Showing posts with label Alternate Records & Talents. Show all posts
Showing posts with label Alternate Records & Talents. Show all posts

‘SENYUM’, MESEJ HARAPAN DAN KEBANGKITAN KAEL DARI LUKA

Saturday, 29 August 2026

‘SENYUM’, MESEJ HARAPAN DAN KEBANGKITAN KAEL DARI LUKA | Sentuhan Soulful Kolaborasi Kael, Omar K, Adrianna Cinta & Shazriq Azeman

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2026 – Penyanyi berbakat besar Kael, kembali mewarnai persada muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Senyum. Terbitan Alternate Records, karya ini tampil dengan gabungan genre Pop dan R&B yang soulful, membawa mesej positif tentang keberanian untuk bangkit dan memilih kebahagiaan.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama antara Kael, Omar K, Adrianna Cinta dan Shazriq Azeman. Dari segi gaya dan susunan muzik, Senyum menonjolkan transisi serta sisi baharu Kael yang lebih segar menerusi penyampaian vokalnya dibawakan secara santai, namun tetap meletakkan penekanan kepada karakter serta emosi yang penuh. Bagi memastikan karya ini memberi impak yang mendalam, cabaran utama pembikinannya adalah melahirkan rasa healing selain memastikan gubahannya tidak kedengaran generic, melainkan mudah dinikmati oleh  pendengari di samping terselit mesej tersendiri.

Menerusi lagu ini, Kaelberhasrat mengajak para pendengar untuk keluar daripada kepompong rutin harian yang melelahkan serta memberi ruang kepada diri sendiri untuk bangkit dan bersinar semula. “Senyum turut menyelitkan persoalan reflektif seperti What Makes You Smile?, How Do You Smile?, dan What’s The Meaning Behind Your Smile? bagi mengingatkan masyarakat bahawa setiap senyuman membawa cerita dan makna yang berbeza.” katanya.

Pada akhirnya, lagu ini menjadi sebuah ajakan untuk menyebar tenaga positif, mendedahkan bahawa perubahan besar dan permulaan baharu dalam hidup boleh bermula daripada langkah yang paling sederhana. "Susah atau senang, suka atau tidak, duka atau tawar, kita masih mampu memberi peluang kepada diri kita untuk mencipta kebahagiaan. Kerana kadangkala, sebuah permulaan baru boleh bermula hanya dengan sebuah senyuman," tambah Kael.

Senyum hadir sebagai peringatan mesra bahawa setiap individu sentiasa mempunyai ruang untuk bermula semula. Menerusi frasa ajakan di dalam lagu Come Smile With Me, Kael berharap lagu ini dapat menjadi medium penyebaran tenaga positif buat masyarakat.

Lagu Senyum kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify dan Apple Music

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

DUKES HARGAI KESETIAAN PEMINAT HADIAHKAN SHOWCASE PERCUMA & UMUM KONSERT SOLO

Wednesday, 19 August 2026

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2026 – Sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang terkesan dengan pembatalan sebuah konsert yang sepatutnya berlangsung pada 16 Ogos lalu, kumpulan DUKES mengambil inisiatif untuk menganjurkan showcase percuma ‘Fan Appreciation Session’ di Drum Asia, Hartamas pada Ahad lalu, sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik kumpulan itu.

Keputusan untuk mengadakan sesi istimewa tersebut dibuat sejurus pengumuman pembatalan konsert oleh pihak penganjur. DUKES tersentuh melihat reaksi para peminat di media sosial yang meluahkan rasa kecewa kerana ramai telah membuat pelbagai persiapan lebih awal, termasuk membeli tiket penerbangan, menempah penginapan serta mengambil cuti semata-mata untuk hadir menyaksikan persembahan mereka.

Bagi DUKES, sokongan dan pengorbanan para peminat tidak boleh dipandang ringan. "Kami tahu ada yang datang dari jauh, ada yang sudah beli tiket penerbangan, tempah hotel dan ambil cuti. Kami rasa bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan mereka. Walaupun kami tidak mampu menggantikan konsert yang dibatalkan itu, kami mahu hari tersebut tetap menjadi kenangan yang bermakna buat semua." jelas DUKES dengan sepakat.

Tambah DUKES, “Keputusan untuk menganjurkan showcase ini dibuat dalam tempoh yang sangat singkat, kurang daripada seminggu selepas pengumuman pembatalan konsert. Walaupun masa persiapannya cukup terhad, kami tetap mahu memastikan peminat yang sudah merancang untuk datang tidak pulang dengan rasa kecewa. Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Drum Asia Hartamas, kerana sudi menaja lokasi dan memberikan kerjasama sehingga sesi ini dapat direalisasikan dalam masa yang singkat.”

Menerusi sesi eksklusif yang menghimpunkan hampir 300 peminat dari seluruh negara yang telah mendaftar lebih awal, DUKES menghadiahkan sebuah mini showcase secara percuma yang berlangsung selama kira-kira 90 minit.  Antara yang hadir termasuk peminat dari Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang serta beberapa negeri lain yang sanggup melakukan perjalanan jauh demi bertemu kumpulan itu.  

Persembahan yang bermula sekitar jam 4.00 petang itu, menyaksikan DUKES mempersembahkan 11 buah lagu, termasuk lagu-lagu popular dari album Irama Budak Bermimpi seperti Surat, Bila Kau Datang Menangis, Laila serta sebuah lagu cover yang turut mendapat sorakan hangat daripada para peminat.

Dalam masa sama, persembahan itu bukan sekadar nyanyian malah diselang-selikan perbualan santai bersama peminat serta apresiasi kepada pihak yang sentiasa berada di belakang DUKES sejak hari pertama.

Kemuncak acara menyaksikan DUKES membuat pengumuman rasmi konsert solo pertama mereka DUKES LIVE IN CONCERT 2026, yang bakal berlangsung pada 7 November 2026 di Odeon Kuala Lumpur, sekali gus menghadiahkan satu lagi khabar gembira yang sekian lama dinantikan oleh para peminat.

Selesai persembahan, DUKES mengajak semua peminat merakamkan gambar kenangan beramai-ramai sebelum turun dari pentas untuk menyantuni mereka menerusi sesi Meet & Greet yang berlangsung hampir satu jam.  Tanpa sebarang sekatan atau had masa, setiap peminat diberikan peluang bergambar, berbual dan berinteraksi secara peribadi dengan setiap anggota DUKES. Suasana yang cukup mesra itu menjadi antara momen paling bermakna buat peminat yang hadir.

Sesi yang berakhir sekitar jam 7.00 malam itu menyaksikan ramai peminat meluahkan rasa terharu dan berpuas hati dengan usaha DUKES yang sanggup menghadiahkan sebuah persembahan khas secara percuma sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.

Dalam perkembangan lain, DUKES turut berkongsi satu lagi berita menggembirakan apabila album sulung mereka, Irama Budak Bermimpi yang dilancarkan pada 26 Jun 2026, berjaya mencatat lebih satu juta penstriman di Spotify dalam tempoh kurang dua bulan.

Pencapaian tersebut diumumkan oleh kumpulan itu empat hari lalu menerusi media sosial rasmi mereka dan disifatkan sebagai satu lagi bukti sokongan luar biasa daripada para peminat terhadap karya-karya DUKES.

"Kami sangat bersyukur dengan setiap sokongan yang diberikan. Sama ada hadir ke persembahan kami ataupun mendengar lagu-lagu kami di platform penstriman, semuanya sangat bermakna buat kami. Satu juta penstriman ini bukan sekadar angka, tetapi bukti bahawa muzik Dukes semakin diterima ramai. Terima kasih kerana terus percaya dengan perjalanan kami," ujar DUKES.

