ABPBH 38 MENGGEGAR, TEMA 'KITALAH BINTANG' ANGKAT SINERGI PEMINAT DAN PENGGIAT SENI

Monday, 9 November 2026

KUALA LUMPUR, 7 November 2026 – Acara anugerah hiburan pilihan peminat berprestij dan paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-38, kembali menemui peminat dengan mengangkat tema 'Kitalah Bintang'.

Dianjurkan secara konsisten oleh akhbar Berita Harian sejak mula diperkenalkan pada 1987, acara ikonik ini terus teguh memainkan peranan sebagai penanda aras kemasyhuran, bakat dan kualiti penggiat seni tanah air. Sepanjang hampir empat dekad penganjurannya, Berita Harian komited merapatkan jurang antara artis dan peminat, selain mendokumentasikan evolusi industri kreatif tempatan dari era cetakan dan analog, hingga gelombang digital hari ini.

Tema 'Kitalah Bintang' menterjemahkan falsafah bahawa sinar kejayaan sesebuah karya dan artis bertunjangkan sokongan padu peminat. Anugerah ini meraikan kesepaduan antara penghibur, pencipta kandungan dan khalayak merentas generasi, sekali gus menegaskan bahawa setiap individu yang setia menyokong dan menggerakkan industri kreatif adalah "bintang" sebenar.

Bertempat di Ombak KLCC, sebuah destinasi gaya hidup berteraskan seni dan budaya di Presint KLCC, majlis pelancaran ABPBH 38 turut menghimpunkan dunia hiburan dan seni kreatif tanah air. Pemilihan lokasi ini selari dengan aspirasi Ombak KLCC sebagai ruang yang meraikan bakat, kreativiti, dan budaya tempatan.

Pengarah Projek ABPBH 38 merangkap Pengarang Berita Kanan/Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir berkata, legasi 38 tahun penganjuran ABPBH oleh Berita Harian membuktikan bahawa hubungan simbiosis antara peminat dan anak seni adalah nadi kekuatan industri hiburan tempatan.

"Sejak 1987, Berita Harian menggalas amanah sebagai wadah pengiktirafan bakat seni berasaskan kuasa undian peminat. Melangkah ke edisi ke-38, tema 'Kitalah Bintang' menegaskan bahawa status bintang tidak hanya terhad kepada selebriti di atas pentas semata-mata, sebaliknya dipancarkan bersama oleh peminat yang menyokong tanpa henti. ABPBH 38 bukan sekadar medan persaingan populariti, malah suatu perayaan kebersamaan seluruh ekosistem kreatif negara,” katanya pada majlis pelancaran ABPBH 38 di sini, hari ini.

Shamshul Azree berkata, ABPBH 38 membawa pembaharuan dengan memperluaskan takrifan istilah ‘bintang’ selari dengan perubahan landskap dunia hiburan, khususnya kepesatan perkembangan era digital. Dalam era media sosial, kemasyhuran bukan lagi terbatas kepada golongan artis atau selebriti, sebaliknya boleh diraih sesiapa sahaja yang bijak memanfaatkan potensi diri secara kreatif dan positif sehingga berjaya menarik jutaan peminat serta pengikut menerusi bakat dan keunikan tersendiri.

Shamshul Azree berkata, cara masyarakat menikmati hiburan juga semakin berubah apabila pencipta kandungan, pempengaruh dan penstrim langsung muncul sebagai antara sumber hiburan alternatif yang mendapat tempat dalam kalangan khalayak, seiring platform hiburan tradisional yang terus menjadi pilihan.

Sehubungan itu, sebagai pembaharuan untuk edisi ke-38 ABPBH, lima kategori yang sebelum ini diletakkan dalam kategori sampingan, kali ini, dimasukkan dalam kelompok kategori utama, sekaligus membolehkan pemenang bagi setiap kategori, bersaing dalam merebut takhta Bintang Paling Popular berdasarkan undian tertinggi bagi kategori tunggal yang direkodkan.

