TIGA HARI PENUH KEMERIAHAN, JOHOR BAHRU BERIKAN SAMBUTAN HEBAT BUAT KJH 2026!

Tuesday, 3 November 2026

TIGA HARI PENUH KEMERIAHAN, JOHOR BAHRU BERIKAN SAMBUTAN HEBAT BUAT KJH 2026! | Kemeriahan KJH 2026 Bakal Menjelajah Ke Kuala Lumpur, Stadium Merdeka Menjadi Destinasi Penutup Pada 27 Hingga 29 November Ini


Kuala Lumpur, 3 November 2026 - Memang power orang Johor Bahru! Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 sekali lagi membuktikan tarikannya apabila menerima sambutan hebat daripada warga Johor yang hadir beramai-ramai selama tiga hari berturut-turut, bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall. Selepas mencipta kenangan bersama pengunjung di selatan tanah air, kemeriahan KJH 2026 bakal diteruskan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 November ini, yang akan menjadi destinasi terakhir jelajah tahun ini.

Menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik, tawaran istimewa dan hiburan untuk seisi keluarga, KJH Johor Bahru menjadi pilihan pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang hujung minggu. Daripada aktiviti komuniti dan reruai jualan hinggalah kepada persembahan pentas serta peluang bertemu personaliti televisyen dan selebriti kegemaran, pelbagai pengisian tersedia untuk dinikmati oleh pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.

Antara kunjungan istimewa yang mencuri perhatian ialah kehadiran Ketua Polis Negara, Yang Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail bersama isteri, Yang Berbahagia Puan Sri Datuk (Dr.) Hajah Munirah. Turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Yang Berhormat CP Dato’ Ab Rahaman, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Yang Berbahagia Datuk Efendi Omar.

Sepanjang karnival berlangsung, reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) turut menjadi tumpuan menerusi pelbagai aktiviti interaktif, termasuk pertandingan mewarna, Karaoke Challenge dan sesi Meet & Greet bersama selebriti TV3 serta personaliti TV9. Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, Zumba serta Jom Lokal Jam yang menambahkan variasi pengisian sepanjang acara.

Melengkapkan aktiviti di reruai STDS, Pertandingan Pakaian Tradisional turut mendapat perhatian apabila Nurul Aufa Iffah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang RM500. Tempat kedua menjadi milik Cinta Suci Indah Urmila yang menerima RM300, manakala Nurul Rizqah Hanney meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM200.

Pada pagi Ahad, pengisian berteraskan gaya hidup sihat pula diteruskan menerusi Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP, yang menawarkan kategori larian 5KM dan 8KM. Lebih menarik, peserta berpeluang berlari bersama artis drama, personaliti Media Prima serta selebriti popular tanah air, menjadikan aktiviti ini antara pengalaman menarik yang melengkapi hujung minggu mereka di KJH.

Sebagai kemuncak acara, perkarangan Padang B, Angsana Johor Bahru Mall dibanjiri ribuan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh selama dua malam berturut-turut. Malam Sabtu dimeriahkan dengan persembahan Khai Bahar, Haiza, Nabila Razali, Ara Johari, Bunga Isme dan Haqiem Rusli, sebelum pentas diteruskan dengan Mamat Exist, Alyph, Wany Hasrita, Drama Band dan Mariam Saim pada malam Ahad. Sambutan hangat yang diberikan melengkapkan tiga hari penuh hiburan dan pengalaman bersama di KJH Johor Bahru 2026.

Terima kasih warga Selatan atas sokongan dan sambutan hebat yang diberikan! Selepas kemeriahan di selatan tanah air, KJH 2026 kini menuju ke destinasi terakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada penutup jelajah KJH tahun ini yang pastinya dinantikan dengan pelbagai lagi pengisian menarik bersama keluarga dan rakan-rakan.

Justeru, warga Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, ayuh bersama-sama memeriahkan KJH 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini! Berlatarkan mercu tanda ikonik Merdeka 118, destinasi bersejarah ini bakal menjadi lokasi penutup tirai jelajah KJH tahun ini dengan pelbagai aktiviti menarik dan hiburan untuk seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan ini dan sama-sama mencipta kenangan manis di lokasi yang cukup istimewa. Jumpa anda di sana!

Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival Jom Heboh, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti Facebook dan Instagram rasmi di @jomhebohofficial. Kongsikan keterujaan anda menggunakan tanda pagar #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHJohor.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.