Bagi DUKES, kejayaan sesebuah kumpulan bukan sekadar diukur melalui jumlah lagu atau konsert yang berjaya dijual, tetapi juga melalui hubungan yang dibina bersama peminat.

Fan Appreciation Session’ menjadi bukti buat DUKES, setiap peminat yang sentiasa menyokong mereka adalah sebahagian daripada perjalanan yang tidak ternilai.

Konsert solo DUKES LIVE IN CONCERT 2026 akan berlangsung pada 7 November 2026 di Odeon Kuala Lumpur, manakala maklumat jualan tiket rasmi akan diumumkan menerusi platform Loket pada 28 Ogos 2026.

Dalam masa yang sama, Beatus Live Sdn. Bhd. selaku penganjur konsert solo DUKES akan memastikan segala persiapan berjalan lancar bagi memberikan pengalaman konsert yang terbaik kepada para peminat.


DUKES LIVE IN CONCERT 2026
Tarikh: 7 November 2026
Masa: 8.00pm
Lokasi: Odeon Kuala Lumpur
Penganjur: Beatus Live Sdn. Bhd.
Laman Rasmi: www.malamiramadukes.com

Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket rasmi di platform Loket akan diumumkan pada 28 Ogos 2026 menerusi media sosial rasmi DUKES serta laman web www.malamiramadukes.com.

MARIAM SAIM JEJAKI “SEDIKIT CAHAYA”

Monday, 27 July 2026

MARIAM SAIM  JEJAKI “SEDIKIT CAHAYA” | MUZIK VIDEO MINIMALIS TAMPIL DRAMATIK & LUAHAN JIWA YANG MENDALAM

Kuala Lumpur, 27 Julai 2026 — Selepas berjaya mencuri perhatian menerusi pelbagai karya beremosi bermula daripada Bulan, Puaskah, hinggalah lagu ciptaan peribadinya Cinta Gila, penyanyi dan komposer berkaliber Mariam Saim kini kembali melangkah gagah dengan single terbaharu berjudul Sedikit Cahaya. Diterbitkan di bawah naungan Alternate Records & Talents, karya terbaharu ini turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi drama Tonton Originals, Neraka Yang Terhijab.

Hasil nukilan dan sentuhan komposer juga penulis lirik tersohor John Jeeves bersama Firdaus Rahmat, Sedikit Cahaya membawakan penceritaan emosi yang sangat mendalam. Lagu ini berkait rapat dengan jalan cerita watak heroin drama berkenaan yang menempuh pelbagai ujian hidup, dikhianati, terluka dan hilang arah, namun tetap gigih mencari sekelumit sinar harapan untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan.

“Bila saya hayati lagu ini, saya membayangkan diri saya sebagai watak heroin yang melalui pelbagai kegelapan. Menepati dengan tajuknya ‘Sedikit Cahaya’, kadang-kadang kita tak perlukan cahaya yang terlalu terang, cukup sedikit sahaja untuk memberi kekuatan meneruskan hidup sebagai lambang harapan,” luah Mariam.

Bagi Mariam, karya ini bukan sekadar sebuah lagu OST, malah membawa refleksi peribadi terhadap perjalanan seni beliau sendiri. Mengimbas kembali pengalaman melalui fasa Semifinal AJL40 menerusi lagu Puaskah, Mariam menyifatkan fasa tersebut mengajar beliau untuk sentiasa percaya bahawa setiap perjalanan ada hikmahnya dan setiap penantian ada waktunya.

“Semasa rakaman, saya bukan sekadar menyanyi sebagai Mariam atau watak dalam drama tetapi menyampaikan setiap lirik berdasarkan pengalaman dan harapan yang saya sendiri pernah rasakan. Sokongan keluarga, rakan-rakan, pasukan, pihak media dan peminat adalah antara penyumbang terbesar 'Sedikit Cahaya' dalam hidup saya,” tambah Mariam lagi.

Bekerjasama di bawah bimbingan John Jeeves dan Firdaus Rahmat di studio memberi ruang kepada Mariam untuk menonjolkan evolusi penyampaian vokal yang lebih matang. Berbanding hanya bersandarkan kekuatan vokal semata-mata, Mariam kini lebih menekankan aspek penceritaan dan luahan jiwa yang mampu menyentuh pelbagai sudut pandang pendengar, sama ada yang berkaitan dengan kehilangan, perjuangan hidup, mahupun impian.

Sentuhan Visual 'One Continuous Shot' Oleh Pengarah Boboy Jehori

Bagi melengkapkan perjalanan emosi lagu ini, muzik video (MV) Sedikit Cahaya mendapat sentuhan arahan kreatif Boboy Jehori. Menterjemahkan penceritaan visual daripada kegelapan menuju cahaya, MV ini menggunakan pendekatan minimalis dengan penataan warna tona gelap teal (biru kehijauan) yang mewakili kesunyian, sebelum bertukar kepada pencahayaan kuning sebagai simbolik harapan dan peluang kedua.

Menariknya, MV ini dihasilkan menggunakan teknik penggambaran one continuous shot (satu syot berterusan tanpa henti) bagi memastikan aliran emosi penyampaian Mariam tidak terputus dari awal hingga akhir. Pendekatan ini memerlukan fokus, stamina serta komitmen tinggi daripada Mariam dan seluruh tenaga kerja set penggambaran kerana sebarang kesilapan akan memerlukan penggambaran diulang semula dari awal.

“Kami mahu penonton merasai seolah-olah mereka sedang berjalan bersama Mariam sepanjang perjalanan mencari ‘Sedikit Cahaya’. Harapan saya sangat sederhana, saya mahu penonton bukan sekadar melihat visual yang cantik, tetapi turut merasai kekuatan untuk bangkit daripada kegelapan,” jelas pengarah Boboy Jehori.

Muzik video Sedikit Cahaya kini boleh ditonton, di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

MELODI MEMPERKENALKAN VIDEO MUZIK ‘LAGU RAYA UNTUKMU’ NYANYIAN HAEL HUSAINI

Tuesday, 10 March 2026


Kuala Lumpur, 10 Mac 2026 - Menjelang sambutan Aidilfitri, suasana meriah perayaan mula dirasai dengan pelbagai persiapan yang dilakukan. Pada 8 Mac lalu, program hiburan popular TV3, Melodi, memperkenalkan video muzik terbaharu berjudul Lagu Raya Untukmu nyanyian penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, yang diharapkan dapat menambah seri sambutan Syawal tahun ini.

Sebagai karya istimewa Aidilfitri 2026, Lagu Raya Untukmu menggabungkan elemen muzik moden dan klasik, menjadikannya segar namun tetap meriah serta sarat dengan nuansa nostalgia. Dengan vokal penuh emosi, Hael Husaini menyampaikan mesej kemaafan, semangat kebersamaan, dan penghargaan terhadap insan tersayang, menjadikan setiap detik perayaan lebih bermakna.

Proses rakaman lagu ini melibatkan sesi vokal dan penyusunan muzik yang teliti di studio. Lagu ini turut menampilkan kolaborasi kreatif antara Hael Husaini dan penerbit terkenal, Iqie Hugh, yang berperanan sebagai penulis lirik dan komposer bersama Hael, memastikan setiap elemen lagu disusun dengan penuh kreativiti dan emosi.

