Kuala Lumpur, 5 November 2026 - Setelah hampir sebulan membuai emosi penonton slot Akasia TV3, drama fenomena Andai Masih Ada Maaf, kini melangkah ke minggu episod akhir. Drama 28 episod terbitan FJ Pictures Sdn Bhd dan arahan Feroz Kader ini telah berjaya menambat hati jutaan penonton serta mendominasi pelbagai carta trend di media sosial sepanjang tempoh tayangannya.
Mengangkat plot konflik berteraskan fitnah, penyesalan dan ujian kepercayaan rumah tangga, lakonan mantap gandingan teraju utama Fattah Amin, Hannah Delisha, Nazrief Nazri dan Malek Mccrone terus dipuji kerana berjaya menghidupkan watak dengan berkesan.
Drama karya K. Adli ini bermula dengan paparan indah kehidupan Hana (Hannah Delisha) dan suaminya, Dr. Reza (Fattah Amin), seorang doktor psikologi. Kehidupan sempurna mereka bersama anak perempuan tercinta mula digoncang dengan kemunculan semula Azmeer (Nazrief Nazri), kenalan lama yang menyembunyikan dendam silam.
Manipulasi licik dan fitnah yang dirancang Azmeer akhirnya memakan diri Reza apabila beliau terperangkap dan meyakini isterinya mempunyai hubungan sulit. Keputusan terburu-buru Reza menjauhkan diri dan melepaskan kepercayaan terhadap Hana bukan sahaja meruntuhkan rumah tangga mereka, malah menyebabkan Hana menjadi mangsa kecaman netizen dan sanak saudara selepas berita dakwaan kecurangan itu tular.
Kini, apabila kebenaran dan plot jahat Azmeer mula terbongkar satu demi satu, penonton dibawa menelusuri fasa keinsafan Reza yang sarat dengan penyesalan, sebuah refleksi nyata yang amat berat akibat daripada kesilapannya sendiri.
Sejak melangkah ke episod-episod akhir, media sosial seperti X, TikTok dan Instagram @dramasangat dihujani dengan perbincangan panas serta reaksi emosi daripada penonton setia. Pelbagai komen mengkritik ego dan sikap terburu-buru Dr. Reza yang meyakini fitnah tanpa usul periksa. “Senang-senang nak minta maaf lepas dah hancurkan hati Hana. Reza tak layak dapat peluang kedua!”, tulis seorang pengguna di X.
Netizen rata-ratanya memberikan sokongan moral buat watak Hana yang tabah menghadapi kecaman. Kebanyakan penonton berharap Hana tidak terlalu mudah memaafkan Reza di episod akhir nanti demi memberi pengajaran. Dalam pada itu, watak antagonis Azmeer turut mendapat perhatian apabila netizen mengakui sakit hati dengan keberkesanan lakonannya merencana muslihat fitnah.
Ruangan komen di media sosial kini dipenuhi spekulasi sama ada pengakhiran drama ini akan menyatukan semula mahligai mereka atau berakhir dengan perpisahan yang tragis.
Adakah cinta yang telah relai mampu dibina semula apabila sekeping hati sudah terlalu banyak terluka? Adakah penyesalan Reza mampu membuka kembali pintu maaf Hana?
Jangan terlepas untuk menyaksikan episod akhir Andai Masih Ada Maaf, Jumaat ini 6 November 2026, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, juga strim semua episod percuma dan eksklusif di aplikasi iQIYI.
#AndaiMasihAdaMaaf #AkasiaTV3




Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.