UNDI DULU, BARU ‘FLEX’! UNDIAN ABPBH 38 KINI BERMULA

Sunday, 15 November 2026

KUALA LUMPUR, 15 November 2026 – Debaran kini memuncak apabila fasa penentuan bagi acara anugerah hiburan pilihan peminat berprestij dan paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-38, membuka tirai undian secara rasmi bermula tepat jam 12.01 tengah malam ini sehingga 6 Disember 2026.

Mengangkat tema ‘Kitalah Bintang’ serta seruan penuh semangat ‘Undi Dulu, Baru ‘Flex’!’, peminat kini memegang kuasa mutlak untuk menentukan nasib calon Top 10 kegemaran mereka merentasi 21 kategori yang dipertandingkan menerusi laman web rasmi di www.abpbh.com.my.

Selaras dengan evolusi era digital dan budaya fandom hari ini yang sentiasa dahagakan penglibatan aktif serta kepuasan melihat idola mereka menjulang trofi, ABPBH 38 menawarkan fleksibiliti maksimum dalam mekanisme pengundian mudah. Setiap peminat yang mendaftar akaun Tonton secara percuma akan menerima 38 mata undian untuk diagihkan kepada calon mengikut strategi masing-masing, sama ada difokuskan kepada satu calon tunggal mahupun kepada beberapa calon pilihan.

Pengarah Projek ABPBH 38 merangkap Pengarang Berita Kanan/Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir berkata, fasa undian ini adalah pentas sebenar buat peminat dan khalayak menterjemahkan sokongan mereka daripada sekadar tanda suka di media sosial kepada undian yang membawa impak besar.

“Dalam landskap hiburan hari ini, peminat bukan lagi sekadar penonton pasif, sebaliknya mereka adalah tulang belakang dan penggerak utama yang menentukan hala tuju kerjaya anak seni. Melalui tema ‘Kitalah Bintang’, kami mahu setiap peminat merasai sendiri kuasa yang ada di tangan mereka.

“Inilah masanya untuk peminat dan penyokong tegar bersatu hati membuktikan kesetiaan mereka. Seperti cogan kata kempen kami, ‘Undi Dulu, Baru ‘Flex’!’ kerana sokongan sejati bukan sekadar sorakan di media sosial, tetapi dizahirkan melalui setiap undian yang bakal menobatkan idola mereka di pentas berprestij ABPBH 38 nanti,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi bahang persaingan serta memberi kelebihan kepada peminat untuk menggandakan sokongan, ABPBH 38 turut memperkenalkan Pilihan Gandaan Undian menerusi pakej langganan dan pembelian produk penaja bersama, Daia:

● Akaun Tonton Berdaftar (Percuma): 38 mata undian
● Langganan Tonton 12 Bulan (RM108): 10,000 mata undian
● Langganan Tonton 12 Bulan & Langganan Akhbar Digital BH 6 Bulan (RM204): 20,000 mata undian
● Pembelian Produk Daia (Minimum RM35): 3,000 mata undian (khas untuk kategori terpilih iaitu Penyanyi Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Evolusi Gaya Ikon DAIA).

Keputusan penuh bakal ditentukan menerusi format pemarkahan yang mengekalkan nisbah 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus penilaian juri profesional. Pemenang yang merekodkan undian tertinggi bagi kategori tunggal dalam kelompok kategori utama bakal dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 38.

Sebanyak 21 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini meliputi pelbagai cabang seni dan kandungan kreatif, termasuk Artis Baharu Lelaki/Wanita Popular, Penyanyi Lelaki/Wanita Popular, Aktor/Aktres Filem Popular, Aktor/Aktres TV Popular, Aktor/Aktres Pembantu Filem Popular, Aktor/Aktres Pembantu TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular, Artis Komedi Popular serta Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular. Turut bersaing dalam kelompok kategori utama adalah Gandingan Serasi Filem/Drama Popular, Pempengaruh Popular, Atlet Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Evolusi Gaya Ikon DAIA.

Malam Kemuncak ABPBH 38 bakal berlangsung secara gilang-gemilang pada Sabtu, 12 Disember 2026 bertempat di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Selangor. Acara berprestij ini akan disiarkan secara langsung pada jam 9.00 malam di TV3 serta penstriman eksklusif di aplikasi Tonton, manakala acara karpet merah akan bersiaran langsung di platform TikTok @MELODITERHANGAT seawal jam 8.00 malam. 

ABPBH 38 menampilkan Daia sebagai Penaja Bersama, dengan sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai rakan radio rasmi, serta platform digital rasmi merangkumi kapsul hiburan BH, Apa Kes? #BHNakTanya, OHBULAN! dan Xtra.

Untuk maklumat lanjut serta terma dan syarat penuh pengundian, orang ramai boleh melayari www.abpbh.com.my atau mengikuti perkembangan terkini menerusi tanda pagar rasmi #ABPBH38 dan #KitalahBintang. 

Sebarang pengumuman untuk acara ABPBH 38, termasuk promosi, tajaan dan malam kemuncak akan dikongsi dan diumumkan dari masa ke semasa.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.