Kemunculan semula Zul Ariffin ke dunia drama kembali mencuri perhatian apabila sebuah video tular memaparkan keakraban beliau bersama Uqasha Senrose, yang tampak mesra dan selesa di sisi Zul. Tidak dapat dinafikan, ramai yang menantikan kembalinya sisi romantik pelakon itu dengan suara rendah dan renungan tajamnya, yang kini dapat ditonton menerusi drama Bisik Asmara melalui watak yang lebih kompleks.
Dalam drama ini, Zul membawakan watak Farhan, seorang suami yang pada awalnya setia, naif dan penuh rasa tanggungjawab terhadap isterinya, Sheila (lakonan Sophia Albarakbah). Kehidupan yang kelihatan tenang itu mula diuji dengan kehadiran Noreen (lakonan Uqasha Senrose), yang muncul bagaikan bisikan halus di celah ketenteraman. Digambarkan sebagai wanita yang bijak mengambil peluang, Noreen tahu bila untuk mendekat dan bila untuk menghimpit, menjadikan setiap pertemuan mereka penuh dengan ketegangan yang sukar dielakkan.
Episod 6 malam ini menjadi antara detik paling merisaukan apabila baju Noreen ‘kantoi’ ditemui di dalam beg pakaian kotor Farhan. Penemuan tersebut bukan sahaja mencetuskan kecurigaan, malah membuka ruang kepada persoalan yang semakin sukar disangkal.
Dalam masa yang sama, Noreen mula dibakar rasa cemburu terhadap Sheila, percaya dirinya lebih memahami Farhan dan merasakan kedudukannya mengatasi wanita yang bergelar isteri. Farhan pula pandai menyusun kata; pujukan manis yang kononnya untuk meredakan keadaan akhirnya berpotensi menjadi senjata makan diri.
Persoalannya, siapakah sebenarnya yang bersalah, Farhan yang terlalu melayan atau Noreen yang licik memasang jerat emosi?
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bisik Asmara setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store. Bersedialah kerana dalam Bisik Asmara, setiap bisikan membawa akibat yang tidak pernah dijangka.


Kadang terover romantik jadi loya pulak akak tenguk zul ariffin ni. Lagi dengan uqasha yang ada kes cerai sebelum ni.
ReplyDelete