TV3 MEWARNAI SKRIN PENONTON DENGAN PELANCARAN SLOT BAHARU ‘CAMELIA’ HIMPUNAN DRAMA POPULAR THAILAND BERMULA 14 SEPTEMBER 2026

Friday, 11 September 2026

KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER 2026 – TV3 sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menyajikan kandungan hiburan terunggul dan meluas buat rakyat Malaysia menerusi pelancaran slot drama terbaharu, Camelia, yang dijadualkan menemui penonton bermula 14 September 2026. Slot khas ini dibawakan bagi memenuhi fenomena serta permintaan tinggi peminat tempatan terhadap naskhah drama dari Thailand yang terkenal dengan daya tarikan serantau yang sangat kuat.

Mengambil inspirasi daripada keindahan bunga Camelia yang melambangkan cinta, kekaguman, ketabahan dan keindahan abadi, slot ini menjadi manifestasi kepada setiap perjalanan watak heroin dalam setiap naskhah yang dibawakan. Dari perjuangan mengatasi pengkhianatan, menentang takdir, hinggalah menemui cinta sejati, slot Camelia merakam perjalanan penuh keberanian serta transformasi wanita yang membuktikan bahawa cinta tetap mampu mekar biarpun dalam situasi yang paling sukar.

Slot Camelia akan bersiaran secara eksklusif di TV3 pada setiap Isnin hingga Rabu, jam 12.05 tengah hari.

Sebagai naskhah pembuka tirai slot baharu ini, TV3 membawakan drama romantik sejarah (historical romance) popular tahun 2024 dari Thailand, Surviving Beauty. Mula ditayangkan dari 14 September hingga 18 November 2026 sebanyak 30 episod, drama ini menampilkan barisan pelakon terkemuka Thailand seperti Amanda Obdam, Phet Thakrit dan Denkhun Ngamnet.

Surviving Beauty mengisahkan perjalanan hidup Cherkwan (Amanda Obdam), seorang gadis bandar yang jelita tetapi terpaksa melarikan diri ke kawasan pergunungan Phu Phraya Lor selepas difitnah membunuh pengantin lelakinya pada hari perkahwinan mereka. Dalam usaha membersihkan namanya, Cherkwan meminta perlindungan daripada Chalaybutr (Phet Thakrit), abang kepada rakan baiknya.

Namun, kehadiran Cherkwan tanpa disengajakan telah menyemarakkan semula persaingan sengit antara Chalaybutr dan musuh tradisinya Khetkham (Denkhun Ngamnet), seorang pemilik lombong tempatan yang tegas dan berpengaruh. Ketika Cherkwan berjuang untuk bertahan hidup di kawasan luar bandar yang terpencil, dia terperangkap dalam cinta tiga segi sambil membongkar rahsia keluarga yang lama terpendam, dendam lama dan persaingan perniagaan yang pahit. Cabaran demi cabaran ini bakal menguji batas kesetiaan, pengorbanan dan kekuasaan cinta sejati.

Sebelum menembusi pasaran Malaysia, Surviving Beauty merupakan naskhah bersiri yang mencatatkan kejayaan luar biasa sewaktu bersiaran di stesen Channel 3 Thailand. Drama ini berjaya mendominasi carta rating TV harian bagi slot tayangannya, malah kejayaan ini turut dikuatkan lagi dengan kemunculan sulung Ratu Cantik Thailand (Miss Universe Thailand 2020), Amanda Obdam, yang memegang watak utama. Selain menguasai skrin televisyen, naskhah ini turut tular di platform media sosial dengan menduduki tangga teratas trend di X Thailand pada setiap minggu, di samping meraih jutaan tontonan menerusi platform penstriman digital seperti 3Plus dan TrueID.

Pengurus Besar, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, Puan Marlia Zul Amran berkata, pelancaran slot baharu ini merupakan langkah strategik dalam terus memberikan variasi tontonan terbaik buat audiens tempatan. "Drama Thailand mempunyai daya tarikan emosi dan penceritaan yang amat dekat di hati audiens Malaysia. Menerusi penjenamaan slot Camelia, kami bukan sahaja membawakan karya hiburan berkualiti tinggi, malah mengetengahkan kisah-kisah wanita yang cekal dan berjiwa besar. Kami yakin slot ini bakal menjadi peneman setia penonton TV3 pada sebelah tengah hari," jelasnya.

Saksikan tayangan perdana drama Surviving Beauty di slot Camelia, bermula 14 September 2026, setiap Isnin hingga Rabu jam 12.05 tengah hari hanya di TV3.  atau strim lebih awal menerusi Tonton pada setiap hari Jumaat bermula 10 September 2026l di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

#CameliaTV3 #DramaThailandDiTV3

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.