DUA HATI, SEJUTA YANG MENANTI: ‘WALIMATULURUS BELLA ASTILLAH & SYED SADDIQ’ KISAH CINTA DUA DUNIA

Friday, 2 October 2026

DUA HATI, SEJUTA YANG MENANTI: ‘WALIMATULURUS BELLA ASTILLAH & SYED SADDIQ’ KISAH CINTA DUA DUNIA | Astro abadikan setiap detik perjalanan Bella Astillah & Syed Saddiq menuju hari bahagia menerusi 8 episod eksklusif

Kuala Lumpur, 2 Oktober 2026 – Dua dunia berbeza, satu kisah cinta yang mencuri perhatian seluruh Malaysia. Bella Astillah, selebriti tanah air, dan YB Syed Saddiq, tokoh politik, bakal melangkah ke alam perkahwinan menerusi Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, siri istimewa eksklusif Astro yang mengabadikan perjalanan mereka menuju hari bahagia dan kehidupan sebagai suami isteri.

Bermula 6 Oktober 2026, lapan episod ini membawa penonton mengikuti perjalanan Bella Astillah & Syed Saddiq bersama keluarga dalam membuat persiapan menjelang hari bahagia mereka. Dari debaran menuju ke majlis pernikahan, detik-detik penuh bermakna bersama insan tersayang, hinggalah kepada realiti kehidupan selepas diijabkabul, program ini turut menampilkan sisi peribadi Bella dan Syed Saddiq dalam melayari fasa baharu sebagai suami isteri bersama anak-anak.



‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ merakam sebuah perjalanan yang cukup istimewa buat pasangan daripada dua latar belakang berbeza ini. “Bagi kami, satu penghormatan apabila diberi kepercayaan untuk mengabadikan perjalanan istimewa ini dan membolehkan seluruh Malaysia menyaksikan detik-detik tersebut secara eksklusif hanya di Astro. Kami berharap ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ dapat menjadi satu perjalanan yang dinikmati bersama, bermula dari debaran menuju hari bahagia, detik mereka disatukan, hinggalah melangkah ke fasa kehidupan baharu. Astro sentiasa komited menghubungkan peminat dengan momen terindah personaliti kegemaran mereka menerusi liputan eksklusif ini,” ulas Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad. 

“Astro mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Bella dan Syed Saddiq. Semoga mahligai yang dibina sentiasa dipenuhi kebahagiaan, kasih sayang dan kenangan indah untuk mereka sekeluarga. Selamat menempuh kehidupan baharu, Bella Astillah & Syed Saddiq!” tambah Raqim.

Perjalanan Bella Astillah & Syed Saddiq turut diteruskan menerusi dua majlis resepsi di lokasi berbeza. Selepas Kuala Lumpur, pasangan ini bakal diraikan di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026 bagi sebelah keluarga Syed Saddiq, serta Kota Kinabalu, Sabah bagi keluarga dan kenalan Bella pada 31 Oktober 2026.

Menurut Bella, “Perjalanan ini sangat bermakna buat kami lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi detik-detik bahagia ini bersama keluarga, Ayden, Ara dan semua yang sentiasa mendoakan kami. Semoga kisah ini menjadi kenangan manis yang akan kami simpan selamanya.”

“Kami sangat menghargai setiap doa dan sokongan yang diberikan. Terima kasih Astro kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan istimewa ini dan merakam detik bahagia kami secara eksklusif,” sambung Syed Saddiq.

Episod 1 & 2 - Menanti Hari Bahagia

Membuka tirai perjalanan Bella Astillah & Syed Saddiq, dua episod pertama memaparkan latar belakang dan memori perkenalan mereka, serta persiapan menuju hari Nikah termasuk detik pertunangan yang menjadi perhatian ramai, majlis berinai, khatam al-Quran, persiapan busana, keluarga serta pelbagai momen di sebalik tabir sebelum pasangan ini disatukan.

Episod 3 - Penyatuan Dua Hati di Menara 118 

  • Siaran Langsung pada 10 Oktober 2026, Sabtu, 9 pagi eksklusif di Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (Saluran 501), Sooka, Astro GO, serta di platform digital Astro Gempak & Astro Malaysia

Penonton seluruh Malaysia bakal menjadi saksi detik bersejarah Bella Astillah & Syed Saddiq menerusi episod ketiga siri eksklusif ini secara langsung selama dua jam dari Menara 118.

Selain lafaz akad, penonton turut dibawa merasai kemeriahan hari bahagia menerusi suasana majlis, keluarga serta tetamu istimewa yang hadir meraikan penyatuan dua sejoli ini.

Episod 4 - Cinta Yang Diraikan 

  • Siaran Langsung pada 18 Oktober 2026, Ahad, 8 Malam eksklusif di Astro Prima (Saluran 105), Sooka & Astro GO, serta di platform digital Astro Gempak

Kemeriahan diteruskan menerusi episod empat yang memaparkan majlis resepsi mereka secara langsung pada 18 Oktober 2026 di MITEC, Kuala Lumpur, menyaksikan malam pertama Bella Astillah & Syed Saddiq diraikan sebagai suami isteri bersama keluarga, sahabat, rakan kerja, jemputan kenamaan dan insan tersayang.

Episod 5 hingga 8 - Lembaran Baharu

Empat episod seterusnya bakal membawa penonton menyelami kehidupan eksklusif Bella Astillah dan Syed Saddiq selepas bergelar suami isteri. Saksikan buat pertama kalinya pasangan ini tampil dalam fasa baharu kehidupan mereka, menyesuaikan diri dengan rutin harian sebagai pasangan suami isteri, menikmati momen indah bersama keluarga dan anak-anak, sehinggalah membuat persiapan untuk percutian bulan madu yang penuh bermakna. 

Lebih daripada sekadar sebuah perjalanan cinta, episod-episod ini bakal membawakan pendedahan eksklusif yang tidak pernah ditonton umum. Saksikan momen-momen sebenar di sebalik hari bahagia mereka, termasuk rakaman pernikahan dan majlis resepsi yang selama ini dirahsiakan. Pengalaman tontonan yang hanya boleh dinikmati oleh penonton Astro.

Saksikan kisah pasangan romantis ini menerusi ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’, bermula 6 Oktober 2026, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (saluran 104), serta boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO dan Sooka. 

Majlis nikah Bella Astillah & Syed Saddiq bakal disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (saluran 501), Sooka & Astro GO, serta platform media sosial Astro Malaysia dan Astro Gempak pada 10 Oktober 2026, Sabtu, jam 9 pagi.  

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.