KARYA IKONIK SYAMSUL YUSOF DIANGKAT SEMULA, MUNAFIK: MELAWAN IBLIS RAIH SAMBUTAN HANGAT DI INDONESIA, KINI TEMUI PENONTON MALAYSIA | Pengarah Guntur Soeharjanto dan Barisan Pelakon Arya Saloka, Acha Septriasa Bawa Nafas Baharu Kepada Dunia Munafik
Kuala Lumpur, 30 September 2026 – Filem seram nombor 1 Malaysia, MUNAFIK arahan Syamsul Yusof yang melakar sejarah tersendiri dalam industri perfileman tanah air, terus membuktikan kekuatan naskhah tersebut apabila diangkat semula menerusi versi Indonesia dengan tajuk Munafik : Melawan Iblis.
Sebelum tayangan rasmi Munafik: Melawan Iblis di pawagam Indonesia mulai 3 September lalu, kesemua tiket habis terjual. Merekodkan hampir 150 ribu penonton pada hari pertama tayangan, filem ini mengungguli carta box office Indonesia dan mengetepikan beberapa filem antarabangsa. Pencapaian ini mencerminkan sokongan dan keterujaan luar biasa penonton terhadap filem tersebut.
Gelombang seram Munafik versi Indonesia bakal diteruskan di pawagam Malaysia bermula 1 Oktober ini. Filem ini merupakan terbitan Unlimited Production dan Skop Productions, serta sokongan oleh Legacy Pictures, AZ Films, dan Komet Productions. Manakala Astro Shaw bertindak selaku rakan pemasaran di Malaysia.
Menurut Penerbit Eksekutif Munafik : Melawan Iblis, Datuk Dr Yusof Haslam berkata, “Kami berasa amat teruja dan bersyukur apabila karya ikonik Munafik yang pernah mencipta sejarah dalam industri perfileman Malaysia kini diangkat semula dalam versi Indonesia menerusi Munafik: Melawan Iblis. Sambutan luar biasa yang diterima di Indonesia membuktikan bahawa kekuatan jalan cerita dan tema yang dibawakan Munafik mampu merentasi sempadan negara serta dekat di hati penonton Nusantara.
Lebih membanggakan, naskhah ini tidak sekadar diadaptasi semula, tetapi diberikan nafas dan identiti tersendiri yang berjaya menarik perhatian generasi penonton baharu. Apabila filem ini ditayangkan di Malaysia, saya berharap penonton tempatan dapat menerima Munafik: Melawan Iblis dengan keterbukaan yang sama, sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dilakar oleh Munafik terdahulu.”
Munafik: Melawan Iblis mengangkat sebuah kisah yang dekat dengan penonton Nusantara menerusi pendekatan baharu yang lebih segar, penuh dengan emosi dan berdiri dengan identitinya tersendiri. Naskhah ini diarahkan oleh pengarah Guntur Soeharjanto yang cukup dikenali dalam kalangan penonton Malaysia menerusi filem-filem pecah panggung seperti Ayat-Ayat Cinta 2, Makmum 2 dan Norma: Antara Mertua dan Menantu.
Lebih daripada sekadar filem seram, Munafik: Melawan Iblis menampilkan pergelutan Ustaz Adam, seorang pengamal ruqyah yang kehilangan arah setelah tragedi meragut insan paling dicintainya. Di sebalik babak ruqyah, gangguan mistik dan kemunculan kuasa jahat, filem ini menyelami persoalan yang lebih mendalam, iaitu bagaimana seseorang yang selama ini membimbing orang lain boleh berdepan krisis kepercayaan apabila diuji dengan kehilangan. Ketika iman mula goyah, rasa bersalah semakin menghimpit dan kebenaran demi kebenaran terbongkar, ketakutan yang hadir bukan lagi sekadar daripada iblis, tetapi daripada kegelapan yang menyelubungi dalam diri sendiri.
Kekuatan filem ini turut diserlahkan menerusi komitmen luar biasa barisan pelakonnya. Arya Saloka yang menjalani persediaan intensif dengan mendalami ilmu ruqyah serta memperhalusi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi menghidupkan watak Ustaz Adam.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang membawakan watak Ustaz Adam dalam Munafik: Melawan Iblis. Melalui filem ini, saya bukan sahaja dapat berkembang sebagai pelakon, malah berpeluang memperbaiki dan memperkemaskan lagi bacaan Al-Quran saya. Bagi saya, ini satu rezeki dan pengalaman yang sangat bermakna apabila terlibat dalam sebuah naskhah yang turut memberi kesan positif kepada diri saya sebagai individu,” kata Arya Saloka.
Digandingkan bersama pelakon terkenal Acha Septriasa menerusi watak Fitri, karakter tersebut menguji kemampuan beliau dalam antara peranan paling mencabar sepanjang kerjayanya. Acha turut melaksanakan sendiri pelbagai babak fizikal, termasuk adegan kerasukan dan merayap di dinding.
Pelakon Acha Septriasa berkongsi, “Sepanjang hampir dua dekad bergelar pelakon, jarang sekali saya berpeluang membawakan watak yang benar-benar mencabar seperti Fitri. Dia seorang wanita yang sedang bergelut dengan kehilangan dan masih mencari kekuatan untuk menerima takdir yang menimpanya. Saya rasa emosi itu sangat dekat dengan realiti sebenar dan itulah yang membuatkan watak ini begitu istimewa. Dari sudut fizikal pula, antara cabaran paling diingati sudah tentu ketika saya perlu menjalani babak merayap di dinding. Pengalaman itu sememangnya antara yang paling sukar tetapi juga paling bermakna sepanjang penggambaran.”
Filem ini turut dibintangi oleh Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara, Widi Dwinanda, Annisa Hertami, Nova Eliza, Oce Permatasari, dan Elvira Devinamira.
Saksikan filem Munafik Melawan Iblis di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Oktober 2026.
Ikuti perkembangan terkini filem ini menerusi platform digital rasmi film.munafik, Skop Productions dan Astro Shaw, dan gunakan tanda pagar #MunafikMelawanIblis.



.jpg)
.jpg)



Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.