PELAKON ‘MALAIKAT MALAM’ KONGSI KASIH RAMADAN BERSAMA KOMUNITI PERSATUAN ORANG BUTA MALAYSIA | Gandingan Mantap Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Que Haidar Di Pawagam Syawal Ini
Kuala Lumpur, 6 Mac 2026 – Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, barisan pelakon dan tenaga produksi filem Malaikat Malam menganjurkan majlis berbuka puasa dengan meraikan 35 orang tetamu daripada Persatuan Orang Buta Malaysia. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial pihak penerbit dalam menyantuni komuniti OKU penglihatan, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan amalan berkongsi rezeki dan menyebarkan kebaikan
Pemilihan komuniti ini juga bersifat simbolik, bertepatan dengan watak Ratna dalam Malaikat Malam yang merupakan seorang gadis buta. Ia sekaligus mencerminkan nilai empati, kasih sayang dan kepekaan yang menjadi teras penceritaan filem ini, bukan sahaja di layar perak tetapi turut diterjemahkan dalam bentuk inisiatif yang bermakna kepada masyarakat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi penyampaian duit raya kepada para tetamu sebagai tanda ingatan dan sokongan. Suasana menjadi lebih bermakna apabila barisan pelakon dan tenaga produksi meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Turut hadir meraikan adalah Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf, Riezman Khuzaimi, Pengarah Nazifdin Nasrudin.
Menurut Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Filem Malaikat Malam, “Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, kami amat berbesar hati dapat menganjurkan majlis berbuka puasa bersama komuniti orang buta pada hari ini. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak NGO serta semua tetamu yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kami dalam majlis yang cukup bermakna ini.
Inisiatif ini selari dengan mesej yang dibawakan menerusi filem Malaikat Malam, yang menekankan nilai penerimaan, empati dan kekuatan melihat dengan hati, bukan sekadar dengan mata. Kami percaya setiap individu berhak dihargai, diraikan dan diberikan ruang yang sama dalam masyarakat. Semoga pertemuan ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi langkah kecil ke arah membina komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan saling menyokong antara satu sama lain.

Kami juga mengharapkan ia dapat memantapkan lagi hubungan sesama kita baik sebagai rakan sekerja, sahabat handai dan seterusnya sesama kita sebagai Khalifah di atas muka bumi ini untuk bekerja bersama-sama memakmurkan bumi ALLAH SWT dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya segala kebaikan dan kesempurnaan itu datang dari ALLAH SWT dan segala kekurangan serta kelemahan itu datang dari kita sebagai manusia biasa.”
Penerbit Eksekutif Malaikat Malam dan juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Majlis hari ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial kami dalam memastikan mesej positif yang dibawa oleh Malaikat Malam tidak hanya dipersembahkan di layar perak, tetapi turut diterjemahkan melalui inisiatif yang bermakna kepada masyarakat. Dengan menyantuni golongan kurang upaya dari Persatuan Orang Buta Malaysia, majlis ini menjadi satu pengalaman yang unik, penuh refleksi dan sarat dengan nilai empati, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan kita berkongsi rezeki serta berbuat kebaikan.
Kami berharap detik kebersamaan ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada para tetamu, tetapi turut meninggalkan kesan emosi yang tulus, sekali gus memperkukuh peranan filem sebagai medium hiburan yang berjiwa, bertanggungjawab dan memberi inspirasi kepada masyarakat.”
Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam dan juga Ketua Pegawai Eksekutif, Kandungan dan Rangkaian Televisyen Media Prima serta Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, berkata, “Sebagai antara peneraju industri kandungan tempatan, Primeworks Studios sentiasa komited menyokong penghasilan filem berkualiti tinggi yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa nilai dan mesej yang bermakna kepada penonton. Inisiatif bersama komuniti Persatuan Orang Buta Malaysia ini mencerminkan nilai empati dan kemanusiaan yang turut menjadi nadi kepada penceritaan Malaikat Malam. Kami berharap filem ini bukan sahaja memberi pengalaman tontonan yang menyentuh emosi, malah terus memperkukuh peranan filem tempatan sebagai karya yang berkualiti dan memberi impak kepada penonton."
Filem Malaikat Malam merupakan terbitan empat penerbit terkenal, Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, yang kini bersedia menemui penonton di pawagam Syawal ini bermula 26 Mac 2026.
Menambah kekuatan naskhah ini, Syafiq Yusof yang terkenal dengan deretan filem pecah panggung, menggalas peranan sebagai penerbit Malaikat Malam, sekali gus memperkukuh nilai produksi dan skala penceritaan filem ini. Dari segi pengarahan, filem ini diterajui oleh Nazifdin Nasrudin dan ini merupakan filem arahan pertamanya.
Naratif filem ini digerakkan oleh keserasian lakonan Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol, disokong oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Que Haidar dan Riezman Khuzaimi bersama pelakon berbakat besar termasuk Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin dan Akmal Asyraf.
Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna dan menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
Dalam pada itu, pasukan Malaikat Malam bersama penyanyi berkumpulan popular, Alpha turut menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial dengan mengedarkan makanan dan minuman kepada pemandu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada 3 Mac lalu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Filem Malaikat Malam akan temui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac 2026. Gunakan #MalaikatMalam2026 di platform digital. Ikuti perkembangan terkini dan info menarik tentang Malaikat Malam di semua platform Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studio.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.