KUALA LUMPUR, 15 November 2026 – Debaran kini memuncak apabila fasa penentuan bagi acara anugerah hiburan pilihan peminat berprestij dan paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-38, membuka tirai undian secara rasmi bermula tepat jam 12.01 tengah malam ini sehingga 6 Disember 2026.
Mengangkat tema ‘Kitalah Bintang’ serta seruan penuh semangat ‘Undi Dulu, Baru ‘Flex’!’, peminat kini memegang kuasa mutlak untuk menentukan nasib calon Top 10 kegemaran mereka merentasi 21 kategori yang dipertandingkan menerusi laman web rasmi di www.abpbh.com.my.
Selaras dengan evolusi era digital dan budaya fandom hari ini yang sentiasa dahagakan penglibatan aktif serta kepuasan melihat idola mereka menjulang trofi, ABPBH 38 menawarkan fleksibiliti maksimum dalam mekanisme pengundian mudah. Setiap peminat yang mendaftar akaun Tonton secara percuma akan menerima 38 mata undian untuk diagihkan kepada calon mengikut strategi masing-masing, sama ada difokuskan kepada satu calon tunggal mahupun kepada beberapa calon pilihan.
Pengarah Projek ABPBH 38 merangkap Pengarang Berita Kanan/Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir berkata, fasa undian ini adalah pentas sebenar buat peminat dan khalayak menterjemahkan sokongan mereka daripada sekadar tanda suka di media sosial kepada undian yang membawa impak besar.
“Dalam landskap hiburan hari ini, peminat bukan lagi sekadar penonton pasif, sebaliknya mereka adalah tulang belakang dan penggerak utama yang menentukan hala tuju kerjaya anak seni. Melalui tema ‘Kitalah Bintang’, kami mahu setiap peminat merasai sendiri kuasa yang ada di tangan mereka.
“Inilah masanya untuk peminat dan penyokong tegar bersatu hati membuktikan kesetiaan mereka. Seperti cogan kata kempen kami, ‘Undi Dulu, Baru ‘Flex’!’ kerana sokongan sejati bukan sekadar sorakan di media sosial, tetapi dizahirkan melalui setiap undian yang bakal menobatkan idola mereka di pentas berprestij ABPBH 38 nanti,” katanya.
Bagi menyemarakkan lagi bahang persaingan serta memberi kelebihan kepada peminat untuk menggandakan sokongan, ABPBH 38 turut memperkenalkan Pilihan Gandaan Undian menerusi pakej langganan dan pembelian produk penaja bersama, Daia:
● Akaun Tonton Berdaftar (Percuma): 38 mata undian● Langganan Tonton 12 Bulan (RM108): 10,000 mata undian
● Langganan Tonton 12 Bulan & Langganan Akhbar Digital BH 6 Bulan (RM204): 20,000 mata undian
● Pembelian Produk Daia (Minimum RM35): 3,000 mata undian (khas untuk kategori terpilih iaitu Penyanyi Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Evolusi Gaya Ikon DAIA).
Keputusan penuh bakal ditentukan menerusi format pemarkahan yang mengekalkan nisbah 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus penilaian juri profesional. Pemenang yang merekodkan undian tertinggi bagi kategori tunggal dalam kelompok kategori utama bakal dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 38.
Sebanyak 21 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini meliputi pelbagai cabang seni dan kandungan kreatif, termasuk Artis Baharu Lelaki/Wanita Popular, Penyanyi Lelaki/Wanita Popular, Aktor/Aktres Filem Popular, Aktor/Aktres TV Popular, Aktor/Aktres Pembantu Filem Popular, Aktor/Aktres Pembantu TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular, Artis Komedi Popular serta Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular. Turut bersaing dalam kelompok kategori utama adalah Gandingan Serasi Filem/Drama Popular, Pempengaruh Popular, Atlet Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Evolusi Gaya Ikon DAIA.
Malam Kemuncak ABPBH 38 bakal berlangsung secara gilang-gemilang pada Sabtu, 12 Disember 2026 bertempat di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Selangor. Acara berprestij ini akan disiarkan secara langsung pada jam 9.00 malam di TV3 serta penstriman eksklusif di aplikasi Tonton, manakala acara karpet merah akan bersiaran langsung di platform TikTok @MELODITERHANGAT seawal jam 8.00 malam.
ABPBH 38 menampilkan Daia sebagai Penaja Bersama, dengan sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai rakan radio rasmi, serta platform digital rasmi merangkumi kapsul hiburan BH, Apa Kes? #BHNakTanya, OHBULAN! dan Xtra.
