FILEM SAYANG SAYANG TERIMA 5 PENCALONAN DI ANUGERAH FILEM ANTARABANGSA GOLDEN HORSE KE-63

Friday, 2 October 2026

  • Tercalon dalam kategori Lakon Layar Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Baharu Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik
  • Daripada Pasukan Produksi Filem Abang Adik dan Diarahkan Oleh Pemenang Anugerah Golden Horse, Tang Hsiang-Chu 
  • Bakal Ditayangkan di Pawagam Seluruh Malaysia Mulai 5 November 2026

Kuala Lumpur, 2 Oktober 2026 – Filem hasil kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan iaitu SAYANG SAYANG, arahan oleh Tang Hsiang-Chu serta Penerbit Eksekutif oleh Yeh Jufeng dan Jin Ong yang merupakan pengarah filem Abang Adik, menerima lima pencalonan di Anugerah Festival Filem Golden Horse ke-63. 

Pencalonan tersebut adalah bagi kategori Lakon Layar Asal Terbaik oleh Tang Hsiang-Chu, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Mhia Firdaus), Pelakon Baharu Terbaik (Nandagopall Mohan), Kesan Bunyi Terbaik (Wu Shu-Yao, Hsu Chiao-Han dan Liu Pei-Min), serta Kesan Visual Terbaik (Tomi Kuo, Ivan Lin dan Hannah Han). 

Lebih membanggakan, pencalonan ini turut mencipta sejarah apabila Mhia Firdaus menjadi pelakon Melayu pertama dan Nandagopall Mohan muncul sebagai pelakon India Malaysia pertama yang menerima pencalonan di festival filem berprestij tersebut. Pengiktirafan ini mencerminkan kekuatan filem tersebut secara menyeluruh, daripada aspek penceritaan dan lakonan sehinggalah kepada pencapaian teknikal di belakang tabir.

SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 November 2026.

SAYANG SAYANG turut menandakan filem Malaysia pertama yang diarahkan oleh pembikin filem Taiwan, Tang Hsiang-Chu. Pengarah hebat ini terdahulu dikenali menerusi siri dokumentari Trilogy of Returning Home (How Deep Is the Ocean, How High Is the Mountain dan How Long Is the Road) yang telah mendapat pujian ramai. Dokumentari beliau, How High Is the Mountain, telah memenangi Anugerah Dokumentari Terbaik di Anugerah Golden Horse ke-39.

Dua puluh enam tahun lalu, Tang Hsiang-Chu pertama kali mengunjungi Malaysia bersama pasukan di sebalik filem Summer Holiday. Sejak itu, beliau amat tertarik dengan gaya hidup yang berasaskan kepelbagaian kaum, budaya, dan kepercayaan dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Sejak itu, beliau kerap kembali ke Malaysia dan terpikat dengan budaya dan masyarakat di negara ini, seterusnya menjadi inspirasi kepada pembikinan SAYANG SAYANG.

Pengarah filem Abang Adik, Jin Ong kembali sebagai Penerbit Eksekutif bagi SAYANG SAYANG. Beliau pertama kali membaca skrip tersebut melalui Penerbit Nicole Teoh pada tahun 2022. Sebaik sahaja membacanya, beliau berasa tersentuh oleh cerita itu dan menyifatkannya sebagai sebuah kisah yang ‘seindah puisi’. Memandangkan tidak banyak filem menjadikan Pantai Timur Malaysia sebagai latar utama, Jin Ong berharap SAYANG SAYANG dapat membuka peluang kepada penonton untuk mengenali sisi Malaysia yang berbeza.

Berlatarkan Pantai Timur Malaysia, SAYANG SAYANG mengisahkan perjalanan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San, yang sedang mencari identiti, impian dan tempat mereka dalam dunia. Ikatan keluarga mereka turut terjalin menerusi laut, daratan, dan kasih sayang sesama mereka, sekali gus mengarang sebuah simfoni kehidupan yang menyentuh hati. Melalui kisah penuh emosi ini, filem tersebut mengangkat tema kasih sayang, penerimaan dan pemahaman merentasi perbezaan budaya, bahasa serta cara hidup. 

Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterima, Penerbit Eksekutif, Jin Ong berkata beliau amat bersyukur apabila keindahan dan nilai yang dibawakan oleh filem tersebut mendapat perhatian panel juri, sekali gus memberi suntikan semangat kepada keseluruhan pasukan kreatif.

“Pembikinan SAYANG SAYANG merupakan sebuah perjalanan yang sangat mencabar, terutamanya dalam mengangkat kepelbagaian budaya dan perspektif yang menjadi tunjang cerita ini. Namun, segala cabaran berjaya kami tempuhi bersama-sama.

Pengiktirafan daripada Anugerah Golden Horse ini benar-benar satu detik yang mengharukan buat kami semua. Kami berharap dengan sokongan dan pengiktirafan yang diberikan, filem Malaysia ini dapat menemui lebih ramai penonton dan menyatukan lebih banyak hati untuk ‘Sayang Bersama-sama’.”

Sementara itu, Pengarah Tang Hsiang-Chu menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna dalam perjalanan seninya.

“Walaupun saya pernah menerima pelbagai pencalonan sebelum ini, ini adalah kali pertama saya menerima pencalonan sebagai seorang pengarah filem. Justeru, ia terasa begitu dekat dengan tema SAYANG SAYANG sendiri, iaitu ‘Kasih menyertai, berbeza dunia’ dan ‘Keberanian menemani, berubah semesta.”

Mengimbau perjalanan beliau sejak pertama kali mengenali Malaysia, kemudian menyiapkan naskhah sehinggalah menyaksikan filem ini menerima pengiktirafan di pentas Golden Horse, Tang turut merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menjayakan projek tersebut.

“Terima kasih atas setiap pertemuan, setiap hubungan dan setiap individu yang membantu merealisasikan filem ini sepanjang lebih sedekad perjalanan sejak naskhah ini dihasilkan. Tanpa anda semua, SAYANG SAYANG tidak mungkin berada pada tahap ini. Tiada seorang pun yang boleh tertinggal dalam perjalanan ini,” 

Menjelang tayangan filem itu di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 November, Tang berharap penonton tempatan dapat melihat Malaysia dari sudut berbeza yang menjadi sumber inspirasinya.

“Walaupun saya berasal dari Taiwan, inilah Malaysia yang saya lihat dan kenali. Sebuah negara yang indah dengan kepelbagaian rakyat dan budayanya. Mendedikasikan filem pertama saya kepada Malaysia merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya.”

Dalam pada itu, Penerbit Nicole Teoh turut meluahkan rasa teruja atas pengiktirafan yang diberikan oleh pihak juri Golden Horse terhadap SAYANG SAYANG. “Saya amat bersyukur kerana para juri dapat melihat dan menghargai SAYANG SAYANG, kerana saya percaya bahawa untuk dilihat dan difahami itu adalah sesuatu yang sangat berharga.

Filem ini memerlukan sudut pandang yang tersendiri untuk dihargai. Ia juga memerlukan keterbukaan dalam menerima kepelbagaian. Anugerah Golden Horse telah memberikan peluang kepada filem ini untuk benar-benar difahami dan dilihat.”

Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap ahli pasukan produksi yang menerima pencalonan.

“Berada di barisan hadapan sepanjang pembikinan filem ini, saya menyaksikan sendiri bagaimana setiap individu berjuang menghadapi cabaran dan memberikan sepenuh hati dalam bidang masing-masing. Pengiktirafan ini merupakan ganjaran terbaik buat dedikasi dan profesionalisme mereka.”

Mengulas mengenai harapannya terhadap penonton, Nicole berkata SAYANG SAYANG dibina atas asas kasih sayang serta hasil kerjasama erat antara pasukan Malaysia dan Taiwan.

“Setiap babak yang dipaparkan di layar, setiap muzik dan bunyi yang didengari penonton mencerminkan persahabatan, keikhlasan dan rasa hormat yang mendalam antara pasukan Malaysia dan Taiwan, serta semangat kolaborasi semua yang terlibat. Mungkin kami tidak menghasilkan sesuatu yang sempurna, tetapi kami sentiasa percaya bahawa karya yang lahir daripada keikhlasan mempunyai nilainya yang tersendiri.

