KUALA LUMPUR, 14 November 2026 – Detik yang dinanti akhirnya tiba apabila penyanyi tanah air, Aina Abdul bakal membawa nama Malaysia dalam edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung malam ini di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand.
Sebagai penyiar rasmi Malaysia, TV3 bakal membawakan siaran langsung Eurovision Song Contest Asia 2026 kepada penonton di seluruh negara menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton, bermula jam 9.30 malam.
Pertandingan itu bakal menyaksikan Aina bersaing dengan wakil dari 10 negara lain iaitu Vietnam, Kemboja, Laos, Mongolia, Bhutan, Filipina, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Nepal, dengan Aina dijadualkan membuat persembahan terakhir.
Sejak berangkat ke Bangkok pada 9 November lalu, Aina giat menjalani pelbagai persiapan merangkumi latihan vokal, sesi soundcheck dan persediaan teknikal bagi memastikan setiap aspek persembahannya berjalan lancar. Berbeza daripada persiapan kebiasaannya, Aina kali ini turutmendapat bimbingan daripada guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat yang membantu memantau aspek vokal dan kecergasan fizikalnya.
Peluang beraksi di Eurovision turut merealisasikan impian lama Aina yang mengakui dirinya sebagai peminat tegar pertandingan tersebut, malah sudah mengikutinya sejak Celine Dion membuat persembahan.
“Apabila mendapat tahu Eurovision akhirnya datang ke Asia, saya terus memberitahu pasukan bahawa saya mahu membuat persembahan. Saya sangat gembira kerana impian itu menjadi kenyataan dan saya berpeluang mewakili negara sendiri,” katanya.
Membawa pertaruhan istimewa menerusi Bluest Sky, lagu ciptaan Aina sendiri dengan susunan muzik oleh Mac Chew itu diinspirasikan daripada kucing kesayangannya, Hiro. Merupakan genre power ballad, lagu berkenaan turut menggabungkan elemen muzik Nusantara dengan penggunaan gambus dan seruling.
Dari segi penampilan pentas, Aina bakal mengenakan busana rekaan Melinda Looi yang turut melengkapkan konsep persembahannya. Ketika berkongsi sedikit gambaran mengenai elemen visual yang bakal ditampilkan, Aina memberi bayangan bahawa persembahannya akan melibatkan penggunaan cecair dan sesuatu yang berkilauan, tanpa mendedahkan perincian lanjut.
Dalam pada itu, persiapan teknikal turut menguji dirinya apabila prop persembahannya tiba-tiba gagal bergerak ketika sesi soundcheck kedua terakhir, sehingga menyebabkan Aina terperangkap seketika di dalamnya. Bagaimanapun, Aina memilih untuk melihat kejadian tersebut dari sudut positif sebagai sebahagian daripada proses persiapan sebelum pertandingan sebenar.
“Bagi saya, itu membawa tuah kerana setiap kali menyertai AJL, biasanya ada sesuatu yang berlaku ketika sesi latihan atau soundcheck. Lebih baik perkara itu berlaku sekarang daripada pada hari pertandingan sebenar,” jelasnya.


Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.