PUTERI BALQIS DIDIDIK PENUH KASIH, NAMUN DI MANA SILAPNYA?

Monday, 9 March 2026

PUTERI BALQIS DIDIDIK PENUH KASIH, NAMUN DI MANA SILAPNYA? | Anugerah Tanpa Cahaya, Kisah Potret Keluarga Tentang Pengorbanan dan Pemberontakan

Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Dalam pelukan kasih yang membesarkan seorang anak, tersimpan harapan dan doa yang tidak pernah putus. Namun apabila langkahnya mula menjauh daripada dunia yang membesarkannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Tonton Original Series terbaharu, Anugerah Tanpa Cahaya, tampil sebagai sebuah naskhah 10 episod yang menyelami sisi rapuh hubungan ibu bapa dan anak serta haluan hidup yang membawa padah.

Diterajui barisan pelakon hebat seperti Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail, drama arahan Amor Rizan ini bakal mula bersiaran di Tonton bermula 16 Mac 2026, setiap Isnin dan Selasa, jam 12.00 tengah malam. Berlatarbelakangkan sebuah keluarga yang diuji oleh kasih yang mula dipersoalkan, Anugerah Tanpa Cahaya mengangkat konflik emosi antara seorang anak yang mendambakan kehidupan lebih baik dan ibu bapa yang hanya mampu memberi seadanya.

Cerita ini bermula apabila Bahar (Azhan Rani) dan Tijah (Amyza Aznan) menemui seorang bayi yang ditinggalkan di luar rumah mereka, lalu membesarkannya sebagai anak angkat dan menamakannya Husna. Dibela dengan limpahan kasih sayang, Husna (Puteri Balqis) menjadi pusat dunia Bahar. 

Lama-kelamaan, Tijah mula berasa resah apabila Bahar terlalu memanjakan Husna dan menuruti hampir setiap kehendaknya.

Apabila meningkat remaja, Husna mula memberontak. Dia sering ponteng sekolah, menipu dan mencuri, didorong oleh keinginan untuk keluar daripada kehidupan serba kekurangan yang selama ini dirasakannya. Husna akhirnya melarikan diri dari rumah dan terjerumus dalam hubungan dengan Zafran (Hafeez Mikail), seorang lelaki yang memiliki sisi gelap, sekali gus menjauhkannya daripada keluarga yang membesarkannya.

Puteri Balqis yang berkongsi tentang wataknya berkata Husna bukanlah seorang remaja yang dilahirkan bermasalah, sebaliknya seorang anak biasa yang hanya cuba menyesuaikan diri dengan dunia di sekelilingnya.

“Sebagai remaja, pasti ada naik turunnya kerana pada usia itu kita sedang mengenal dunia dan mencari diri sendiri. Dalam proses itu, kadang-kadang kita buat pilihan yang salah, tetapi daripada situlah kita belajar dan sedar tentang kesilapan yang dilakukan. Bagi saya, Husna hanyalah seorang remaja yang sedang mencari tempatnya dalam dunia, walaupun jalan yang dipilihnya memberi kesan kepada dirinya dan orang di sekelilingnya.”

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Anugerah Tanpa Cahaya, sebuah cerita penuh pengajaran yang bakal memberi kesan dalam bulan Ramadan ini, eksklusif di Tonton mulai 16 Mac 2026, setiap Isnin dan Selasa jam 12.00 tengah malam.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.