MESRA RUN 2.0 CATAT PENYERTAAN DUA KALI GANDA KEPADA 2,000 PESERTA DALAM SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2026 PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

Tuesday, 13 October 2026

MESRA RUN 2.0 CATAT PENYERTAAN DUA KALI GANDA KEPADA 2,000 PESERTA DALAM SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2026 PERINGKAT NEGERI TERENGGANU | Program tiga hari di Mesra Mall menyatukan masyarakat pelbagai peringkat umur dan keupayaan demi gaya hidup aktif dan kesejahteraan mental, dengan 14 acara sukan lain diadakan bersama larian.

KEMAMAN, 12 Oktober 2026 – Mesra Mall telah berjaya menganjurkan Mesra Run 2.0 pada Sabtu, 10 Oktober, dengan menarik 2,000 peserta, iaitu dua kali ganda berbanding kira-kira 1,000 peserta pada edisi sulungnya tahun lalu. 

Dianjurkan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), larian ini merupakan acara kemuncak program tiga hari di Mesra Mall dari 8 hingga 10 Oktober. 

Larian ini dirasmikan oleh Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd yang mengurus Mesra Mall; Cik Aziam Muhammad, Pengurus Besar Mesra Mall; dan Tuan Haji Asmadi bin Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu. 

Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Terengganu pula dirasmikan oleh Datuk Abdul Kahar Abdul Latif, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu. Peserta terdiri daripada 1,455 orang dalam kategori 5KM Fun Run dan 545 orang dalam kategori 10KM, di samping Berjalan Ria Madani 3KM untuk keluarga. Edisi tahun lalu hanya menampilkan larian santai berjarak 5KM.

Memandangkan keadaan jerebu pada hari larian, laluan telah dipendekkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat kualiti udara yang kurang baik. Kategori 10KM dipendekkan kepada 5KM, tanpa sebarang perubahan kepada hadiah. 

“Syukurlah, perubahan ini tidak banyak menjejaskan semangat orang ramai yang memenuhi seluruh kawasan luar Mesra Mall,” kata Cik Aziam. 

Cik Aziam berkata, sambutan peserta, para penyokong dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu amat menggalakkan. “Mesra Run 2.0 turut menjadi kesinambungan kempen kesedaran kesihatan mental kami, yang menekankan kepentingan kesihatan fizikal sebagai salah satu faktor yang menyokong kesejahteraan mental,” katanya. 

Beliau menambah bahawa acara ini merupakan sebahagian daripada usaha Mesra Mall untuk meletakkan bangunan ini bukan sekadar sebagai destinasi membeli-belah, namun sebagai hab komuniti yang menyediakan ruang riadah dan rekreasi untuk keluarga. Selain larian, program yang berlangsung selama tiga hari ini menampilkan sukan rekreasi dan kompetitif serta e-sukan. 

“Tahun ini, 14 acara sukan lain seperti memanah dan badminton diadakan sebagai sebahagian daripada Mesra Run bagi menggalakkan lebih ramai orang menerapkan gaya hidup aktif,” kata Cik Aziam. 

Antara acara yang dianjurkan ialah perlumbaan pushbike untuk kanak-kanak berumur tiga hingga tujuh tahun, bola jaring, woodball, bola sepak, badminton, memanah, dart, catur, bidas, boling tenpin, latihan sukan dron, pertandingan mewarna kanak-kanak serta Karnival Sukan Inspire OKU Aktif untuk orang kurang upaya (OKU). 

Dalam ucapannya, Datuk Abdul Kahar berkata acara ini bertujuan menggalakkan rakyat negeri ini menjadikan sukan dan kecergasan sebahagian daripada kehidupan harian. “Kami mahu penyertaan dalam sukan terus meningkat dan gaya hidup aktif dapat dikekalkan pada setiap masa,” katanya. Bertemakan “Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan”, HSN 2026 turut menekankan penyertaan awam yang lebih inklusif, merangkumi warga emas dan OKU. 

Selaras dengan semangat itu, Mesra Run mengalu-alukan kanak-kanak, warga emas dan OKU, dengan pertandingan untuk setiap peringkat umur serta pameran bagi meningkatkan kesedaran tentang sukan, kesihatan mental dan gaya hidup sihat seperti Terengganu FC, Rakan Muda, Klinik Pergigian Syarifah, TTMC Medical, Farm Fresh dan lain-lain.   

Francis Tan berkata: “Mesra Run merupakan sebahagian daripada agenda nasional, dan penganjurannya di Mesra Mall menyatukan masyarakat untuk membeli-belah, meluangkan masa bersama dan menjadi sebahagian daripada sambutan tiga hari ini, sekali gus menyumbang kepada ekonomi Terengganu secara keseluruhan. Kami memastikan setiap orang mempunyai tempat dalam acara ini, daripada kanak-kanak dan warga emas hingga OKU, kerana kami mahu menggalakkan tubuh badan yang sihat dan minda yang sihat untuk seluruh komuniti.” 

Mesra Mall merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, para penaja dan rakan kongsi, serta komuniti atas sokongan mereka. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila layari www.mesramall.com / www.facebook.com/MyMesraMall.  

**************

Mengenai Mesra Mall 

Terletak di Kemasik, Terengganu, Mesra Mall menarik pengunjung untuk mendalami kehidupan yang unik di Pantai Timur Malaysia. Merangkumi lebih daripada 310,000 kaki persegi, pusat belibelah ini menawarkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, dan telah dikenali sebagai salah satu destinasi utama untuk membeli-belah, rekreasi dan hiburan di Kertih dan kawasan sekitarnya, termasuk Paka, Dungun dan Kemaman. 

Selain daripada aktiviti membeli-belah, Mesra Mall juga menawarkan kemudahan riadah untuk seisi keluarga seperti pusat boling 24 lorong, pusat futsal, gelanggang badminton, dan sebuah dewan serba guna seluas 16,000 kaki persegi yang boleh memuatkan lebih 800 tetamu, bagi memastikan pengalaman 'Membeli-belah yang Mudah dan Mesra' untuk semua. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.