknya, Mbah Wedok (Sri Isworowati) tapi sejak diganggu ketika tinggal di rumah bersendirian, Ipung mula ketakutan dan berhenti bersiul.
 
Tapi nasi dah pun jadi bubur kerana Ipung sering mengalami gangguan tidak kira siang ataupun malam. Bukan saja di rumah malah ketika berada di sekolah. Ipung segera meminta ampun kepada neneknya lalu perkara ini diceritakan kepada datuknya. Mbah Lanang (Landung Simatupang) yakin cucunya diganggu oleh roh Agus Pete (Jamaluddin Latif) yang terperangkap di alam sana. 


Selepas langar pantang larang hutan ketika mencari burung, Agus Pete dijumpai dalam keadaan yang ngeri. Walaupun doktor sahkan dia mengalami strok tapi orang kampung tahu apa yang terjadi. Sebelum Ipung, Agus Pete cuba untuk menjadikan Mbah Darmo (Teguh Mahesa) sebagai penggantinya di alam angker supaya dia boleh pulang tapi orang tua tersebut meninggal dunia kerana sakit jantung. 

Mbah Lanang bersama Mbah Manto (Fajar Suharno) pergi ke rumah Pakdhe Tirto (Alex Suhendra) untuk bertanyakan apa larang yang dilanggar oleh Agus Pete dan isterinya, Wiwik (Siti Fauziah) tapi Tirto enggan beri kerjasama. Akibatnya Ipung menjadi sasaran utama Wiwik dan Agus Pete untuk dihantar sebagai pengganti. 


Filem Singsot (Siulan) asalnya adalah filem pendek yang menceritakan tentang pantang larang bersiul di waktu senja. Setelah mendapat anugerah Filem Horor Terbaik di Taman Festival Bandung 2017 dan Film Terbaik Fiagra Horror Film Festival 2016, pengarah juga penulis, Wahyu Agung Prasetyo bawa ke layar perak dengan naskhah berdurasi 75 minit. 

Latar tempat dalam filem Singsot: Siulan Kematian iaitu Kampung Kertorangking terlihat misteri kerana kebanyakannya adalah warga emas dan kanak-kanak. Bukan saja Ipung yang tinggal bersama datuk dan nenek malah rakan-rakannya juga begitu. Sumber pendapatan utama kebanyakan keluarga juga tak jelas kerana kebanyakan rumah di situ membela burung untuk pertandingan. Mungkin ada yang memburu untuk dijual kepada orang luar tapi itu cuma andaian saja. 


Bila masuk second half baru nampak beberapa lelaki muda terperangkap dalam alam sana sama-sama dengan Agus Pete. Tapi kalau dah ramai yang menjadi mangsa kenapa orang kampung masih lagi mengamalkan hidup memburu burung? Mungkin ada simbolik tersendiri oleh masyarakat Jawa tapi disebabkan tiada penceritaan baik dari perbualan atau naratif, susah untuk kita kenal budaya masyarakat di kampung tersebut. Yang tak faham dengan filem Singsot dan budaya masyarakat kampung tu boleh baca dekat sini

Sembang pasal perjalanan kisah Ipung yang diganggu dengan Agus Pete pula macam tak berkait pun sebenarnya dengan pantang larang bersiul tu. Punca dia kena kacau bila dia adalah target mudah untuk pasangan suami isteri muda tu dapat apa yang mereka nak. Silapnya bila salah target sebab Mbah Lanang bukan sembarangan orang. 


Memandangkan naskhah Singsot membawa mesej sosial generasi lama untuk peringatan kepada generasi baru, sepatutnya perlu ada lebih banyak dialog antara watak-watak utama. Macam babak Mbak Wedok melarang Ipung bersiul patutnya beritahu kenapa orang tua melarang perbuatan tersebut. Babak Mbah Lanang marah Mbah Wedok buang sesuatu di sungai pun tak pasti apa bendanya dan kenapa isteri dia bertindak begitu.

Untuk elemen seram, Fahrul Tri Hikmawan berjaya mewujudkan suasana seram dan mengerikan dalam semua babak. Jumpscares yang dimasukkan buatkan kita tak senang duduk dan tertanya-tanya apa yang Ipung buat sampai diganggu sampai tahap macam tu. Masa tengok reaksi Mbah Lanang bila tahu Mbah Darma meninggal dunia macam ada something yang tak kena tapi tak tahu sama ada Mbah Lanang atau Ipung sendiri yang buat hal. Nak pula Ipung diganggu selepas datuk dia bagi permainan kayu berbentuk burung. 


Beberapa babak terlihat cantik dan kaya dengan budaya masyarakat Indonesia macam senibina rumah dan perabut kayu yang digunakan di rumah Ipung. Seronok tengok almari kayu dengan ukiran berseni. Babak Mbah Manto dan Mbah Lanang duduk berdua bersama burung di satu ruang terbuka pun terlihat aesthetic. Color grading dan pencahayaan yang cantik menambahkan lagi kekayaan visual filem Singsot: Siulan Kematian sebagai sebuah naskhah yang bermutu. 



Walaupun ada kelemahan dalam aspek-aspek tertentu tapi filem Singsot menarik untuk ditonton kerana lakonan Ardhana Jovin Aska Haryanto yang cemerlang walhal masih muda. Babak dalam bilik Mbah Wedok dengan ampaian tu seram. I puas hati tengok ending sebab memang layak sangat watak tu kena macam tu sebab buat masalah tapi tolak akibat tu dekat orang lain. Puas!

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 9/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.