Untuk maklumat lanjut serta terma dan syarat penuh pengundian, orang ramai boleh melayari www.abpbh.com.my atau mengikuti perkembangan terkini menerusi tanda pagar rasmi #ABPBH38 dan #KitalahBintang.
Sebarang pengumuman untuk acara ABPBH 38, termasuk promosi, tajaan dan malam kemuncak akan dikongsi dan diumumkan dari masa ke semasa.
KUALA LUMPUR, 14 November 2026 – Penyanyi tanah air, Aina Abdul mencuri perhatian menerusi persembahannya di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand malam tadi, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas muzik Asia.
Membuat persembahan sebagai peserta ke-11 dan terakhir, Aina tampil dengan lagu Bluest Sky menerusi persembahan yang menampilkan kehebatan vokal serta identiti muzik tersendiri, selain membuka ruang untuk bakat muzik Malaysia diperkenalkan kepada penonton di peringkat serantau.
Aina meraih tempat keempat dengan mengumpul 82 mata daripada juri profesional dan 70 mata menerusi undian awam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 152 mata. Sementara itu, CARMELLE dari Filipina dinobatkan sebagai juara (211 mata), manakala MANG x DAOU dari Thailand menduduki tempat kedua (170 mata), diikuti Tóc Tiên dari Vietnam di tempat ketiga (164 mata).
Aina mencuri perhatian pada malam kemuncak menerusi konsep persembahan berteraskan elemen air yang melambangkan kesedihan dan emosi terpendam. Bermula dengan satu titisan air, visual persembahan berkembang menjadi gelombang besar yang menggambarkan emosi yang semakin melimpah, selari dengan tema lagunya tentang cinta mendalam yang terasa membebankan namun sukar dilepaskan.
Konsep tersebut diserlahkan menerusi prop pentas berbentuk titisan air gergasi dan visual LED, selain busana rekaan Melinda Looi dalam rona turquoise blue serta tona jernih yang mencerminkan elemen air.
Untuk rekod, Aina terlebih dahulu mencetuskan impak luar biasa menerusi persembahannya di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), yang seterusnya melayakkannya untuk mewakili Malaysia dalam Eurovision Song Contest Asia 2026.
Sebagai penyiar rasmi Malaysia, TV3 membawakan siaran langsung pertandingan ini kepada penonton tempatan menerusi saluran TV3 dan platform penstriman Tonton, membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perjalanan Aina mewakili negara di pentas Asia.
Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan serta menyatukan suara demi Aina sepanjang perjalanan ini. Semangat dan sokongan anda menjadi sebahagian daripada momen bermakna buat Malaysia di pentas Eurovision Asia 2026.
Maka Kami #MalaysiaBersamaAinaAbdul
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi @TV3Malaysia.
WANITA HARI INI TEROKA JALINAN BUDAYA KOREA SELATAN DAN MALAYSIA
Saturday, 14 November 2026
Kuala Lumpur, 14 November 2026 - Budaya Korea Selatan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia, bukan sahaja menerusi drama dan muzik, malah melalui keunikan warisan tradisi yang membentuk identiti masyarakatnya. Menerusi segmen khas Wanita Hari Ini (WHI), penonton bakal dibawa meneroka persamaan budaya serta perkongsian pengalaman antara Malaysia dan Korea Selatan.
Diterajui penerbit eksekutif merangkap pengacara WHI, Fiza Sabjahan, segmen khas ini merangkumi pelbagai aspek budaya Korea Selatan, daripada kisah rakyat Malaysia yang mempunyai pengalaman tersendiri di negara tersebut hinggalah keunikan warisan tradisinya.
Antara yang diketengahkan ialah Nabila Ami Mohd Yusof yang mendalami bahasa dan kehidupan di Korea Selatan, serta Yana Azmi Tan yang mengembangkan minat terhadap makanan mereka sehingga menjadi sebuah perniagaan. Turut diteroka ialah tiga aspek utama budaya Korea Selatan, iaitu warisan kulinari, busana tradisional dan dunia kecantikan.
- Warisan Kulinari: Makanan tradisional Korea Selatan seperti jang dan kimchi menjadi focus utama, termasuk pengalaman menyediakan kimchi bersama komuniti ASEAN di Korea Selatan. Menariknya, penggunaan bahan penapaian seperti kicap dan taucu dalam masakan Malaysia turut memperlihatkan persamaan dalam tradisi kulinari kedua-dua negara.
- Busana Tradisional: Sejarah dan keunikan Hanbok diketengahkan menerusi kunjungan ke Pusat Kemajuan Hanbok di bawah Korea Craft & Design Foundation (KCDF). Penonton turut dibawa melihat perkembangan Hanbok melalui rekaan moden serta persamaannya dengan pakaian tradisional Malaysia seperti Baju Kurung.
