‘PEMUJA SYAITAN’: ZUL ARIFFIN & LIANA JASMAY BERGANDING BAHU KEMBALIKAN MIMPI NGERI DI PAWAGAM

Monday, 19 October 2026

KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER 2026 – Sebuah majlis perhimpunan semula (reunion) bertukar menjadi tragedi berdarah apabila rahsia lama kembali terbongkar dalam Pemuja Syaitan, filem seram sulung arahan pengarah berbakat besar, Liana Jasmay. Mengangkat tema persahabatan, pengkhianatan, dan elemen ketakutan yang mendalam, karya ini mula menghantui penonton di pawagam seluruh negara sejak 15 Oktober 2026.

Bagi merancakkan lagi pelancaran filem berkenaan, pelakon utama Zul Ariffin bersama Liana Jasmay serta barisan pelakon lain telah meluangkan masa bertemu rakan media dan peminat menerusi dua sesi khas pada 14 Oktober 2026 bertempat di TGV Suria KLCC.

Acara dimulakan pada sebelah petang menerusi Sesi Tayangan Bersama Media, di mana rakan media diberi peluang menjadi antara yang terawal menyaksikan filem ini, diikuti dengan sesi temu ramah eksklusif bagi mengupas pengalaman serta cabaran di sebalik pembikinan naskhah seram berkenaan.

Kemuncak promosi diteruskan pada sebelah malam menerusi Malam Gala Pemuja Syaitan yang dihimpunkan bersama barisan pelakon, jemputan VIP, serta para peminat. Acara penuh gilang-gemilang itu turut disusuli dengan persembahan secara langsung lagu tema (OST) bertajuk ‘Dendam’ yang disampaikan oleh penyanyi berbakat, Elica Pauji.

Diterbitkan oleh Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution, filem ini turut mendapat kerjasama Skop Productions Sdn Bhd selaku rakan pengedaran serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran. Selain penampilan julung kali Zul Ariffin menerusi arahan Liana Jasmay, filem ini turut diperkuatkan dengan persembahan mantap barisan pelakon seperti Aila Azizul, Nadhir Nasar, dan Elizabeth Tan.

Pemuja Syaitan mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekelas yang berkumpul semula di kampung halaman beberapa bulan selepas tamat persekolahan. Pertemuan yang sepatutnya sarat dengan nostalgia bertukar menjadi mimpi ngeri apabila tindakan mereka menggali semula sebuah kapsul masa telah membongkar pengkhianatan serta rahsia pahit yang lama terpendam.

Malam penuh duka itu berakhir dengan penemuan enam mayat pada keesokan harinya, manakala seorang individu dilaporkan hilang dan seorang lagi ditemui dalam keadaan trauma berat. Kejadian menyayat hati ini membawa Inspektor Zul (Zul Ariffin) ke pulau berkenaan untuk merungkai kronologi sebenar. Namun, semakin dalam siasatan dijalankan, semakin banyak kebenaran gelap yang dibongkar menuntut harga yang jauh lebih besar daripada apa yang dibayangkan.

Bersiap sedia untuk merasai sendiri pengalaman sinematik yang mencengkam jiwa menerusi Pemuja Syaitan, kini sudah menayangkan misterinya di pawagam seluruh Malaysia bermula 15 Oktober 2026.

Untuk maklumat lanjut, perkembangan terkini, serta kandungan eksklusif mengenai filem ini, sila ikuti saluran rasmi Facebook, Instagram, X, dan YouTube Primeworks Studios.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.