MELODI MELANGKAH KE ERA BAHARU DENGAN IDENTITI SEGAR, HOS DAN SEGMEN BAHARU!

Friday, 17 July 2026

Kuala Lumpur, 16 Julai 2026 – Program hiburan ikonik TV3, Melodi, kini melangkah ke era baharu dengan pembaharuan menyeluruh yang menjanjikan pengalaman tontonan lebih segar, moden dan dinamik. Masih mengekalkan kehangatan yang menjadi identitinya sejak sekian lama, Melodi kini tampil dengan wajah baharu, pengisian yang lebih menyeluruh serta pendekatan yang lebih dekat dengan citarasa penonton. Bermula 16 Julai 2026, Melodi bakal bersiaran dengan wajah baharu secara langsung setiap Khamis, jam 9.00 malam di TV3 dan turut distrim menerusi Tonton. 

Sebagai program yang telah sekian lama menjadi rujukan utama perkembangan dunia hiburan tempatan, Melodi kini hadir dengan penampilan serba baharu yang merangkumi pembaharuan pada identiti visual, set studio serta penyampaian kandungan yang lebih moden. Bukan sekadar menyajikan gosip selebriti, Melodi turut memperluaskan skop liputannya dengan membawakan berita dan perkembangan terkini industri hiburan merangkumi filem, muzik, drama, fesyen, gaya hidup, acara hiburan, laporan eksklusif serta pelbagai kisah yang menjadi perhatian ramai. Pendekatan ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Melodi sebagai destinasi utama buat peminat hiburan tempatan. 

Menghangatkan lagi pembaharuan ini, Melodi menampilkan Kamal Adli, yang dikenali ramai sebagai 'King of Threads', sebagai hos baharu yang akan bergandingan bersama Ain Edruce. Berbekalkan personaliti yang spontan, berkarisma dan sentiasa mengikuti perkembangan industri hiburan, Kamal dijangka menyuntik dimensi baharu kepada program ini. Digandingkan dengan Ain yang terkenal dengan gaya penyampaian bersahaja dan menghiburkan, mereka bakal mengemudi Melodi dengan pendekatan yang lebih segar, sekali gus menjadikan setiap episod lebih meriah serta dekat dengan penonton.

Dalam usaha memperkukuhkan lagi penawaran kandungannya, Melodi turut memperkenalkan segmen baharu Muzik-Muzik 41, yang membawakan perkembangan terkini carta muzik tempatan setiap minggu di samping menggalakkan penyertaan peminat dalam proses pengundian menuju ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). 

Bagi memperluaskan lagi capaian kepada pencinta muzik di seluruh negara, Hot FM turut menjadi rakan radio rasmi Muzik-Muzik 41 menerusi segmen Carta Juara Lagu. Bersiaran setiap Ahad, jam 8.00 hingga 10.00 malam bersama Keymi, segmen ini membawakan 20 lagu yang menghuni Carta Muzik-Muzik setiap minggu, sekali gus memperkukuhkan sinergi antara televisyen, radio dan platform digital dalam meraikan industri muzik tempatan.

Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan perkembangan dan berita terhangat menerusi wajah baharu Melodi yang tampil lebih moden, pantas serta lebih dekat dengan peminat masa kini. Saksikan kemunculan terbaharu Melodi bermula 16 Julai 2026, setiap Khamis, jam 9.00 malam secara langsung di TV3, atau strim menerusinya di Tonton. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Melodi di Instagram @meloditerhangat dan Tiktok @meloditerhangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.