KETEKALAN LORENZO IRMAN MENEBUS MASA LALU, DALAM 'RESET JALAN KEDUA' PERJUANGAN BEKAS JUVANA MEMBINA HIDUP BARU

Thursday, 29 October 2026

Kuala Lumpur, 29 Oktober 2026 – Apabila takdir memberi peluang untuk bermula semula, mampukah rahsia silam dan persepsi masyarakat dipadamkan oleh kejujuran serta tekad yang utuh? Slot Lestary TV3 kembali membawakan sebuah naskhah terbaharu yang sarat dengan emosi, suspen dan pengajaran, ‘Reset Jalan Kedua’ bermula 30 Oktober 2026, setiap Jumaat dan Sabtu jam 9.00 malam.

Diterbitkan oleh Anomalous Films dengan sentuhan pengarah berkaliber Fairul Nizam Ablah, drama terbaharu ini menampilkan gandingan pelakon muda berbakat besar Lorenzo Irman, Amylia Aidura, Idan Aedan, Ellyza Aziera dan Maxximus Towle di samping penampilan mantap pelakon senior Edika Yusoff serta Adriana Adnan.

Reset Jalan Kedua mengisahkan perjalanan Rudy (Lorenzo Irman), seorang bekas pelajar juvana berusia 18 tahun yang tekad membina kehidupan baharu selepas dibebaskan. Walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat kolej dalam bidang kejuruteraan, perjalanan Rudy tidak sedamai yang diharapkan. Meskipun dekan kolej telah berjanji untuk merahsiakan statusnya, kehadiran segelintir pensyarah bersikap skeptikal serta tentangan daripada Khairy (Idan Aedan), pelajar yang sering menggunakan pengaruh dan kedudukan bapanya untuk membuli serta  menggugat ketenangan Rudy.

Keadaan bertambah rumit apabila Khairy mendedahkan identiti sebenar Rudy ke seluruh kolej. Dia bukan sahaja dipulaukan, malah sering difitnah dan dituduh atas pelbagai masalah yang berlaku. Amri (Maxximus Towle) berdiri teguh sebagai kawan baik Rudy yang sentiasa berada di sisi, sewaktu situasi menjadi semakin sukar. Dalam pada itu, Rudy bertemu dengan Mira (Amylia Aidura), pelajar cemerlang yang pada mulanya menganggap Rudy sebagai pesaing akademik dan Alia (Ellyza Azizi). Namun, sifat gigih, jujur dan kebenaran yang ditunjukkan oleh Rudy akhirnya membuka mata Mira untuk berdiri sebagai penyokong setianya. Dari isu fitnah pencurian, ancaman petisyen penyingkiran hingga konspirasi yang dirancang untuk menjatuhkannya, Rudy terpaksa berjuang demi membersihkan namanya dan mempertahankan haknya untuk mendapatkan peluang kedua.

Jelas pengarah Fairul Nizam Ablah, naskhah ini membawa sudut pandang penting tentang stigma masyarakat terhadap mereka yang ingin berubah. “Drama 'Reset Jalan Kedua' bukan sekadar drama remaja biasa tetapi sebuah perjalanan emosi yang mendalam tentang pemaafan, kejujuran dan cabaran yang dihadapi oleh seseorang yang cuba menebus kesilapan lalu. Menerusi watak Rudy, kami mahu menyampaikan mesej bahawa setiap orang berhak mendapat peluang kedua sekiranya mereka ikhlas untuk berubah. Saya berharap penonton dapat menyerap iktibar daripada kisah ini.” katanya.

Mengangkat tema perjuangan anak muda, cabaran membina semula kehidupan serta erti persahabatan dan kemaafan, Reset Jalan Kedua menjanjikan penceritaan yang mendalam tentang realiti kehidupan yang terperangkap antara prasangka dan peluang kedua.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Reset Jalan Kedua, bermula 30 Oktober 2026, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.