LEDAKAN VOKAL & PESONA BINTANG BAKAL GEGARKAN PENTAS ABPBH 38!

Saturday, 28 November 2026

KUALA LUMPUR, 28 November 2026 – Bahang menjelang malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-38 semakin terasa! Mengangkat tema ‘Kitalah Bintang’, edisi kali ini bakal menghimpunkan barisan penghibur dan personaliti terkenal tanah air dalam sebuah acara yang meraikan bakat, populariti serta pencapaian industri hiburan tempatan.

Malam Kemuncak ABPBH 38 bakal berlangsung pada Sabtu, 12 Disember 2026, jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton. Selain mengiktiraf populariti anak seni menerusi sokongan dan undian peminat, penganjuran kali ini turut menjadi platform menghargai sumbangan penggiat industri hiburan dan kreatif tanah air sepanjang tahun 2026.

Kemeriahan malam berprestij ini bukan sekadar tertumpu kepada debaran pengumuman pemenang, malah pentas utamanya bakal menyaksikan gabungan vokal mantap dan persembahan bertenaga daripada penghibur merentas generasi. Membawa keunikan serta identiti muzik masing-masing, penonton bakal dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Ernie Zakri, Noraniza Idris, Aina Abdul, Elly Mazlein, Aisha Retno, Drama Band, Merrah dan Zaki Yamani. Tidak kurang dinantikan, adakah Aina Abdul bakal membawa ‘Bluest Sky’, lagu yang dipertaruhkannya di Eurovision Song Contest Asia 2026, ke pentas ABPBH 38?

Turut melengkapkan acara ialah barisan penyampai anugerah daripada pelbagai latar dunia lakonan, muzik dan personaliti digital, antaranya Aniq Suhair, Adrian Mr POV, Hael Husaini, Dai Fuad, Zairi Aziz, Nabila Huda, Ain Edruce, Marsha Milan, Nora Danish, Riena Diana dan Siti Khadijah Halim.

Mendahului acara utama, segmen Karpet Merah pula bakal bersiaran secara langsung mulai jam 8.00 malam menerusi saluran TikTok rasmi @meloditerhangat, menampilkan penampilan eksklusif selebriti serta sorotan suasana sebelum tirai malam kemuncak dibuka.

ABPBH 38 diharumkan oleh Daia dan Bioré selaku rakan bersama.

Persoalannya, siapakah yang bakal dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dan membawa pulang trofi berprestij tahun ini? Segala persoalan bakal terjawab pada Sabtu, 12 Disember 2026!

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai ABPBH 38, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok di @TV3Malaysia, @BeritaHarian dan @MelodiTerhangat serta sertai perbualan menggunakan tanda pagar #ABPBH38 dan #KitalahBintang.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.