KARNIVAL JOM HEBOH x MSAM 2026 MENUTUP TIRAI DI STADIUM MERDEKA DENGAN PELBAGAI TARIKAN! | Luangkan Hujung Minggu Bersama Keluarga Dengan Pelbagai Aktiviti Menarik, Hiburan Dan Hadiah Lumayan Menanti Sepanjang Tiga Hari Penganjuran!
Kuala Lumpur, 23 November 2026 - Bersedia untuk tiga hari penuh hiburan, aktiviti seisi keluarga dan peluang membawa pulang hadiah lumayan! Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 bakal menutup tirai penganjuran tahun ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad), menerusi kolaborasi bersama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Menggabungkan hiburan, aktiviti komuniti dan pendidikan kewangan dalam satu acara, edisi penutup ini menjanjikan pengalaman yang lebih bermakna buat seisi keluarga, dengan pelbagai tarikan untuk diterokai sepanjang tiga hari.
Memasuki tahun penganjuran ke-23, KJH terus menjadi antara acara padang ikonik negara, dengan pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai “Longest Running Outdoor Carnival”. Kali ini, pentas bersejarah Stadium Merdeka menjadi lokasi pertemuan hiburan dan ilmu apabila pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai aktiviti serta persembahan artis popular, malah dapat mendalami pengetahuan tentang pelaburan dan pengurusan kewangan menerusi pengisian MSAM.
Lebih mengujakan, MSAM turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang pastinya mencuri perhatian. Antara hadiah utama yang menanti ialah sebuah rumah teres dua tingkat di Suasana Bandar Ainsdale, sebuah kereta BYD Seal Performance dan pakej pelancongan bernilai RM50,000. Pengunjung yang memenuhi syarat penyertaan juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah harian sepanjang karnival, termasuk Toyota Vios, Perodua QV-E, motosikal dan pakej percutian. Peluang membawa pulang hadiah bernilai tinggi ini pastinya menambah keterujaan untuk seisi keluarga merancang kunjungan ke KJH Kuala Lumpur 2026.
Bukan sekadar peluang memenangi hadiah, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan bagi memastikan setiap kunjungan dipenuhi pengalaman menyeronokkan. Antaranya Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi Meet and Greet bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV3 & TV9, Pertandingan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak serta Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak. Pengunjung juga boleh menyertai pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, aktiviti Zumba dan Jom Lokal Jam, sebelum menyaksikan acara kemuncak yang dinanti-nantikan, Konsert Jom Heboh, pada malam Sabtu dan Ahad dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air.
Bagi yang gemar meneroka pelbagai jenama dan mendapatkan tawaran istimewa, lebih daripada 150 reruai di luar rangkaian Media Prima turut memeriahkan kawasan karnival. Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Maybank, Sime Darby, Fernleaf, Koko Krunch, Oatlife dan Grab, selain pelbagai lagi produk serta tawaran untuk diterokai. Daripada promosi istimewa hinggalah aktiviti di reruai, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah sambil meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Lengkapkan kunjungan dengan singgah ke Zon foodpanda, yang menghimpunkan pelbagai vendor makanan dan minuman untuk memenuhi selera pengunjung. Dengan aneka pilihan hidangan, zon ini menjadi persinggahan sesuai untuk berehat, menjamu selera dan menikmati suasana karnival sebelum meneruskan penerokaan ke tarikan lain di sekitar Stadium Merdeka.
Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KSWP
Bagi penggemar aktiviti kecergasan, Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP bakal melengkapkan siri penganjurannya bagi tahun 2026 di Stadium Merdeka pada 29 November 2026 (Ahad), bersempena KJH Kuala Lumpur 2026. Selepas menerima sambutan menggalakkan di Kota Samarahan, Miri dan Johor Bahru, acara ini kembali dengan peluang untuk peserta menggabungkan aktiviti riadah, gaya hidup aktif dan pengalaman menyertai karnival dalam satu kunjungan.
Menampilkan kategori larian 5KM, setiap peserta bakal menerima jersi rasmi, pingat penamat eksklusif (finisher medal), beg tote, nombor bib dan pelbagai cenderamata sebagai kenangan penyertaan. Lebih menarik, sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta, di samping peluang beramah mesra bersama pelakon drama, personaliti Media Prima dan selebriti popular yang bakal memeriahkan acara tersebut.
Dengan purata kehadiran melebihi 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, KJH terus menjadi platform yang menemukan masyarakat daripada pelbagai lapisan menerusi gabungan hiburan, gaya hidup, aktiviti kekeluargaan dan pengisian komuniti. Kerjasama bersama MSAM pula menambah dimensi baharu kepada edisi kali ini, dengan peluang untuk pengunjung menikmati hiburan sambil memperoleh pendedahan tentang kepentingan perancangan kewangan.
Konsert Jom Heboh
Sebagai acara kemuncak, Konsert Jom Heboh bakal menghangatkan pentas dengan persembahan barisan artis popular tanah air selama dua malam berturut-turut. Pada Sabtu, 28 November 2026, penonton bakal dihiburkan oleh Man Bai, Bella Astillah, Syamel, Ernie Zakri, Black Hanifah dan Kristal X. Seterusnya, pada Ahad, 29 November 2026, pentas bakal menyaksikan persembahan daripada K.O.I, Drama Band, Mary Grace, Kai Deva dan Floor 88. Dimeriahkan dengan kehadiran hos Kieran, Keymi, Fizi Ali dan Muaz, konsert yang bermula pada 9.00 malam bagi kedua-dua malam ini pastinya menjadi antara tarikan utama yang dinanti-nantikan sempena penutup KJH 2026.
Justeru, orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Jom Heboh x MSAM 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad). Ajak keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati tiga hari penuh aktiviti, meneroka pelbagai reruai, menyaksikan persembahan artis kegemaran serta merebut peluang memenangi hadiah lumayan, sekali gus menjadikan edisi penutup KJH 2026 sebagai pengalaman yang tidak harus dilepaskan.
Gunakan tanda pagar rasmi #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHKL untuk berkongsi detik istimewa anda. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti kami di Facebook dan Instagram menerusi @jomhebohofficial.
.jpeg)
.jpeg)
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.