LUQMAN & SASHIMI JULANG GELARAN JUARA “SUPER MEOW-DEL” DI PURINA FELIX CAT FASHION WEEK TV3

Friday, 30 October 2026

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2026 – Aura diraja membawa tuah buat Muhammad Aidil Luqman Hakim dan si bulus kesayangannya, Sashimi, apabila dinobatkan sebagai juara Purina Felix Cat Fashion Week, sekali gus bergelar “Super Meow-del” berserta trofi kejuaraan serta wang tunai RM5,000.

Menerusi persembahan bertemakan “The Royal Golden Renaissance”, Luqman dan Sashimi membawa penonton ke dunia diraja yang penuh kemewahan dan aksi dramatik. Babak pertempuran serta aksi berpedang membuka tirai persembahan sebelum Sashimi melangkah ke pentas peragaan sebagai figura diraja, diiringi dua pengawal peribadi. Dengan susuk sasa, wajah garang dan aura tersendiri, Sashimi menghidupkan watak pemerintah diraja yang menjadi tarikan utama persembahan mereka. 

Mengulas pemilihan tema tersebut, Luqman berkata karakter Sashimi menjadi inspirasi utama dalam membentuk penampilan mereka di pentas akhir.

“Bila melihat saiz Sashimi yang besar, wajahnya yang garang dan auranya yang tersendiri, saya rasa dia memang sesuai dengan konsep diraja. Jadi, kami cuba tonjolkan keistimewaan Sashimi menerusi busana dan persembahan yang nampak mewah serta penuh karisma. Saya bersyukur apabila konsep yang kami bawakan berjaya menarik perhatian juri dan akhirnya membawa kami bergelar juara. Pengalaman ini sangat bermakna buat saya dan Sashimi,” katanya.

Naib Juara menjadi milik Ahmad Fazwan bersama Athity Amore menerusi “Silver Purrince of Perak: Legasi Sebuah Impian” yang diinspirasikan daripada warisan diraja Perak, selain turut membawa pulang Anugerah Felix. 

Syazreen Damia bersama Micco pula menduduki tempat ketiga menerusi “The Greatest Feline Diva Micco”, yang menampilkan gaya glamor dengan iringan lagu tersendiri berinspirasikan filem The Greatest Showman.

Sementara itu, Azizah bersama Lolalisa Braveheart melengkapkan senarai pemenang dengan Anugerah Meow-nificent menerusi “Miss Meow-World Lolalisa Si Kucing Kampung”, dengan Lolalisa tampil bak anak patung ragdoll dalam busana dan mahkota yang menyerlahkan pesonanya di pentas.

Sorotan persembahan finalis lain: 

Aiman & Seri Embun menampilkan “Koleksi Aura Seri Embun” yang mengetengahkan imaginasi Aiman sebagai pereka fesyen untuk si bulus, menerusi lapan rekaan busana kucing sebelum mereka memperagakan rekaan terakhir koleksi tersebut.

Farah & Mochi mengangkat konsep mafia menerusi “Meowfia & The Boss”, menampilkan Mochi sebagai ketua kumpulan bersama dua pengawal peribadi serta troli berisi wang dan jongkong emas, sebelum persembahan diakhiri dengan taburan wang sebagai simbol hasrat membantu kucing jalanan.

Mengulas perkembangan program daripada musim pertama hingga musim kedua, Puan Anida, Pengurus Besar Kanan, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9 berkata pengenalan sesi masterclass dan kolaborasi fesyen pada musim ini bertujuan memberi peluang kepada finalis Top 6 untuk meneroka idea baharu dan mengembangkan kreativiti. “Kami mahu Cat Fashion Week menawarkan lebih daripada sekadar pertandingan merebut gelaran juara. Menerusi sesi masterclass dan kolaborasi fesyen, finalis berpeluang mengembangkan idea serta kreativiti masing-masing. Hasilnya dapat dilihat melalui persembahan yang lebih pelbagai di pentas akhir, selain keunikan hubungan setiap gandingan bersama si bulus mereka,” katanya.

Terlibat dalam kolaborasi fesyen tersebut, Kashfi Zulkufli berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan finalis dalam merealisasikan idea busana masing-masing untuk pentas akhir. “Apa yang menarik ialah keberanian dan kepelbagaian idea yang dibawakan setiap finalis. Mereka bukan sahaja memberi tumpuan kepada busana si bulus, malah turut mengolah tema masing-masing menerusi gaya persembahan dan kreativiti di atas pentas,” jelasnya.

Pentas akhir yang dikendalikan oleh Fiza Frizzy dan Sissy Imann sebagai hos turut dimeriahkan dengan persembahan Aina Abdul, Ayda Jebat dan Nabila Razali. Aina Abdul turut menyertai barisan juri jemputan bersama Mark Adam dan Mohd Jeffri.

Purina Felix Cat Fashion Week turut mencatatkan 3.2 juta capaian tontonan (sumber: Nielsen) serta 881 juta capaian di media sosial (sumber: Meltwater). Pencapaian ini meneruskan momentum musim pertama, sekali gus memperlihatkan daya tarikan program yang menggabungkan fesyen, kreativiti dan gelagat comel si bulus.

Membawa tagline “Meow Menggoda, Comel Berganda”, Purina Felix Cat Fashion Week dibawakan oleh Felix sebagai penaja utama dan Meow Meow sebagai penaja bersama.

Jom gunakan #FelixCatFashionWeekxTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di platform media sosial! Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program ini, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi @TV3Malaysia.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.