- Dunia Kecantikan (K-Beauty): Amalan kecantikan tradisional Korea Selatan sejak zaman Dinasti Joseon turut dipaparkan, di samping perkembangan dunia K-Beauty yang terus menggabungkan warisan tradisi dengan pendekatan moden.
Menariknya, segmen khas ini turut mengetengahkan peranan Korean Cultural Center (KCC) Malaysia sebagai pusat pengenalan dan pertukaran budaya. Dibuka secara rasmi di Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2026, KCC Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti dan pengalaman kebudayaan kepada orang ramai yang ingin mendalami budaya Korea Selatan.
Saksikan segmen khas WHI pada Ahad ini, 15 November 2026, jam 2.00 petang menerusi TV3 dan Tonton. Ikuti perkongsian menarik tentang keunikan budaya Korea Selatan serta persamaan tradisi antara masyarakatnya dengan Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai WHI, ikuti laman media sosial rasmi @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok, serta Wanita Hari Ini TV3 di Facebook, @whitv3 di Instagram dan @whitv3malaysia_official di TikTok.
KUALA LUMPUR, 14 November 2026 – Detik yang dinanti akhirnya tiba apabila penyanyi tanah air, Aina Abdul bakal membawa nama Malaysia dalam edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung malam ini di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand.
Sebagai penyiar rasmi Malaysia, TV3 bakal membawakan siaran langsung Eurovision Song Contest Asia 2026 kepada penonton di seluruh negara menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton, bermula jam 9.30 malam.
Pertandingan itu bakal menyaksikan Aina bersaing dengan wakil dari 10 negara lain iaitu Vietnam, Kemboja, Laos, Mongolia, Bhutan, Filipina, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Nepal, dengan Aina dijadualkan membuat persembahan terakhir.
Sejak berangkat ke Bangkok pada 9 November lalu, Aina giat menjalani pelbagai persiapan merangkumi latihan vokal, sesi soundcheck dan persediaan teknikal bagi memastikan setiap aspek persembahannya berjalan lancar. Berbeza daripada persiapan kebiasaannya, Aina kali ini turutmendapat bimbingan daripada guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat yang membantu memantau aspek vokal dan kecergasan fizikalnya.
Peluang beraksi di Eurovision turut merealisasikan impian lama Aina yang mengakui dirinya sebagai peminat tegar pertandingan tersebut, malah sudah mengikutinya sejak Celine Dion membuat persembahan.
“Apabila mendapat tahu Eurovision akhirnya datang ke Asia, saya terus memberitahu pasukan bahawa saya mahu membuat persembahan. Saya sangat gembira kerana impian itu menjadi kenyataan dan saya berpeluang mewakili negara sendiri,” katanya.
Membawa pertaruhan istimewa menerusi Bluest Sky, lagu ciptaan Aina sendiri dengan susunan muzik oleh Mac Chew itu diinspirasikan daripada kucing kesayangannya, Hiro. Merupakan genre power ballad, lagu berkenaan turut menggabungkan elemen muzik Nusantara dengan penggunaan gambus dan seruling.
Dari segi penampilan pentas, Aina bakal mengenakan busana rekaan Melinda Looi yang turut melengkapkan konsep persembahannya. Ketika berkongsi sedikit gambaran mengenai elemen visual yang bakal ditampilkan, Aina memberi bayangan bahawa persembahannya akan melibatkan penggunaan cecair dan sesuatu yang berkilauan, tanpa mendedahkan perincian lanjut.
Dalam pada itu, persiapan teknikal turut menguji dirinya apabila prop persembahannya tiba-tiba gagal bergerak ketika sesi soundcheck kedua terakhir, sehingga menyebabkan Aina terperangkap seketika di dalamnya. Bagaimanapun, Aina memilih untuk melihat kejadian tersebut dari sudut positif sebagai sebahagian daripada proses persiapan sebelum pertandingan sebenar.
“Bagi saya, itu membawa tuah kerana setiap kali menyertai AJL, biasanya ada sesuatu yang berlaku ketika sesi latihan atau soundcheck. Lebih baik perkara itu berlaku sekarang daripada pada hari pertandingan sebenar,” jelasnya.
Sekitar Majlis TV3 Ramadan & Raya 2026: Jwanjih Kenyang, Banglo 289, Raja Chulan
Friday, 13 November 2026



![]() |
| Outfit of the day! |











