Lagu Raya Untukmu juga merupakan antara projek kerjasama terbaharu antara Hael Husaini bersama Alternate Records dan Rocketfuel Entertainment. Kerjasama ini mencerminkan hubungan profesional yang berterusan dalam menghasilkan karya muzik berkualiti, di samping memperkenalkan lagu Raya moden yang segar kepada para pendengar.

Menurut Hael Husaini, “Saya berharap lagu ini menjadi salah satu iringan indah dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, membawa suasana kegembiraan dan kehangatan kepada para pendengar ketika meraikan Syawal bersama keluarga dan sahabat handai. Lebih daripada itu, lagu ini menyampaikan mesej tentang kepentingan kemaafan, semangat kebersamaan, serta menghargai setiap detik berharga bersama insan tersayang.”



Video muzik Lagu Raya Untukmu kini boleh distrim di YouTube menerusi saluran rasmi Alternate Records dan Rocketfuel Entertainment. Penonton juga digalakkan untuk menyertai kemeriahan ini dengan menghasilkan video kreatif mereka sendiri menggunakan lagu ini, sama ada melalui video transisi persiapan Ray dan tarian ringkas yang memaparkan momen menjelang Aidilfitri.

Orang ramai dijemput menonton video muzik ini serta berkongsi kemeriahan sambutan Raya mereka di media sosial menggunakan tanda pagar #LaguRayaUntukmu. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).

LIRIK LAGU LAGU RAYA UNTUKMU
Penyanyi: Hael Husaini
Komposer: Hael Husaini & Iqie Hugh
Lirik: Hael Husaini & Iqie Hugh
Studio: Alternate Records, Rocketfuel Entertainment

[Verse 1]
Kehadapan cinta hatiku
Apa khabar raya kau disana?
Ku di sini merindukan dirimu
Kehadapan cinta hatiku
Semoga kau baik baik saja
Ku sampaikan lagu ini
Kepada mu

[Chorus]
Selamat hari raya
Syawal dah menjelma
Ku ucapkan kepada mu
Selamat hari raya

[Verse 2]
Kehadapan cinta hatiku
Bahagia kau disamping keluarga
Ku sampaikan lagu ini
Kepada mu

[Post-Chorus]
Selamat berhari raya
Syawal kini sudah menjelma
Ku ucapkan kepadamu
Selamat hari raya
Selamat berhari raya
Syawal kini sudah menjelma
Kita lupakan sengketa
Selamat hari raya

‘DUKES’ TAMPIL DENGAN PERSEMBAHAN SOLO PERTAMA!

Thursday, 5 February 2026

‘DUKES’ TAMPIL DENGAN PERSEMBAHAN SOLO PERTAMA! | Tiket Habis Terjual Dalam Dua Minggu, Tampil Dengan Konsep Zaman Pertengahan

Kuala Lumpur, 5 Februari 2026 — DUKES, sebuah band di bawah naungan Alternate Records, bakal mencatat satu detik penting dalam perjalanan seni mereka menerusi persembahan solo pertama berjudul DUKES QUEST, yang akan berlangsung pada 7 Februari 2026, jam 7.00 malam di Drumasia, Sri Hartamas. Persembahan ini menampilkan konsep yang menggabungkan elemen teater dan muzik secara menyeluruh, sekali gus menyajikan pengalaman seakan sebuah muzikal pentas yang segar, imersif dan berbeza daripada persembahan konvensional.

Persembahan ini akan menampilkan kesemua lagu ciptaan asal DUKES yang telah dilancarkan setakat ini, selain sebuah lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Sambutan luar biasa daripada peminat turut terbukti apabila tiket persembahan ini habis terjual dalam tempoh dua minggu sahaja.

Selari dengan konsep penceritaan dan lakonan yang dibawakan, DUKES Quest mengetengahkan tema zaman pertengahan bagi menghidupkan suasana pentas serta memberikan pengalaman menonton yang lebih mendalam dan interaktif. Lebih istimewa, pentas akan diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh Laisa daripada Fuad Duo, sebelum DUKES mengambil alih pentas utama dan membawa penonton menyelami sepenuhnya perjalanan muzik mereka.

Persembahan ini turut menandakan satu lagi pencapaian penting buat DUKES apabila mereka bakal memperkenalkan barangan cenderamata rasmi pertama, yang hanya akan dijual pada malam persembahan, sekali gus menjadikan pengalaman menonton lebih istimewa dan bermakna buat para peminat

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti DUKES di Instagram @dukes.my, serta dapatkan info terbaru mengenai Alternate Records & Talents menerusi akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_, dan TikTok @alternate.rt_.

“RAYU HATIKU”, KOLABORASI PERTAMA ADIRA SUHAIMI BERSAMA ALTERNATE RECORDS

Wednesday, 14 January 2026

“RAYU HATIKU”, KOLABORASI PERTAMA ADIRA SUHAIMI BERSAMA ALTERNATE RECORDS | LUAHAN EMOSI ADIRA SUHAIMI UNTUK DRAMA TERBAHARU SAMARINDA, BISIK ASMARA

Kuala Lumpur, 14 Januari 2026 – Penyanyi berkaliber, Adira Suhaimi, kembali menyentuh perasaan pendengar menerusi single terbaharu berjudul Rayu Hatiku, sebuah balada penuh emosi yang dipilih sebagai lagu tema drama terbaharu Samarinda, Bisik Asmara. Mengangkat rasa pengorbanan dan harapan yang terpendam, lagu ini menjadi pelengkap sentimen kepada jalan cerita drama tersebut.

Rayu Hatiku mengangkat luahan seorang wanita yang terluka selepas dikhianati insan tersayang. Tanpa nada marah atau penentangan, lagu ini sebaliknya menyelami rasa kehilangan, kerapuhan dan harapan yang kian pudar. Sentuhan penghayatan yang dipersembahkan menjadikan lagu ini dekat dengan realiti perasaan, sekali gus mudah menyentuh jiwa pendengar yang pernah melalui luka yang sama.

Menurut Adira, peluang untuk menyampaikan lagu ini disambut dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab. Katanya, “Saya bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini. Selagi sesebuah karya itu serasi dengan genre dan jiwa saya sebagai penyanyi, peluang sebegini tidak akan saya lepaskan.”

Dari segi persembahan vokal, Rayu Hatiku menuntut penghayatan yang mendalam. Setiap rangkap lagu disampaikan dengan kawalan vokal yang halus dan teliti, agar rasa sedih serta keikhlasan emosi dapat sampai dengan jelas kepada pendengar.

Bagi Affan Mazlan, lagu ini digarap sebagai sebuah balada bertenaga dengan sentuhan muzik yang lebih gelap dan suram. Elemen kabaret serta muzik desa disuntik secara halus, terinspirasi daripada bunyi muzik era 1960-an dan 1970-an, dalam masa yang sama memberikan identiti tersendiri kepada karya ini. 

“Lagu ini bukan tentang kemarahan, sebaliknya menceritakan tentang rasa tidak dihargai dan kesedihan yang mendalam. Vokal Adira melengkapkan keseluruhan emosi lagu ini, malah hasil akhirnya benar-benar melebihi jangkaan saya,” jelas Affan Mazlan.


Rayu Hatiku menandakan single pertama Adira Suhaimi bersama Alternate Records dan kini boleh didengari di semua termasuk YouTube Music dan Spotify. Lagu ini dijangka menjadi pelengkap emosi kepada drama Samarinda, Bisik Asmara, seterusnya mengukuhkan kedudukan Adira sebagai salah seorang penyanyi balada terkemuka tanah air.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.


