LANGKAH KANAN LUQMAN HAFIDZ: DARI DEPAN KAMERA KE KERUSI PENGARAH

Wednesday, 1 July 2026

LANGKAH KANAN LUQMAN HAFIDZ: DARI DEPAN KAMERA KE KERUSI PENGARAH | SUNTIK PERSPEKTIF SPIRITUAL DALAM FILEM SERAM KERAMAT GUNUNG JERAI

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2026 – Di saat industri sinema tempatan sedang dilonjakkan oleh fenomena filem seram, sebuah lagi naskhah bergenre serupa bakal menjengah penonton. Bagaimanapun, naskhah ini tampil dengan acuan yang berbeza. Keramat Gunung Jerai, yang dijadualkan ditayangkan pada 8 Julai 2026, bukan sekadar sebuah lagi filem seram komersial. 

Ia menandakan satu transisi besar bagi pelakon berbakat Luqman Hafidz, yang buat pertama kalinya duduk di kerusi pengarah, sekali gus melakar sejarah sebagai Tonton Originals pertama yang ditawarkan secara Pay-Per-View (PPV), iaitu melalui model Transactional Video on Demand (TVOD).

Diterbitkan oleh Lumatic Films, naskhah psikologi-seram ini membariskan pelakon gandingan hebat seperti Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Putra dan Sara Ali.

Kepercayaan Dua Tahun Nik Amir Mustapha  & Lumatic Films


Bagi seorang pelakon untuk beralih arah sebagai pengarah, ia memerlukan visi yang matang. Namun bagi Luqman Hafidz, peluang ini hadir daripada proses perancangan dan diskusi mendalam selama dua tahun bersama pengarah berkaliber tanah air, Nik Amir Mustapha (Bru, Imaginur, Terbaik Dari Langit).

Naskhah yang skripnya dikembangkan oleh Hadi M. Nor ini lahir daripada perbualan-perbualan kecil antara beliau dan Nik Amir Mustapha, yang akhirnya membuahkan keyakinan tinggi buat Lumatic Films untuk menyerahkan tanggungjawab besar ini kepada Luqman.

"Dapat berguru dan bertukar pandangan secara dekat dengan beliau (Nik Amir Mustapha) sepanjang proses ini adalah satu rezeki dan pengalaman yang saya akan sentiasa hargai. Terima kasih kerana mempercayai saya dan membawa nama saya kepada pihak Tonton sehingga mereka terbuka hati untuk memberi peluang kepada saya," ujar Luqman penuh kesyukuran.

Menolak Mitos Khurafat, Mengangkat Nilai Spiritual Gunung Jerai


Mengulas mengenai titik tolak pembikinan filem ini, Luqman menegaskan bahawa pemilihan lokasi Gunung Jerai bukanlah untuk mengeksploitasi kisah mistik semata-mata, sebaliknya sebagai satu usaha murni mengembalikan naratif sejarah dan spiritual tempat tersebut yang kini sering disalah ertikan di media sosial.

"Saya mahu penonton melihat bahawa sebuah tempat yang mempunyai sejarah yang begitu baik tidak seharusnya hanya dikenali melalui cerita-cerita yang menimbulkan syak wasangka atau fitnah. Kadang-kadang sesuatu yang baik lebih mudah dihargai apabila ia diletakkan dalam kontras dengan sesuatu yang gelap," jelas beliau menepis tanggapan naskhahnya sekadar menjual elemen jumpscare.

Memiliki latar belakang dalam latihan Neuro-Linguistic Programming (NLP) sejak muda, Luqman menyuntik elemen psikologi manusia yang mendalam ke dalam plot keretakan hubungan tiga sahabat akibat sebuah ritual terlarang masa lalu.

Sentuhan Acting Treatment dan Komunikasi Intim Bersama Cast


Sebagai pengarah yang tidak hadir daripada latar belakang sekolah filem formal, Luqman menggunakan kelebihannya yang berpengalaman luas di depan kamera serta latihan teater untuk membentuk signature style tersendiri, iaitu fokus kepada acting treatment dan pembinaan karakter yang natural.

