Kuala Lumpur, 18 September 2026 – Mereka datang mencari perlindungan, membawa bersama kisah penderitaan dan harapan untuk membina kehidupan yang lebih baik. Namun, apabila kehidupan mereka bersilang dengan masyarakat tempatan, persoalan tentang kemanusiaan, keselamatan, undang-undang dan kedaulatan negara mula menjadi semakin kompleks. Apakah realiti sebenar di sebalik kehidupan komuniti Rohingya di Malaysia?
Selepas kali terakhir bersiaran pada 2021, EKSKLUSIF kembali menerusi laporan khas “Rohingya di Malaysia: Antara Kedaulatan & Kemanusiaan” pada Sabtu, 19 September 2026, jam 5.35 petang, di TV3 dan Tonton. Menerusi laporan dokumentari selama 30 minit, EKSKLUSIF menelusuri perjalanan, cabaran dan kisah komuniti Rohingya di Malaysia, membawa isu yang melangkaui tajuk utama untuk melihat suara serta realiti yang jarang diketengahkan.
Perjalanan mereka ke Malaysia bukan mudah apabila ramai terpaksa menaiki bot selama berminggu-minggu merentasi Laut Andaman, berdepan cuaca buruk, kelaparan dan risiko sindiket penyeludupan manusia. Setibanya di Malaysia, ketiadaan status undang-undang khas turut mengehadkan akses kepada pekerjaan formal, pendidikan dan perkhidmatan tertentu.
Menerusi laporan wartawan Nurul Amalina Zainudin, EKSKLUSIF turun ke Selayang untuk melihat sendiri kehidupan komuniti Rohingya, selain mendapatkan pandangan masyarakat tempatan dan pakar mengenai cabaran yang mereka hadapi serta isu eksploitasi dan pemerdagangan manusia oleh sindiket yang beroperasi merentasi sempadan Asia Tenggara.
Namun, kisah penderitaan yang mengundang simpati turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat tempatan. Ada yang melihat mereka sebagai mangsa konflik, penganiayaan dan diskriminasi yang memerlukan perlindungan, manakala terdapat juga kebimbangan berkaitan keselamatan, ketenteraman awam dan kesan sosial.
Bagi mengupas isu ini daripada perspektif yang lebih luas, laporan khas ini turut mengetengahkan pandangan Profesor Madya Dr.Mashitah Hamidi, Ketua Pusat Penyelidikan Populasi dan Migrasi Malaysia Universiti Malaya; Prof. Dr. Novel Lyndon, Profesor Sosiologi Politik Pembangunan UKM; dan Dr. Noornirwandy, Pakar Perang Saraf UiTM, selain suara warga Rohingya dan masyarakat tempatan yang ditemui di lapangan.
Kesemua perspektif ini membawa kepada persoalan utama tentang bagaimana Malaysia mengimbangi nilai kemanusiaan dengan hak sebuah negara mempertahankan sempadan, undang-undang dan kedaulatannya, ketika isu ini turut menyentuh soal integrasi, penguatkuasaan dan ketenteraman awam.
Dengan gabungan rakaman lapangan, temu bual, visual udara dan grafik, EKSKLUSIF membawa penonton melihat isu Rohingya melangkaui angka dan perdebatan, untuk memahami manusia serta realiti yang jarang terlihat.
Persoalannya, apakah jalan penyelesaian yang adil, selamat dan berpanjangan untuk semua pihak? Saksikan EKSKLUSIF: “ROHINGYA DI MALAYSIA: ANTARA KEDAULATAN & KEMANUSIAAN,” Sabtu ini, 19 September 2026, jam 5.35 petang, di TV3 dan Tonton.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai EKSKLUSIF, ikuti laman media sosial rasmi @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok, serta @BuletinTV3 di Facebook dan YouTube.





Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.