‘ANGKASA’ – BALADA ROMANTIK PUISI DUA DUNIA OLEH KAEL

Monday, 21 July 2025

‘ANGKASA’ – BALADA ROMANTIK PUISI DUA DUNIA OLEH KAEL | Sentuhan Eksklusif Kael, Omar K dan Iqie Hugh

Penyanyi berbakat besar, Kael, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single keempatnya bersama Alternate Records berjudul ‘Angkasa’, sebuah karya balada pop moden yang menyentuh perasaan, hasil kolaborasi kreatif bersama komposer terkenal Omar K dan penerbit muzik berbakat, Iqie Hugh.

‘Angkasa’ bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah manifestasi emosi dua jiwa yang mencintai namun terpisah oleh realiti yang berbeza – ibarat siang dan malam yang berkongsi langit yang sama. Diilhamkan oleh konsep cinta dua dunia, ‘Angkasa’ merangkumi tema kesetiaan, harapan dan keindahan dalam ketidaksempurnaan.

“Mesej utama lagu ini adalah tentang kepercayaan terhadap cinta yang tulus walaupun berada dalam situasi yang tidak ideal. Jika cinta itu ikhlas dan kuat, mereka tetap bersatu secara emosi dan spiritual di ‘Angkasa’ yang sama,” jelas Omar K, yang turut mencipta melodi indah dan puitis lagu ini bersama Kael dan Iqie Hugh.

Keunikan ‘Angkasa’ terletak pada susunan muziknya yang minimal tetapi sarat emosi, membolehkan vokal Kael menyerlah dengan penuh nuansa. Melodinya yang tidak konvensional – lembut tetapi kuat, sedih namun penuh harapan, menambahkan elemen dramatik yang sinematik dan atmospherik. 

Dengan genre pop balada moden yang digabungkan dengan elemen elektronik minimal dan atmosferik, ‘Angkasa’ memberi rasa ‘ethereal’ yang melambangkan kebebasan emosi di langit luas. Lirik-lirik seperti : “Walau Bulan Dan Matahari Berbeza, Kau Pagi Dan Ku Malam, Tetap Di Angkasa Yang Sama…” menjadi puisi cinta moden yang mampu meresap ke jiwa pendengar.

Kael yang juga terlibat secara menyeluruh dalam penulisan, gubahan dan pembangunan visual untuk ‘Angkasa’ meluahkan rasa terharu. “Lagu ini sangat peribadi. Ia menonjolkan sisi saya yang sebenar dan paling tulen. Salah satu cabaran adalah untuk mencari perkataan yang tepat dari dalam hati sendiri dan membentuknya menjadi melodi yang puitis dan bermakna.”

Tambahnya lagi, ‘Angkasa’ merupakan sebuah lagu cinta paling romantis dalam zaman ini, dihasilkan dengan niat untuk menyentuh hati para pendengar. “Romantis itu tidak boleh dipalsukan. Lagu ini saya dedikasikan kepada semua pasangan, sahabat dan pencinta. Ia sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, ulang tahun, video istimewa, malah hanya untuk menyatakan betapa kita menghargai seseorang yang kita cintai.”

Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar tiga bulan, termasuk penulisan, susunan muzik dan rakaman vokal. Sesi rakaman vokal utama Kael pula hanya mengambil masa satu hari, hasil kerjasama yang cemerlang antara artis dan penerbit. Omar K mengakui Kael sebagai artis yang amat profesional, bersedia dan bersemangat tinggi ketika berada di studio.

Kael turut berharap ‘Angkasa’ dapat melangkah lebih jauh. “Saya berharap lagu ini menjadi kegemaran semua. Doakan agar Angkasa dapat menembusi ke negara jiran dan membawa nama seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya yang bersemangat melangkah lebih jauh sebagai seorang artis sejati.

Jangan lepaskan peluang untuk menyelami kisah cinta dalam ‘Angkasa’, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti YouTube Music dan Spotify. Kongsi lagu ini dengan insan tersayang, dan jadikan ia latar istimewa dalam detik-detik romantis anda.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.