LIRIK LAGU RAYU HATIKU
Artis: Adira Suhaimi
Komposer: Affan Mazlan
Lirik: Affan Mazlan
Susunan: Affan Mazlan
Produser: Affan Mazlan

Tenggelam, dalam tangisanku menghitung pilu
Kau berlalu, membawa separuh dari hatiku
Hancur aku

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

Bodoh aku, kau memilih dia lebih dariku
Sedih rasa aku

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

[Bridge]
(Rayu hati, demi cinta)
(Rayu hati, demi cinta)

Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

Biarlah saja aku
Mengalun jiwaku menjauh
Dan mungkin tiada ku merayu
Tuk cintamu

“CINTA GILA” - ANTARA LUKA DAN TERIKAT KENANGAN

Tuesday, 6 January 2026

“CINTA GILA” - ANTARA LUKA DAN TERIKAT KENANGAN | BICARA JIWA PERIBADI MARIAM SAIM IRINGI OST PEREMPUAN TIDAK TERNIKAH

Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 — Selepas mencuri perhatian sebagai Top 5 rancangan realiti One In A Million, penyanyi dan komposer berbakat Mariam Saim, kembali dengan karya terbaharu di bawah naungan Alternate Records & Talents, berjudul Cinta Gila. Single yang turut menjadi runut bunyi (OST) bagi drama popular slot Akasia di TV3, ‘Perempuan Tidak Ternikah’. 

Apa yang membezakan lagu ini, ia adalah karya pertama yang sepenuhnya dicipta, digubah dan lirik ditulis sendiri oleh Mariam, menjadikannya luahan hati peribadi yang diterjemahkan dalam bentuk balada moden penuh emosi. Lagu ini mengisahkan sebuah hubungan yang penuh tanda tanya antara cinta yang mengajar dan cinta yang menyakitkan membawa pendengar menelusuri perjalanan emosi seseorang yang cuba melepaskan namun masih terikat dengan kenangan. 

Dengan sentuhan strings dan susunan muzik minimalis, Cinta Gila menampilkan nuansa Indo pop balada yang galau, memberikan ruang untuk emosi, lirik dan vokal Mariam bercerita dengan jujur dan natural. “Ramai yang pernah berada dalam hubungan yang penuh tanda tanya dan Cinta Gila mungkin mewakili perasaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Lagu ini bukan sekadar didengar, tetapi untuk dirasai,” luah Mariam.

Proses penulisan lagu ini mengambil masa 2–3 minggu untuk menyempurnakan lirik dan melodi agar perjalanan emosinya terasa semula jadi, manakala rakaman vokal disiapkan dalam kira-kira 2 jam. Semasa sesi rakaman korus, Mariam mengimbas kembali kisah yang menginspirasikan lagu ini sehingga terasa sebak, momen yang kemudian menjadi versi ambilan terakhir kerana keikhlasannya berjaya dirakam.

“Cabaran utama adalah memastikan lagu ini benar-benar jujur dengan emosi sendiri tanpa terlalu dramatik. Saya menulis, padam, dan tulis semula beberapa kali kerana mahu pendengar merasai perjalanan emosi itu secara natural. Cinta Gila hadir dengan gaya yang sederhana dari segi susunan, tetapi kuat dari segi rasa;  ia sarat jiwa dan dekat di hati pendengar,” tambah Mariam lagi.

Cinta Gila kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

LIRIK LAGU CINTA GILA

Penyanyi: Mariam Saim
Komposer: Mariam Saim
Lirik: Mariam Saim
Susunan: Joel Christ
Produser: Isaac Andrean

Verse
Dulu kamulah segalanya
yang ku korbankan jiwa raga

Pre Chorus
Tak mungkin bisa ku lupakan semua
kenangan yang ku tak pasti
menggguris hati
atau bertatih

Chorus
Berikan aku cinta
Sebelum aku hilang rasa
Tlah ku berikan segalanya
Namun kamu hanya
Namun kamu hanya berdusta

Aku cinta
Sungguh benar aku mencinta
Janjimu padaku kau akan setia
Cinta ini gila

Bridge
Ku bertahan denganmu
hingga habis waktu
namun aku tak merelakannya

Coba kau lihat aku
air mataku mengalir kerna mu
yang tak pernah benar mencinta

Chorus
Berikan aku cinta
Sebelum aku hilang rasa
Tlah ku berikan segalanya
Namun kamu hanya
Namun kamu hanya berdusta

Aku cinta
Sungguh benar aku mencinta
Janjimu padaku kau akan setia
Cinta ini gila

MARY GRACE - LANGIT TAK MENJAWAB (OST RUMAH MENANTI CAHAYA)

Friday, 12 December 2025


‘LANGIT TAK MENJAWAB’ - RINTIHAN JIWA DAN SUARA MARYGRACE | OST TELEFILEM MEGA MALAYSIA-INDONESIA ‘RUMAH MENANTI CAHAYA’ TERBITAN TV3

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2025 – Penyanyi berbakat besar dan juara program nyanyian One In A Million (OIAM), Marygrace, kembali mencipta magis menerusi single terbaharunya berjudul Langit Tak Menjawab, terbitan Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records.

Dicipta oleh Acap Salim dan Arif Izo, lagu ini menggabungkan melodi pop balada berorkestra dengan sentuhan dramatik rock yang memperkuatkan emosi dan jiwanya. Bagi Marygrace, detik pertama mendengar demo lagu ini sudah cukup menyentuh hatinya. “Waktu pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya terus rasa dekat dengan maksudnya. Langit Tak Menjawab bagi saya bukan sekadar lagu sedih, tapi tentang seseorang yang mencari jawapan yang merasa kehilangan dan kesunyian. Inspirasi utama saya datang daripada pengalaman peribadi tentang kehilangan.” katanya.

Dalam mendekati lagu yang sarat dengan emosi ini, Mary memilih untuk tidak menonjolkan teknik vokal semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada kejujuran dalam penyampaian. “Saya cuba untuk tidak terlalu menyanyi, tapi lebih kepada merasakan setiap bait lirik. Setiap kali masuk studio rakaman, saya bayangkan diri saya dalam situasi yang sama,” tambah beliau.

Sesi rakaman lagu ini turut meninggalkan momen yang sukar dilupakan. Langit Tak Menjawab menampilkan sisi diri Mary yang lebih matang dari segi vokal dan penghayatan. “Ada satu momen di bahagian korus terakhir, saya tiba-tiba rasa sebak. Macam ada sesuatu yang berat dalam dada, tapi saya teruskan hingga komposer puas hati dengan hasilnya. Lagu ini berbeza daripada karya saya sebelum ini, lebih mendalam, puitis dan benar-benar membawa saya keluar dari zon selesa.” ujarnya.


Sebagai penyanyi yang mengutamakan kejujuran dalam setiap karya, Mary berhasrat agar Langit Tak Menjawab mampu menjadi peneman hati bagi mereka yang pernah melalui rasa kehilangan atau menunggu sesuatu yang tidak pasti. “Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang pernah rasa sunyi atau kehilangan. Kalau lagu ini mampu memberi sedikit ketenangan dan membuat pendengar rasa difahami, itu sudah cukup berharga buat saya,” luahnya dengan rendah hati.

Dengan kekuatan vokal yang tulus, susunan muzik yang megah dan lirik yang menyentuh, lagu ini bukan hanya sekadar curahan emosi malah sebuah doa, pengakuan dan perjalanan jiwa yang akan menyentuh setiap hati yang mendengarnya.

Lagu Langit Tak Menjawab juga merupakan runut bunyi rasmi (OST) untuk telefilem mega terbaharu TV3, ‘Rumah Menanti Cahaya’ sebuah karya hasil kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia, kini boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube dan Deezer.

