
Kuala Lumpur, 8 Julai 2026 – Selepas empat dekad mengangkat karya terbaik negara, Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) terus melakar evolusinya menerusi sambutan ulang tahun yang lebih gah dan berprestij. Menerusi AJL40: Pandangan Pertama (The First Look), TV3 mengumumkan pelbagai inisiatif dan pengisian istimewa baharu sempena penganjuran berprestij ini, termasuk mengumumkan komposer dan penerbit Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik AJL40, sekali gus menerajui visi kreatif edisi ulang tahun ke-40.

Memasuki ulang tahunnya yang ke-40, AJL40 tampil dengan tema “Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia” serta mesej “Love Your Legacy, Elevate Your Future,” yang mencerminkan komitmen program berprestij ini untuk meraikan evolusi karya muzik tempatan sambil membuka ruang kepada generasi baharu untuk membentuk masa depan industri.
Sejak diperkenalkan, AJL berkembang daripada sebuah pertandingan nyanyian kepada produksi muzik berskala besar yang menjadi penanda aras persembahan di Malaysia. Lebih daripada sekadar pertandingan, AJL menjadi platform yang meraikan kreativiti komposer, penulis lirik dan penyanyi, di samping memperkukuh ekosistem industri dengan menyatukan pelbagai generasi penggiat muzik.
Bagi merealisasikan visi kreatif tersebut, Aubrey Suwito dipilih untuk menggalas peranan sebagai Pengarah Muzik AJL40. Selari dengan tema sambutan tahun ini, sentuhan beliau bakal menghubungkan legasi AJL dengan aspirasi masa depan industri menerusi susunan muzik yang lebih segar, kontemporari dan bertaraf dunia.
Antara pengumuman lain yang berlangsung pada AJL40: Pandangan Pertama (The First Look) ialah pengiktirafan Anugerah Ikon AJL40, yang menyaksikan Faizal Tahir dan Hael Husaini diumumkan sebagai penerima atas sumbangan serta impak besar mereka terhadap perkembangan muzik Malaysia. Bersempena ulang tahun penganjurannya yang ke-40, AJL40 membawa kembali Anugerah Ikon AJL40 sebagai pengiktirafan istimewa bagi menghargai pengkarya yang menyumbang kepada industri muzik Malaysia menerusi penciptaan karya, pembangunan bakat dan pembinaan ekosistem muzik tempatan.
Faizal Tahir diiktiraf atas peranannya sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit muzik dan mentor yang telah banyak membimbing serta melahirkan generasi baharu penggiat muzik. Hael Husaini pula diiktiraf atas kejayaannya sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik yang konsisten menghasilkan karya berimpak tinggi, bukan sahaja untuk dirinya sendiri, malah untuk pelbagai artis tempatan.
Maklumat lanjut mengenai anugerah ini, termasuk latar belakang serta rasional pemilihan Faizal Tahir dan Hael Husaini, boleh dirujuk di sini.
Turut diumumkan ialah kembalinya Naz Rahman dan Sissy Imann sebagai hos utama selepas menerima sambutan positif pada edisi lalu. Fizi Ali bersama Fiza Frizzy pula akan mengendalikan liputan karpet merah dan belakang pentas, sekali gus membawa penonton lebih dekat dengan kemeriahan serta momen eksklusif di sebalik tabir AJL40.
Majlis turut diserikan dengan tayangan tiga video khas yang menampilkan perkongsian daripada pemuzik tersohor Datuk Acis, Aubrey Suwito, serta Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza mengenai peranan AJL dalam memartabatkan karya tempatan, membentuk landskap muzik negara dan melahirkan generasi baharu pengkarya.
Sambutan AJL40 turut diperkaya menerusi Muzik Lab yang pertama kali dianjurkan dan akan berlangsung pada 11 Julai 2026, Sabtu ini di McDonald's Pantai Sentral Park. Dibawakan khas oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), hab kreatif ini menghimpunkan sesi perkongsian bersama penggiat industri, persembahan artis, sesi meet & greet bersama Mekdi Superfans serta pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada peminat mendekati dunia muzik tempatan dengan lebih dekat.
Bagi mendekatkan peminat dengan barisan finalis serta memeriahkan musim AJL40, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang penganjurannya. Antaranya ialah Meet & Greet Yang Ke-40, siri jelajah yang menemukan para finalis dengan peminat di cawangan McDonald's terpilih. Selepas Ipoh pada 12 Julai 2026, jelajah ini akan diteruskan ke Kuantan pada 18 Julai, Johor Bahru pada 25 Julai sebelum melabuhkan tirainya di Kuala Lumpur pada 1 Ogos.
Majlis AJL40: Pandangan Pertama (The First Look) dibuka dengan persembahan Mariam OIAM diiringi Rio Jazz Band menerusi medley 10 lagu finalis AJL40. Suasana diteruskan dengan medley lagu Vokal Terbaik nyanyian Hafiz Suip iaitu Noktah Cinta, Awan Nano, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku dan Kisah Cinta Kita, sebelum tirai majlis dilabuhkan menerusi persembahan Ning Baizura dengan lagu Curiga dan Awan Yang Terpilu.
AJL40 dibawakan oleh McDonald's Malaysia dan Ronald McDonald House Charities sebagai badan kebajikan pilihan, dengan Shopee sebagai Rakan E-Commerce, Grab selaku Rakan E-Hailing Rasmi serta Volvo sebagai Rakan Selamat.
Dalam pada itu, jualan tiket AJL40 yang dibuka sejak 26 Jun 2026 terus menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat. Orang ramai yang ingin menyaksikan malam kemuncak AJL40 secara langsung boleh mendapatkan tiket menerusi www.wowtix.com.my sementara tiket masih ada.
Saksikan malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) yang akan disiarkan secara langsung dari Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026 (Sabtu), jam 9.00 malam menerusi TV3 dan Tonton. Ikuti perkembangan terkini AJL40 menerusi platform digital rasmi TV3 serta sertai kemeriahannya di media sosial menggunakan tanda pagar #AJL40 dan #GENERASISELAMANYAJUARA.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X dan Threads di @TV3Malaysia serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.