Daripada sekadar memperkenalkan satu gambaran tentang ‘Malaysia’, saya berharap SAYANG SAYANG dapat mengajak penonton merasai emosi yang wujud dalam masyarakat di bumi ini, tentang kasih sayang, rasa hormat, dan bagaimana kita boleh menjadi sedikit lebih baik, lebih memahami, serta lebih menyayangi diri sendiri dan orang di sekeliling kita.”

Manakala pelakon Mhia Firdaus berkata, “Menjadi sebahagian daripada sejarah Golden Horse adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. Saya melihat pengiktirafan ini sebagai satu peringatan bahawa cerita-cerita dari Malaysia dan bakat-bakat tempatan mampu menyentuh penonton tanpa mengira bahasa atau sempadan.

Saya ingin mendedikasikan pencalonan ini kepada keluarga saya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, serta seluruh pasukan SAYANG SAYANG yang telah mempercayai saya untuk membawa watak ini. Ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu penghargaan buat semua yang terlibat dalam menjayakan filem ini.”

Pelakon Nandagopall Mohan pula berkata, “Menerima pencalonan Pelakon Baharu Terbaik di Anugerah Golden Horse melalui filem pertama saya adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. Namun lebih bermakna daripada pengiktirafan ini adalah peluang untuk menghidupkan watak Ajay dan berkongsi kisah yang mewakili individu dalam komuniti pekak dan bisu.

Watak ini mengajar saya tentang keberanian, ketabahan dan erti sebenar untuk didengari walaupun tanpa suara. Pencalonan ini bukan milik saya semata-mata. Ia adalah penghargaan kepada seluruh pasukan SAYANG SAYANG yang telah mencurahkan sepenuh hati dalam menjayakan filem ini. Saya suka menggelarkan mereka sebagai 'Sayangs of Sayang', kerana setiap seorang memainkan peranan penting dalam membawa kisah ini kepada penonton.”

Filem ini menghimpunkan lebih seratus pelakon dan penggiat filem dari Malaysia, Taiwan dan India, termasuk pelakon Taiwan Lee Lee-Zen, pelakon meningkat naik Sasha Tang, serta pelakon Malaysia seperti Jo Kukathas, Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman, Mia Tan Shu Man, Jonathan Lee dan Tan Li Yang.

Lakon layar bagi filem SAYANG SAYANG pernah memenangi Anugerah Outstanding Award di Anugerah Excellent Screenplay ke-44, yang disampaikan oleh Biro Pembangunan Industri Audiovisual dan Muzik, Kementerian Kebudayaan Taiwan, serta terpilih untuk Golden Horse Film Project Promotion (FPP).

Selain itu, naskhah ini turut melibatkan tenaga kreatif hebat seperti jurukamera India, Kartik Vijay, yang pernah menerima pencalonan Anugerah Golden Horse Awards bagi kategori Sinematografi Terbaik menerusi Abang Adik, The Soul dan The Garden of Evening Mists; pemenang Anugerah Golden Horse Awards bagi kategori Kesan Bunyi Terbaik, Wu Shu-Yao; pemenang Anugerah Golden Horse Awards bagi kategori Kesan Visual Terbaik, Tomi Kuo; serta anggota produksi Abang Adik yang pernah menerima pencalonan Anugerah Golden Horse Awards termasuk Elaine Ng bagi kategori Rekaan Solekan dan Kostum Terbaik dan Ryota Katayama bagi kategori Lagu Asal Filem Terbaik.

Sementara itu, syarikat produksi besar dari Malaysia dan Taiwan, yang terbabit adalah Taiwan Creative Content Agency (TAICCA), Taipei Film Commission, Applause Entertainment Pvt. Ltd (Taiwan), Astro Shaw, Infinitus Entertainment, Hollymotion Venture, serta pelabur persendirian seperti Vincent Ng Kok Yung, Desmond Ling Howe Ung, dan Yap Choon Kong. Filem ini turut diterbitkan bersama oleh More Entertainment Sdn. Bhd. (Malaysia) dan IS Entertainment CO., LTD. (Taiwan).

Filem SAYANG SAYANG akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober 2026 dan di Malaysia pada 5 November hadapan.

Untuk perkembangan terkini mengenai filem ini, ikuti laman media sosial Astro Shaw.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.