TENTANG TELEFILEM RUMAH MENANTI CAHAYA
‘Rumah Menanti’ Cahaya mengisahkan Mira lakonan Daiyan Trisha, seorang wanita Malaysia yang tiba di rumah keluarga mendiang suaminya Arman lakonan Diego Afisyah, di Jakarta selepas kemalangan tragis yang meragut nyawa lelaki itu. Kehadirannya bukan sahaja membawa jasad Arman pulang, tetapi juga berita mengejutkan bahawa dia ialah isteri yang baru dinikahi. Pak Ahmad lakonan Mathias Muchus menyambut menantunya dengan kasih bercampur duka, namun anak-anaknya menolak kehadiran Mira dengan curiga. Dalam penolakan itu, satu demi satu rahsia keluarga mula terbongkar, membawa mereka berdepan trauma, kehilangan dan pengertian sebenar tentang kasih serta keampunan.

MARSHA MILAN SERIKAN MALAYSIA FEST DI SYDNEY

Saturday, 29 November 2025

MARSHA MILAN SERIKAN MALAYSIA FEST DI SYDNEY | SUNTIK PESONA BORNEO & NOSTALGIA DI PENTAS ANTARABANGSA

Kuala Lumpur, 29 November 2025 – Penyanyi versatil tanah air, Marsha Milan, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dijemput khas membuat persembahan di Malaysia Fest yang berlangsung di Tumbalong Park, Sydney, Australia pada 22 November lalu. Festival budaya tahunan yang menghimpunkan rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa itu berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang hari.

Dalam persembahan yang penuh bertenaga dan menyentuh jiwa, Marsha membawakan deretan lagu popularnya seperti Hening Rindu dan Cinta yang mendapat sorakan gemuruh penonton. Beliau turut menyerikan pentas dengan rangkaian lagu berunsur identiti Borneonya, termasuk Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan menjadikan persembahan tersebut antara momen paling disambut hangat oleh komuniti Malaysia yang menetap di Sydney. 

Marsha berkongsi rasa bangga dan teruja apabila diberi peluang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa melalui Malaysia Fest 2025. “Saya berasa sangat bangga dipilih mewakili Malaysia di Sydney. Melalui album Misompuru serta lagu seperti Cinta dan Hening Rindu, saya dapat mengetengahkan keindahan budaya dan muzik negara kita kepada khalayak antarabangsa,” katanya.

Menceritakan persiapan khusus untuk pentas di Sydney, Marsha bersama pasukannya memastikan persembahan berjalan lancar dan bertenaga. “Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Kebimbangan saya hanyalah tentang tenaga dan momentum pentas, tetapi hasilnya sangat memuaskan. Kami turut dibantu oleh penari daripada Wandie Space Art Performance dan saya sekali lagi bekerjasama dengan Saerah untuk menghasilkan gaya kontemporari-tradisional sepanjang persembahan,” jelasnya.

Penglibatan Marsha dalam Malaysia Fest 2025 bukan sahaja menyerlahkan kualiti seni yang dibawanya, tetapi juga menegaskan peranannya sebagai wajah budaya Malaysia di pentas antarabangsa. “Detik paling istimewa bagi saya ialah melihat semua orang menyanyi dan menari bersama. Sebagai seorang penyanyi, sokongan seperti itu merupakan pencapaian terbesar. InsyaAllah, saya berharap peluang ini menjadi satu batu loncatan untuk saya terus melangkah lebih jauh sama ada melalui persembahan atau karya baharu yang mampu menyentuh hati semua pendengar,” tambahnya lagi.

Menurut CEO MFest, Syahmi Ismail, penganjuran edisi kali ini membawa misi lebih besar dan mendalam. “Penganjuran festival ini adalah simbol sokongan golongan belia dan pelajar Malaysia di Sydney terhadap kempen Visit Malaysia 2026, selain mempromosikan negeri dan budaya kita kepada dunia. Pemilihan artis sangat teliti kerana mereka akan menjadi ‘Suara Malaysia.’ Mereka mestilah ikon seni yang berpengaruh di peringkat antarabangsa,” katanya mengenai penampilan Marsha.

Malaysia Fest merupakan antara platform luar negara paling berpengaruh dalam mempromosikan warisan budaya, muzik, seni dan identiti Malaysia kepada khalayak global. Tahun ini, acara tersebut tampil lebih meriah dengan penyertaan komuniti Malaysia dari pelbagai negeri, termasuk Sabah dan Sarawak sekali gus menjadikannya perayaan budaya terbesar dianjurkan oleh diaspora Malaysia di Sydney.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

“MELANGKAHI AKU” – JERITAN SUNYI DARI MANIPULASI HUBUNGAN TOKSIK

Friday, 21 November 2025


“MELANGKAHI AKU” – JERITAN SUNYI DARI MANIPULASI HUBUNGAN TOKSIK | DUKES TAMPIL SISI NARATIF LELAKI YANG AKHIRNYA BERSUARA

Kuala Lumpur, 21 November 2025 – Band alternatif muda yang semakin menyerlah, DUKES, tampil dengan single terbaharu berjudul Melangkahi Aku, sebuah karya padat emosi yang menggambarkan kekeliruan, kesakitan dan kemarahan tersembunyi seorang lelaki dalam hubungan toksik. Lagu ini menandakan single ketujuh DUKES bersama Alternate, sekali gus membuka lembaran baharu dalam evolusi muzik mereka.

Dicipta sendiri DUKES dengan penulisan lirik oleh Syed Rayyan Razzaq, disusun serta diterbitkan oleh AG Coco, Melangkahi Aku mengetengahkan gabungan tenaga indie dan sentuhan ledakan yang dipengaruhi elemen The Strokes dan Hujan. Ia adalah percubaan berani kumpulan ini untuk menyatukan keremajaan, daya tenaga, kesedihan selain amarah dalam sebuah naskhah yang lebih mentah, jujur di samping dinamik.

Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan produser terkenal AG Coco, DUKES menyifatkannya sebagai pengalaman yang membuka mata. “Beliau memberi ruang kreatif yang besar tetapi dalam masa yang sama sangat teliti dalam memastikan identiti DUKES tidak hilang. Sentuhan produksinya berjaya membawa keluar sisi kami yang lebih bertenaga, lebih jujur dan lebih raw,” jelas mereka. 

Dari sudut konsep dan emosi, Melangkahi Aku menampilkan kelainan yang ingin ditonjolkan oleh DUKES. Lagu ini merakam perjalanan seorang lelaki yang sering dimanipulasi dan dipersalahkan walaupun hakikatnya dialah yang terluka. Setiap kali bersuara, pasangannya pula bertindak seolah-olah dialah mangsa sebenar. Melangkahi Aku membawa pendengar menyelami perasaan terperangkap itu antara cinta, ketakutan, ego dan keberanian untuk melawan dengan korus yang lantang menegaskan perasaannya ‘Aku takut dengan cara dia yang melangkahi aku’.

Menurut DUKES, pendengar wajar memberi ruang kepada lagu ini kerana ia membawa suara kepada mereka yang sering terperangkap dalam hubungan tidak seimbang. “Ramai pernah berada dalam situasi ini tetapi tidak mampu bersuara. Lagu ini adalah luahan yang fragile, jujur tetapi penuh letupan emosi. Pendengar bukan sahaja dapat menikmati muziknya, tetapi dapat merasai cerita yang cuba kami sampaikan.” tambanya lagi.

