“JEDA DERITA” - LAFAZ LUKA DALAM SERIBU KESAYUAN KOLABORASI LIZA HANIM DAN TOMOK HIDUPKAN EMOSI OST SUMPAH IBUKU

Wednesday, 19 November 2025

Kuala Lumpur, 19 November 2025 — Penyanyi tersohor negara, Liza Hanim, kembali dengan sebuah karya balada yang penuh penghayatan berjudul Jeda Derita, single kedua beliau bersama Alternate Records selepas Sejuta Maaf. 

Lagu ini merupakan OST kepada drama terbaharu slot Akasia TV3 ‘Sumpah Ibuku’, sekali gus menampilkan gabungan istimewa antara Liza Hanim dan penyanyi terkenal, Tomok sebagai komposer, bersama Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan, kekuatan jiwa dan pergolakan emosi seorang wanita yang dikhianati, Jeda Derita hadir dengan sentuhan melodi yang mendalam dan lirik yang puitis. Menurut Fedtri Yahya, lirik lagu ini dihasilkan sepenuhnya dengan menghayati perjalanan watak dalam drama tersebut. “Saya harus memahami setiap jiwa, derita dan kepayahan yang dirasai bagi memastikan lagu ini memiliki impak emosi yang selari dengan jalan cerita,” ujar beliau. 

Dari sudut Tomok, kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi meruntun hati, lirik puitis dan vokal bertenaga daripada Liza Hanim. “Yang menariknya, Liza benar-benar menghayati setiap bait lirik seolah-olah merasai sendiri derita dalam lagu ini. Bahkan beliau menangis ketika merakamkannya,” tegasnya.

Bagi Liza Hanim, terpilih untuk menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan yang besar. “Saya berasa sangat gembira dan amat menghargai kepercayaan daripada produksi serta label kerana masih memilih saya untuk menyampaikan lagu OST Sumpah Ibuku. Lebih bermakna apabila diberi peluang bergandingan dengan Tomok, ia satu titik perubahan buat diri saya,” katanya.

Rakaman vokal lagu ini mengambil masa kira-kira dua jam setengah, selepas terpaksa ditunda sebanyak dua kali atas faktor kesihatan. Namun proses rakaman tersebut menghadirkan momen yang cukup emosional buat Liza. “Ketika itu saya agak hilang fokus kerana terlalu sibuk. Saya sampai minta Tomok padamkan lampu studio untuk membantu saya mendapat mood yang diperlukan. Walaupun saya jarang menangis, ketika merakamkan Jeda Derita, air mata saya mengalir kerana lagu ini sendiri menyampaikan rasa kecewa dan kelelahan,” jelas Liza.

Meskipun rakaman lagu ini mengambil masa sekitar dua jam, namun proses kreatifnya memerlukan penghayatan mendalam terhadap kisah drama tersebut untuk memastikan setiap emosi disampaikan secara jujur. 

Liza turut menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama lagi dengan Tomok pada masa akan datang. “Tomok mempunyai potensi besar. Dari seorang penyanyi, kini beliau menjadi ahli perniagaan, komposer dan penerbit yang baik. Beliau tahu apa yang diinginkan dan sangat jelas dengan visinya. Itu amat membantu penyanyi untuk memberikan yang terbaik tanpa menghilangkan karakter vokal,” tambahnya.

Liza berpendapat, kelainan utama lagu ini terletak pada penyampaian rasa yang begitu kuat, bukan sahaja dari aspek cerita drama, tetapi juga perjalanan peribadi antara dirinya dan Tomok sejak zaman mereka bersama di syarikat rakaman hingga kini menghasilkan karya bermakna ini. “Saya percaya sesiapa yang mendengarnya akan dapat merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang ingin disampaikan, lagu ini sarat dengan jiwa kerana Tomok benar-benar mencurahkan emosinya dalam penciptaan karya ini,” luahnya lagi.

Dengan kekuatan vokal beliau serta puitisnya sentuhan lirik Fedtri Yahya, Jeda Derita dijangka menjadi antara balada paling emosional dipersembahkan Liza dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

Jeda Derita kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.