MARIAM SAIM JEJAKI “SEDIKIT CAHAYA”

Monday, 27 July 2026

MARIAM SAIM  JEJAKI “SEDIKIT CAHAYA” | MUZIK VIDEO MINIMALIS TAMPIL DRAMATIK & LUAHAN JIWA YANG MENDALAM

Kuala Lumpur, 27 Julai 2026 — Selepas berjaya mencuri perhatian menerusi pelbagai karya beremosi bermula daripada Bulan, Puaskah, hinggalah lagu ciptaan peribadinya Cinta Gila, penyanyi dan komposer berkaliber Mariam Saim kini kembali melangkah gagah dengan single terbaharu berjudul Sedikit Cahaya. Diterbitkan di bawah naungan Alternate Records & Talents, karya terbaharu ini turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi drama Tonton Originals, Neraka Yang Terhijab.

Hasil nukilan dan sentuhan komposer juga penulis lirik tersohor John Jeeves bersama Firdaus Rahmat, Sedikit Cahaya membawakan penceritaan emosi yang sangat mendalam. Lagu ini berkait rapat dengan jalan cerita watak heroin drama berkenaan yang menempuh pelbagai ujian hidup, dikhianati, terluka dan hilang arah, namun tetap gigih mencari sekelumit sinar harapan untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan.

“Bila saya hayati lagu ini, saya membayangkan diri saya sebagai watak heroin yang melalui pelbagai kegelapan. Menepati dengan tajuknya ‘Sedikit Cahaya’, kadang-kadang kita tak perlukan cahaya yang terlalu terang, cukup sedikit sahaja untuk memberi kekuatan meneruskan hidup sebagai lambang harapan,” luah Mariam.

Bagi Mariam, karya ini bukan sekadar sebuah lagu OST, malah membawa refleksi peribadi terhadap perjalanan seni beliau sendiri. Mengimbas kembali pengalaman melalui fasa Semifinal AJL40 menerusi lagu Puaskah, Mariam menyifatkan fasa tersebut mengajar beliau untuk sentiasa percaya bahawa setiap perjalanan ada hikmahnya dan setiap penantian ada waktunya.

“Semasa rakaman, saya bukan sekadar menyanyi sebagai Mariam atau watak dalam drama tetapi menyampaikan setiap lirik berdasarkan pengalaman dan harapan yang saya sendiri pernah rasakan. Sokongan keluarga, rakan-rakan, pasukan, pihak media dan peminat adalah antara penyumbang terbesar 'Sedikit Cahaya' dalam hidup saya,” tambah Mariam lagi.

Bekerjasama di bawah bimbingan John Jeeves dan Firdaus Rahmat di studio memberi ruang kepada Mariam untuk menonjolkan evolusi penyampaian vokal yang lebih matang. Berbanding hanya bersandarkan kekuatan vokal semata-mata, Mariam kini lebih menekankan aspek penceritaan dan luahan jiwa yang mampu menyentuh pelbagai sudut pandang pendengar, sama ada yang berkaitan dengan kehilangan, perjuangan hidup, mahupun impian.

Sentuhan Visual 'One Continuous Shot' Oleh Pengarah Boboy Jehori

Bagi melengkapkan perjalanan emosi lagu ini, muzik video (MV) Sedikit Cahaya mendapat sentuhan arahan kreatif Boboy Jehori. Menterjemahkan penceritaan visual daripada kegelapan menuju cahaya, MV ini menggunakan pendekatan minimalis dengan penataan warna tona gelap teal (biru kehijauan) yang mewakili kesunyian, sebelum bertukar kepada pencahayaan kuning sebagai simbolik harapan dan peluang kedua.

Menariknya, MV ini dihasilkan menggunakan teknik penggambaran one continuous shot (satu syot berterusan tanpa henti) bagi memastikan aliran emosi penyampaian Mariam tidak terputus dari awal hingga akhir. Pendekatan ini memerlukan fokus, stamina serta komitmen tinggi daripada Mariam dan seluruh tenaga kerja set penggambaran kerana sebarang kesilapan akan memerlukan penggambaran diulang semula dari awal.

“Kami mahu penonton merasai seolah-olah mereka sedang berjalan bersama Mariam sepanjang perjalanan mencari ‘Sedikit Cahaya’. Harapan saya sangat sederhana, saya mahu penonton bukan sekadar melihat visual yang cantik, tetapi turut merasai kekuatan untuk bangkit daripada kegelapan,” jelas pengarah Boboy Jehori.

Muzik video Sedikit Cahaya kini boleh ditonton, di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.