Dengan gabungan produksi mantap, vokal energetik dan naratif yang dekat dengan realiti hubungan moden, Melangkahi Aku dijangka menjadi antara karya paling emosional dan signifikan daripada DUKES setakat ini.

Melangkahi Aku boleh didengarkan mulai hari ini, di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

Kuala Lumpur, 19 November 2025 — Penyanyi tersohor negara, Liza Hanim, kembali dengan sebuah karya balada yang penuh penghayatan berjudul Jeda Derita, single kedua beliau bersama Alternate Records selepas Sejuta Maaf. 

Lagu ini merupakan OST kepada drama terbaharu slot Akasia TV3 ‘Sumpah Ibuku’, sekali gus menampilkan gabungan istimewa antara Liza Hanim dan penyanyi terkenal, Tomok sebagai komposer, bersama Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan, kekuatan jiwa dan pergolakan emosi seorang wanita yang dikhianati, Jeda Derita hadir dengan sentuhan melodi yang mendalam dan lirik yang puitis. Menurut Fedtri Yahya, lirik lagu ini dihasilkan sepenuhnya dengan menghayati perjalanan watak dalam drama tersebut. “Saya harus memahami setiap jiwa, derita dan kepayahan yang dirasai bagi memastikan lagu ini memiliki impak emosi yang selari dengan jalan cerita,” ujar beliau. 

Dari sudut Tomok, kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi meruntun hati, lirik puitis dan vokal bertenaga daripada Liza Hanim. “Yang menariknya, Liza benar-benar menghayati setiap bait lirik seolah-olah merasai sendiri derita dalam lagu ini. Bahkan beliau menangis ketika merakamkannya,” tegasnya.

Bagi Liza Hanim, terpilih untuk menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan yang besar. “Saya berasa sangat gembira dan amat menghargai kepercayaan daripada produksi serta label kerana masih memilih saya untuk menyampaikan lagu OST Sumpah Ibuku. Lebih bermakna apabila diberi peluang bergandingan dengan Tomok, ia satu titik perubahan buat diri saya,” katanya.

Rakaman vokal lagu ini mengambil masa kira-kira dua jam setengah, selepas terpaksa ditunda sebanyak dua kali atas faktor kesihatan. Namun proses rakaman tersebut menghadirkan momen yang cukup emosional buat Liza. “Ketika itu saya agak hilang fokus kerana terlalu sibuk. Saya sampai minta Tomok padamkan lampu studio untuk membantu saya mendapat mood yang diperlukan. Walaupun saya jarang menangis, ketika merakamkan Jeda Derita, air mata saya mengalir kerana lagu ini sendiri menyampaikan rasa kecewa dan kelelahan,” jelas Liza.

Meskipun rakaman lagu ini mengambil masa sekitar dua jam, namun proses kreatifnya memerlukan penghayatan mendalam terhadap kisah drama tersebut untuk memastikan setiap emosi disampaikan secara jujur. 

Liza turut menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama lagi dengan Tomok pada masa akan datang. “Tomok mempunyai potensi besar. Dari seorang penyanyi, kini beliau menjadi ahli perniagaan, komposer dan penerbit yang baik. Beliau tahu apa yang diinginkan dan sangat jelas dengan visinya. Itu amat membantu penyanyi untuk memberikan yang terbaik tanpa menghilangkan karakter vokal,” tambahnya.

Liza berpendapat, kelainan utama lagu ini terletak pada penyampaian rasa yang begitu kuat, bukan sahaja dari aspek cerita drama, tetapi juga perjalanan peribadi antara dirinya dan Tomok sejak zaman mereka bersama di syarikat rakaman hingga kini menghasilkan karya bermakna ini. “Saya percaya sesiapa yang mendengarnya akan dapat merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang ingin disampaikan, lagu ini sarat dengan jiwa kerana Tomok benar-benar mencurahkan emosinya dalam penciptaan karya ini,” luahnya lagi.

Dengan kekuatan vokal beliau serta puitisnya sentuhan lirik Fedtri Yahya, Jeda Derita dijangka menjadi antara balada paling emosional dipersembahkan Liza dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

Jeda Derita kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

“SELINGKUH” – KEJUJURAN DALAM LUKA

Thursday, 16 October 2025


“SELINGKUH” – KEJUJURAN DALAM LUKA | JIMI TAMPIL BERANI DENGAN GABUNGAN ROCK DAN ELEKTRONIK 

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2025 – Penyanyi berbakat, Jimi, kembali dengan single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya penuh emosi yang mengangkat kisah kekecewaan dan keberanian melepaskan cinta yang penuh kepalsuan. Lagu ini menandakan single kedua Jimi bersama Alternate Records, sekali lagi memperlihatkan kematangan dan evolusi muziknya.

Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seseorang yang dikhianati daripada kekecewaan yang mendalam hingga ke keputusan untuk bangkit demi maruah dan ketenangan diri. 

Menurut Jimi, terpilih untuk menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan besar baginya. “Saya telah bagi sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri bila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya.

Rakaman vokal untuk lagu ini disiapkan dalam masa kira-kira 4 hingga 5 jam sahaja, namun Jimi mengakui ada beberapa bahagian yang memerlukan fokus dan tenaga sepenuhnya untuk mencapai vibe yang diinginkan. “Cabaran terbesar lagu ni ialah nak dapatkan vibe rock tanpa hilangkan identiti saya sendiri. Kali ini saya kena lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, tapi tetap kena jaga emosi lagu tersebut,” tambahnya.

Dari sudut penciptaan, komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush menjelaskan bahawa Selingkuh lahir daripada keinginan menyampaikan perasaan kecewa dengan jujur, tanpa tapis. “Lagu ini keunikannya pada lirik yang tajam dan realistik frasa seperti ‘duit habis kau sapu’ dan ‘hanya dengan selamba’ memberi rasa seolah-olah luahan sebenar dari hati yang terluka,” jelas mereka.

Menariknya proses penciptaan lagu ini berlaku semasa sambutan Tahun Baharu Cina, menjadikan ia lebih istimewa. Penulis lagu dan produser saling berhubung hanya melalui aplikasi WhatsApp bagi menyiapkan susunan muzik dan rakaman demo sebelum sesi rakaman vokal akhir bersama Jimi dijalankan.

Menggabungkan genre rock dan elektronik, Selingkuh menawarkan pengalaman bunyi yang segar di samping mengekalkan semangat rock klasik tetapi dengan suntikan elemen elektronik moden yang menjadikannya relevan untuk pendengar tahun 2025. “Kelainan yang saya nak tonjolkan ialah keberanian untuk keluar dari zon selesa. Mungkin orang belum tahu sisi lain saya yang lebih garang, bersemangat dan penuh live energy,” jelas Jimi lagi.

Bagi Jimi, Selingkuh bukan sekadar sebuah lagu putus cinta ia adalah simbol kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada kepura-puraan. “Pendengar patut dengar lagu ni sebab ia bawa rasa yang berbeza dengan lagu sebelum ini. Gabungan tenaga rock dan emosi menjadikannya pengalaman yang jujur dan dekat dengan realiti,” katanya menutup bicara.

Dengan penyampaian vokal bertenaga dan lirik yang jujur, Selingkuh dijangka menjadi antara karya paling berani daripada Jimi setakat ini.

Selingkuh kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Youtube dan Spotify.


Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

“TANGISAN SEORANG PENDOSA” | Muzik Video Bernuansa Hitam Putih Tampil Dramatik, Bawa Penonton Menyusuri Jejak Masa

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2025 – Penyanyi bersuara lunak, Marsha Milan kembali mencuri perhatian dengan pelancaran muzik video terbaharu untuk single Tangisan Seorang Pendosa malam ini. Mengangkat tema keinsafan dan pergolakan jiwa yang begitu kuat dalam menempuh perjalanan hidup, muzik video ini ditayangkan sepenuhnya dalam visual dramatik hitam putih, melahirkan suasana melankolik yang penuh simbolik dan mendalam.

Penggambaran MV dijalankan di Pulau Pinang dengan bangunan bersejarah dipilih sebagai latar utama bagi melambangkan memori masa lalu. Manakala, babak di pelabuhan pula menzahirkan suasana masa hadapan, melengkapkan kesinambungan naratif visual. 

Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pilihan lokasi di Pulau Pinang memberi ruang untuk visual yang lebih puitis serta sarat nilai estetika. Kolaborasi antara beliau, Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim melahirkan karya visual yang berjiwa, di mana setiap elemen diperlihatkan dengan penuh teliti bagi menyampaikan sebuah kisah emosi yang jauh daripada sekadar jalan cerita linear. Mereka mahu penonton bukan sekadar melihat, tetapi turut merasakan apa yang cuba diterjemahkan melalui lensa kamera.

“Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu visual yang puitis, simbolik, dan mampu membuat penonton benar-benar merasai roh lagu Tangisan Seorang Pendosa. Cabaran cuaca, cahaya dan lokasi bersejarah hanya menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, perjalanan menghasilkan muzik video ini tidak terlepas daripada cabaran. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang rapi, sementara faktor cuaca turut memaksa krew menghentikan penggambaran beberapa kali. Babak di pelabuhan juga harus dilaksanakan dalam tempoh singkat demi menangkap cahaya semula jadi yang sempurna. 

Antara momen paling diingati ialah sewaktu penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Walaupun gugup, beliau tetap berdiri dengan penuh emosi dan menyampaikan nyanyian yang meresap jiwa.

Keseluruhan muzik video ini diperkaya dengan elemen hitam putih yang memberi nuansa abadi, gaya serba hitam Marsha yang menambahkan misteri serta drama, dan peralihan lokasi yang melambangkan perjalanan masa lalu serta masa depan. 

Bagi Marsha sendiri, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah muzik video untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan penonton dengan roh sebenar lagunya. “Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah karya, tetapi sebuah perjalanan yang benar-benar dekat dengan hati saya. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, tetapi akhirnya semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya harap penonton juga dapat merasainya,” ujarnya.

Lagu Tangisan Seorang Pendosa juga merupakan runut bunyi (OST) serta pelengkap kepada drama Keluarga Itu yang menjadi fenomena di TV3, memikat penonton dengan jalan ceritanya yang penuh emosi. 

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan muzik video Tangisan Seorang Pendosa yang akan dilancarkan hari ini, Jumaat, 10 Oktober 2025 jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Alternate Records & Talents. Pastikan anda antara yang pertama menontonnya!



Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

LIRIK LAGU DENDAM - FIRDAUS RAHMAT

Wednesday, 8 October 2025


LIRIK LAGU DENDAM
Penyanyi: Firdaus Rahmat 
Komposer : Firdaus Rahmat
Lirik : Firdaus Rahmat
Susunan : Firdaus Rahmat
Produser : Firdaus Rahmat
Label : World Peace Music


Verse
Kata,
Yang tak terolah oleh mu
Timbul segala soalan
Di fikiran ragu

Aku
Yang seharusnya terjaga
Engkau lepaskan semata
Kasih yang kau mahu

Pre Chorus

Takkan ku biarkan kau
bermaharajalela
Takkan ku biar diri ku bernafas
lelah
Ku mahu kau rasa sakitnya

Chorus
Pendam dalam diam pendam
Apakah kau mengerti?
Hati ku yang membenci
Dendam dalam diam dendam
Balas segala laku
Kau terhadap diri ku
Namun ku biar kan Tuhan
Mengadili dusta mu

Verse 2
Aku
Yang s'lama ini membeku
dileburkan bara api membakar
janjimu

Bridge
(Pendam dalam diam,
Dendam dalam diam,
Namun biar Tuhan
membalasnya)
Membalasnya ...

‘DENDAM’– PERGELUTAN JIWA MENUJU KEINSAFAN | KISAH LUKA DAN REDA DISULAM DALAM BALADA TERBAHARU FIRDAUS RAHMAT

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025 – Penyanyi dan komposer berbakat, Firdaus Rahmat, kembali dengan single terbaharunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang menyingkap sisi kemanusiaan dan pergelutan dalaman antara marah, kecewa dan keikhlasan.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya yang sangat peribadi dan dekat di hati. Dengan susunan muzik yang segar serta lirik yang mendalam, lagu ini mengajak pendengar menyelami rasa dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan. 

“Dendam adalah keinginan membalas sifat buruk seseorang terhadap kita, namun akhirnya kita sedar hanya Tuhan yang berhak menentukan penghakiman sebenar,” katanya yang turut berperanan sebagai komposer lagu ini.

Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, Dendam menonjolkan sisi vokal Firdaus yang lebih matang dan berani bereksperimen. “Lagu ini mencabar dari segi lontaran dan teknik nyanyian. Untuk menyeimbangkan rasa, ton suara dan teknik adalah sesuatu yang mencabar bagi saya yang jarang menyanyikan lagu balada sebegini. Tapi saya percaya ton suara boleh memberi impak besar dalam menyampaikan emosi sebenar lagu ini,” ujar beliau lagi.

Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman berlangsung selama tiga jam merupakan satu proses yang penuh intensiti. 

Firdaus turut berkongsi pengalaman menarik di studio. “Saya sempat berehat seketika di pertengahan rakaman kerana emosi dan tenaga yang diperlukan untuk menyampaikan lagu ini agak berat. Namun saya teruskan kerana saya mahu lagu ini disampaikan dengan jujur dan sepenuh hati,” jelasnya.

Dari segi penceritaan, Dendam mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat yakni pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan untuk membalas namun akhirnya menyerah pada takdir keadilan Ilahi. Ia bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi juga sebuah renungan diri.

Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat membuktikan kemampuan dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, tetapi juga komposer dan penulis lirik yang mampu mencipta karya yang berjiwa, matang dan bermakna. 

Lagu Dendam juga merupakan runut bunyi (OST) bagi drama Takdir Cinta Terlarang di slot Akasia TV3, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify. 

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

‘MENGUKIR TAKDIR’ PAPAR REALITI JIWA PERJUANGAN DAN HARAPAN

Saturday, 4 October 2025

LAHIR SEIRING MISI THE HELMIS DALAM GLOBAL SUMUD FLOTILLA KE GAZA - ‘MENGUKIR TAKDIR’ PAPAR REALITI JIWA PERJUANGAN DAN HARAPAN

Kuala Lumpur, 4 Oktober 2025 – Nama pasangan adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Terbaharu, mereka tampil dengan single berjudul Mengukir Takdir, hasil ciptaan komposer prolifik, Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri. Lagu ini turut menampilkan sentuhan susunan muzik dan terbitan penuh oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.

Mengukir Takdir membawa mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup. Inspirasi lagu ini lahir bukan sahaja daripada semangat perjuangan saudara di Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing.

Menurut Heliza dan Hazwani, pemilihan mereka untuk menyanyikan lagu ini adalah suatu penghargaan yang besar. “Kami bersyukur kerana dari awal perbincangan bersama pasukan Alternate, wujud keserasian yang akhirnya membawa kepada cadangan untuk bekerjasama dengan Wan Saleh. Beliau pernah bekerja dengan kami sebelum ini, jadi beliau lebih mengenali cara nyanyian kami. Dari situlah lahirnya Mengukir Takdir, sebuah karya yang cukup mencabar tetapi penuh makna,” jelas mereka.