Mengulas mengenai pengalamannya mengemudi barisan pelakon berbakat, Luqman menyifatkan set Keramat Gunung Jerai sebagai ruang diskusi kreatif yang sangat matang, terutamanya bersama Iedil Putra dan Sara Ali yang merupakan sahabat lamanya, kehebatan lakonan bersahaja Cristina Suzanne, serta komitmen luar biasa daripada Niezam Zaidi.


"Saya percaya penonton hari ini semakin bijak. Mereka mencari sesuatu yang terasa benar. Jadi saya cuba membina persembahan yang lebih natural, lebih terkawal dan lebih dekat dengan kehidupan sebenar. Apabila penonton percaya kepada manusia dalam cerita itu, barulah mereka akan percaya kepada segala perkara yang berlaku selepas itu, termasuk elemen seramnya," kata Luqman lagi.

Kepercayaan yang diberikan tidak disia-siakan. Malah, portfolio pengarahan Luqman kini terus berkembang apabila beliau kini sedang mengarahkan sebuah lagi siri 10 episod untuk platform yang sama berjudul Sihir Isteri.


Di sebalik debaran menanti reaksi penonton pada 8 Julai ini, Luqman berharap Keramat Gunung Jerai mampu meninggalkan impak yang lebih besar daripada sekadar hiburan. Beliau mahu filem ini menjadi naskhah yang membawa penonton berfikir tentang pilihan hidup, adab serta akibat daripada setiap tindakan manusia.

Saksikan Keramat Gunung Jerai secara eksklusif di platform Tonton bermula 8 Julai 2026 menerusi Pay-Per-View (PPV) pada harga hanya RM12.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram di @tontonmy.

Blog Performance June 2026

 

Lega betul LRT3 dah selamat beroperasi penghujung bulan Jun, jalan pun dah tak teruk jam dia. Pagi ni lah sakit sikit sebab traffic light dekat Skypark rosak, hijau cuma 3 saat je. Masuk office terus siapkan kerja tertungaak, jumpa client lepastu update report card bulan lepas. 

1. PV

Pageview untuk bulan Jun 2026 jatuh lagi dan ada gap besar lah dengan bulan Mei 2026 tapi faham je sebab tak ada review yang trending pun. Kalau ada pun, I yang malas atau tak sempat nak update waktu dia tengah hype. 

Hopefully yang I update bulan ni boleh lah jadi punca pageviews naik di bulan Julai. Kalau boleh nak report card bulan depan ada peningkatan. Kalau tak ada pun lantak lah, alash lion. 

2. Posts


Tak sangka pulak entri movie review filem Kartavya tu naik atas sekali mengalahkan filem tengah hype macam Khadam dan 5 Bomoh. Filem Bollywood ni tak ada yang best, sama juga dengan filem Indonesia. Kalau ada pun, I yang tak tengok lagi atau buat review lagi. Tak hairan lah kalau yang masuk popular post ni tak tinggi pun views dia. 

3. Keywords

Keywords untuk bulan ni banyak pada lirik lagu Haru Biru - ALPHA ft Daiyan Trisha tapi tak lah setinggi lirik lagu Jodoh Lebaran. Dah habis raya pun ada yang mencari lagi. Kuat betul impak dia eh. 

4. Bilangan Entri



Happy bila tengok bilangan entri dapat cecah sampai 76 untuk bulan Jun. Dah lama tak dapat 70 entri lepas tahun 2023. Walaupun ada banyak entry press release tapi banyak juga lah I update untuk kurangkan storage Google Photos. Happy jugak dapat update entry berkaitan Cannes walaupun 3 entri je. Nak siapkan 1 entri pun makan masa so bila dapat buat 3 memang rasa nak tepuk bahu sendiri. 

Untuk bulan Julai ni nak cuba update review banyak sikit supaya boleh clearkan lagi banyak draft. Tak nak lah target 70 entri lagi cuma nak maintain 60 entri sebulan. 

Bulan Jun dah bertambah lagi satu followers dan I nampak ada kawan blogger nak aktif balik blogging so I hope makin ramai supaya dapat meriahkan balik dunia blogging macam sebelum ni. Thank you kepada yang membaca dan menyinggah ke blog ni. Have a happy July everyone 💥