‘AKAD TAK DIPINTA’ DENDAM SILAM REDZA ROSLI MERUNTUHKAN JIWA NASUHA SULAIMAN | LAFAZ MENYATUKAN, HATI MENENTUKAN
Kuala Lumpur, 23 Julai 2026 – Apabila sebuah ikatan perkahwinan tidak dibina atas dasar cinta melainkan api dendam yang membara, penderitaan menjadi takdir yang tidak dapat dielakkan. Akad Tak Dipinta, sebuah drama terbaharu melodrama psikologi-romantis yang sarat dengan konflik emosi, manipulasi dan rahsia keluarga, bakal menemui penonton mulai 30 Julai hingga 2 September 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.
Menampilkan gandingan mantap Redza Rosli, Nasuha Sulaiman, Faa Zaini, Darien Aeldra dan Sharifah Shahora, drama 20 episod ini bakal membawa penonton menyelami perjuangan emosi watak-watak utama yang terperangkap dalam percaturan takdir, pengkhianatan dan misteri kematian silam.
Akad Tak Dipinta mengisahkan Seri (Nasuha Sulaiman), seorang akauntan yang cuba membina semula hidupnya selepas kehilangan cinta pertamanya Saif (Fendy Bakry), dalam sebuah kemalangan tragis. Kehidupan Seri kembali terancam apabila dipertemukan dengan Seth (Redza Rosli), majikannya yang dingin dan penuh rahsia. Demi menyelamatkan diri daripada perkahwinan yang mengongkong, Seri menerima lamaran Seth tanpa menyedari akad tersebut adalah permulaan sebuah mimpi ngeri.
Sebaik melangkah ke alam rumah tangga, hakikat sebenar terbongkar bahawa Seth merupakan adik kandung kepada arwah Saif. Seth mengahwini Seri semata-mata untuk membalas dendam atas kehancuran keluarganya, sekali gus menjadikan Seri buruan hukuman emosi atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Situasi menjadi semakin parah dengan kehadiran Harlyn (Faa Zaini), yang licik menggunakan pelbagai tipu muslihat dan manipulasi untuk merampas Seth di samping menghancurkan hidup Seri.
Di sebalik derita, tangisan dan konflik korporat yang melanda, satu persatu rahsia gelap mula terlerai termasuk kebenaran sebenar di sebalik kematian Saif serta persengketaan keluarga yang tersembunyi. Mampukah kejujuran merawat luka dendam yang membara atau adakah perkahwinan ini bakal berakhir dengan kehancuran mutlak?
“Watak Seth menguji emosi dan minda kerana dia terperangkap antara kebencian yang dalam dan perasaan yang mula berubah tanpa disedari. Perkahwinan ini bermula atas dasar dendam, namun kebenaran sering kali datang dengan harga yang sangat tinggi. Saya percaya penonton akan turut merasakan pergelutan jiwa setiap watak dalam drama ini,” jelas Redza Rosli.
Lebih daripada sekadar kisah penderitaan rumah tangga, Akad Tak Dipinta menyajikan naratif psikologi dan suspens yang mendalam tentang hakikat kejujuran, pengorbanan serta impak kebencian yang memakan diri. Dengan plot yang mendebarkan dan sarat permainan emosi, drama ini menjanjikan tontonan yang mencengkam perasaan dari episod pertama hingga ke penghujungnya.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama Akad Tak Dipinta, mulai 30 Julai 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.