FATTAH AMIN TERPERANGKAP FITNAH DAN DENDAM SILAM DALAM ‘ANDAI MASIH ADA MAAF’

Tuesday, 29 September 2026

FATTAH AMIN TERPERANGKAP FITNAH DAN DENDAM SILAM DALAM ‘ANDAI MASIH ADA MAAF’ | APABILA KEBENARAN TERBONGKAR, MAMPUKAH CINTA DIPULIHKAN SETELAH HANCUR? 

Kuala Lumpur, 25 September 2026 – Sebuah mahligai perkahwinan indah yang dibina selama bertahun-tahun musnah dalam sekelip mata hanya kerana tersilap percaturan. Lebih menyukarkan keadaan apabila kebenaran hanya terbukti selepas segala-galanya terlanjur musnah, meninggalkan persoalan sama ada masih ada ruang untuk membaiki kesilapan yang telah berlaku. 

Mengangkat kisah tentang kepercayaan, fitnah dan penyesalan dalam kehidupan berumah tangga, drama terbaharu TV3 Andai Masih Ada Maaf bakal membawa penonton mengikuti perjalanan sebuah keluarga yang berdepan ujian demi ujian, apabila satu perkara yang disangka benar mula mengubah seluruh kehidupan mereka. 

Diterbitkan oleh FJ Pictures Sdn Bhd, drama 28 episod ini merupakan karya penulis K. Adli dan arahan Feroz Kader, menampilkan Fattah Amin, Hanna Delisha, Nazrief Nazri dan Malek Mccrone sebagai teraju utama. Drama ini bakal menemui penonton mulai 30 September, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan turut boleh distrim di iQIYI satu jam selepas siaran TV3.

Andai Masih Ada Maaf mengisahkan Hana (Hanna Delisha), seorang wanita berkerjaya yang menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya Dr Reza (Fattah Amin), seorang doktor psikologi yang dikenalinya sejak zaman universiti. Dikurniakan seorang anak perempuan, kehidupan mereka kelihatan sempurna sehinggalah kemunculan semula Azmeer (Nazrief Nazri), kenalan lama membuka kembali kisah silam yang tidak pernah diketahui Reza.

Pertemuan semula itu pada awalnya tidak menimbulkan sebarang masalah, malah Reza gembira dapat bertemu semula dengan kenalan lama mereka. Namun di sebalik kemunculannya, Azmeer sebenarnya menyimpan dendam terhadap Hana dan mula menyusun rancangan untuk memusnahkan rumah tangga mereka.

Pelbagai manipulasi dan fitnah mula diwujudkan sehingga Reza sendiri mula meragui kesetiaan isterinya. Beberapa petunjuk yang sengaja ditinggalkan membuatkan Reza percaya Hana mempunyai hubungan sulit. Kemuncaknya, satu kejadian yang mengaitkan Hana dengan Azmeer membuatkan Reza benar-benar percaya bahawa Hana telah mengkhianatinya.

Tanpa mengetahui kebenaran sebenar, Reza memilih untuk menjauhkan diri daripada Hana. Keadaan bertambah buruk apabila cerita mengenai kecurangan Hana tersebar dan menjadi tular, menyebabkan dia bukan sahaja kehilangan kepercayaan suami, malah turut menerima kecaman hebat daripada keluarga, rakan-rakan dan netizen.

Mengulas mengenai watak Reza, Fattah Amin berkata karakter Reza memberi ruang kepadanya untuk meneroka sisi seorang suami yang terpaksa berdepan dengan akibat daripada keputusan sendiri. “Reza bukan watak yang mudah kerana pada awalnya dia yakin dengan segala yang dilakukan. Dia percaya bahawa dia sedang mempertahankan rumah tangga tetapi tanpa sedar, keputusan itu sendiri yang menghancurkan keluarga. Paling berat apabila dia mula sedar kesilapan sendiri, namun banyak perkara yang sudah tidak boleh diundurkan. Saya rasa itu yang membuatkan perjalanan Reza menarik untuk diikuti,” ujarnya.

Mampukah cinta yang pernah musnah dibina semula selepas segala rahsia terbongkar? Dan apabila sebuah hati sudah terlalu banyak terluka, mampukah cinta diberi peluang sekali lagi?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri, Andai Masih Ada Maaf mulai 30 September 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, melalui laman web atau aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.