Proses rakaman lagu ini mengambil masa yang agak intensif. “Rakaman demo memakan masa sekitar lima jam, begitu juga dengan rakaman akhir. Cabarannya adalah kerana Mengukir Takdir merupakan sebuah lagu yang ‘besar’ berbanding karya kami sebelum ini. Ia menuntut teknik vokal yang tinggi, pelbagai lapisan suara termasuk koir, serta elemen Arab. Alhamdulillah dengan bimbingan guru vokal dan tunjuk ajar Wan Saleh, kami berjaya merealisasikan apa yang dirancang,” tambah Heliza dan Hazwani lagi.

Bagi mereka, kelainan utama lagu ini adalah gabungan genre dan jiwa yang kuat. Pertukaran vokal antara mereka berdua, bersama elemen koir dan Arab, malah menjadikan Mengukir Takdir sebuah eksperimentasi muzik yang segar.

“Walaupun ilham asalnya tentang Gaza, lirik lagu ini sebenarnya boleh dihayati dalam pelbagai sudut. Ada yang mengaitkannya dengan perjuangan Rasulullah SAW, ada yang teringat keluarga, kisah hidup sendiri atau ujian wanita di luar sana. Apa pun tafsirannya, kami berharap lagu ini menyentuh hati pendengar dengan izin Allah,” ujar mereka dengan penuh pengharapan.

Mengukir Takdir juga menandakan single pertama kerjasama Heliza & Hazwani Helmi serta Alternate Records & Talents. Mereka optimis akan lahir lebih banyak karya bersama pada masa akan datang.

“Setiap kita adalah pejuang. Walau apa pun cabaran hidup, Allah telah menjanjikan bahawa setiap kesulitan hadir bersama kemudahan, seperti dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6. Lagu ini kami tujukan sebagai penguat semangat untuk semua,” kata mereka menutup bicara.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar Mengukir Takdir nyanyian Heliza Helmi & Hazwani Helmi yang kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025!

Friday, 5 September 2025

TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025! | ‘Hening Rindu’ dan ‘Fail Mahkamah’ Bawa Pulang Anugerah Gold dan Silver!

Bangsar, 5 September 2025 – TV3 dan Alternate Records sekali lagi membuktikan keunggulan sebagai peneraju industri muzik kreatif dan kandungan negara apabila berjaya merangkul dua anugerah berprestij di pentas antarabangsa, ContentAsia Awards 2025, yang berlangsung meriah di Taipei pada 4 September 2025.

Momen penuh kebanggaan ini diraikan apabila lagu popular “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan yang merupakan runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3, diumumkan sebagai Gold Award  bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. 

Kemenangan ini menobatkan “Hening Rindu” – ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna – sebagai karya bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebaris dengan pencalonan hebat lain dari seluruh Asia.  Awal tahun ini, “Hening Rindu” juga telah diangkat sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), menjadikannya bukan sahaja pemenang anugerah muzik paling berprestij di tanah air, malah kini turut mendapat pengiktirafan juri antarabangsa.  

Gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan bunyi yang penuh emosi serta padanan sempurna dengan jalan cerita menjadikan lagu ini elemen penting dalam kejayaan dramatik siri drama tersebut.  Pengiktirafan di ContentAsia Awards 2025 ini sekali gus membuktikan mutu karya tempatan mampu berdiri sama tinggi, bahkan setanding dengan produksi antarabangsa.

Antara pencalonan lain dalam kategori ini termasuk, Bad Guys (Vidio, BASE Entertainment, CJ ENM Hong Kong Limited), Furever Yours (Mediacorp Pte Ltd), Karuvanam (Mediacorp Pte Ltd / Storybots Asia), Lamput Season 4 - Boss On The Moon (Warner Bros. Discovery) dan Shape of Love (Hakka TV / LUMINOSO FILM CO., LTD).

Anugerah ini diterima oleh Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik & Produksi Dalaman, Media Prima Television Networks, bagi pihak produksi.  Mengulas mengenai kemenangan ini, Shahila berkata, “‘Hening Rindu” bukan sahaja menyentuh jiwa penonton di Malaysia, malah kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.  Kejayaan ini membuktikan bahawa karya tempatan, khususnya terbitan Alternate Records, mampu menembusi persaingan serantau serta meraih pengiktirafan dunia. Kami amat berbangga kerana pencapaian ini lahir daripada dedikasi serta semangat karyawan tempatan yang sentiasa memberikan yang terbaik.” 

Kemenangan ini juga mencerminkan bagaimana kreativiti dan muzik boleh memperkuat penceritaan dalam drama.  Semoga detik bersejarah ini terus memberi inspirasi untuk kita menghasilkan kandungan bertaraf global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju muzik dan kandungan di rantau Asia.” tambah beliau.

Tidak cukup dengan itu, TV3 turut mengharumkan nama negara dengan meraih Silver Award bagi kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia melalui dokumentari penuh emosi, “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1.


‘Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1’ bukan sekadar program TV, tetapi cerminan jiwa, dan keberanian rakyat Malaysia.  Karya ini berjaya mengetengahkan tragedi penuh emosi yang menyentuh hati, sekaligus memperkukuhkan peranan TV3 sebagai penerbit kandungan berimpak tinggi yang mengangkat isu masyarakat ke pentas antarabangsa. Kejayaan ini turut meletakkan nama Malaysia sebaris dengan syarikat produksi besar Asia yang lain.  

Antara calon lain dalam kategori ini ialah, Eun-soo’s Democracy Lesson (Taigi TV Station), NewsMagazine: Hidden Profits - The Dark Reality of Public Housing Abuse (Television Broadcasts Limited), Shifting Horizons (IFA for CNA, Mediacorp Pte Ltd) dan CNA Correspondent: They Are Coming Home (CNA, Mediacorp Pte Ltd).


Ahmad Farith Zahir, Penerbit Eksekutif Fail Mahkamah, berkata, “Kes membabitkan Allahyarham Zulfarhan bukan sekadar kisah jenayah biasa. Ia adalah pengajaran besar tentang sebuah amanah, persahabatan serta kepercayaan yang dikhianati. Dengan menyampaikan semula kisah ini, kami berharap masyarakat tidak hanya mengingati tragedi, tetapi turut mengambil iktibar agar insiden sebegini tidak lagi berulang.” 

Tambah Farith lagi, “Dua episod khas yang dipertontonkan memberi ruang untuk masyarakat melihat dengan lebih dekat bagaimana kekejaman boleh meragut masa depan seorang anak muda yang penuh potensi.  Pada masa yang sama ia membuka perbincangan lebih luas tentang isu buli dan penderaan yang masih wujud dalam masyarakat. Kisah Zulfarhan ini membawa mesej jelas bahawa setiap suara yang terabai mampu membawa padah.”


Dua episod khas “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1” kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton, memberi peluang kepada penonton untuk menelusuri semula kisah penuh pengajaran ini dengan lebih mendalam.

Majlis anugerah berprestij ini menghimpunkan lebih 150 pencalonan dari pelbagai negara Asia dan disiarkan secara langsung melalui platform digital ContentAsia, dengan AXN sebagai rakan penyiar rasmi Red Carpet.

Dengan kemenangan ini, TV3 dan Alternate Records  sekali lagi mengangkat martabat industri hiburan dan kandungan produksi Malaysia ke puncak antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu mengungguli.