Kategori itu adalah Gandingan Serasi Drama Popular, Pempengaruh Popular, Atlet Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Anugerah Daia Evolusi Gaya Bintang.

Bagi edisi kali ini, penilaian kelayakan merangkumi produk seni yang diterbitkan sepanjang tempoh Januari 2025 hingga September 2026 yang dinilai oleh Jawatankuasa Penganjur dan Lembaga Juri ABPBH 38.

Secara keseluruhan, sebanyak 21 kategori dipertandingkan membabitkan pelbagai cabang seni seperti Artis Baharu Lelaki/Wanita Popular, Penyanyi Lelaki/Wanita Popular, Aktor/Aktres Filem Popular, Aktor/Aktres TV Popular, Aktor/Aktres Pembantu Filem Popular, Aktor/Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular, Artis Komedi Popular serta Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular. Kategori lain adalah Gandingan Serasi Drama Popular, Pempengaruh Popular, Atlet Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Anugerah Daia Evolusi Gaya Bintang.

Kemuncak persaingan bakal menyaksikan penobatan trofi dambaan ramai, Bintang Paling Popular ABPBH 38, yang dinilai menerusi gabungan undian tertinggi peminat dan markah juri profesional. Pihak penganjur turut mengekalkan anugerah penghormatan berprestij, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan tokoh industri yang telah mencurah bakti dalam pembangunan seni tanah air.

Proses undian melibatkan calon Top 10 bagi setiap kategori akan dibuka mulai 16 November 2026 hingga 6 Disember 2026 menerusi laman web rasmi ABPBH di www.abpbh.com.my.

Setiap peminat yang mendaftar akaun akan menerima 38 mata undian percuma yang boleh diagihkan secara fleksibel sama ada secara tunggal atau kepada beberapa calon pilihan merentasi 21 kategori yang dipertandingkan. Format pemarkahan mengekalkan nisbah 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus penilaian juri profesional.

Malam Kemuncak ABPBH 38 dijadual berlangsung pada Sabtu, 12 Disember 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Selangor. Acara gilang-gemilang ini akan disiarkan secara langsung pada jam 9.00 malam di TV3 serta penstriman eksklusif di aplikasi Tonton, manakala acara karpet merah bersiaran langsung di platform TikTok @MELODITERHANGAT seawal jam 8.00 malam.

ABPBH 38 menampilkan Daia sebagai Penaja Bersama, dengan sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai rakan radio rasmi, serta platform digital rasmi termasuk kapsul hiburan BH, Apa Kes? #BHNakTanya, OHBULAN! dan Xtra.

Sebagai jenama penjagaan fabrik, Daia membawakan mesej utama “Softergent Haruman Bertaraf Dunia dengan Kesegaran Berpanjangan”. Bukan sekadar menanggalkan kotoran degil, Daia juga melindungi fabrik agar tahan lebih lama, di samping memberikan haruman bertaraf dunia yang berpanjangan. Dengan penjagaan menyeluruh ini, pakaian sentiasa segar agar pengguna sentiara bersedia untuk tampil yakin dalam setiap kesempatan.

Penglibatan Daia dalam ABPBH 38 untuk tahun kedua berturut-turut mencerminkan komitmen jenama untuk terus mendekati pengguna menerusi platform yang meraikan bakat, kreativiti dan personaliti popular tanah air. Kerjasama ini turut memperkukuh hubungan antara penjagaan fabrik, hiburan dan gaya hidup, selaras dengan kepercayaan Daia bahawa setiap pakaian wajar diberikan penjagaan terbaik agar pemakainya sentiasa tampil yakin dan bergaya.

Gentle Supreme Sdn. Bhd. ialah pengedar barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) di Malaysia yang mengkhusus dalam produk isi rumah dan makanan. Ditubuhkan pada tahun 1999 dan beribu pejabat di Subang Jaya, syarikat ini mengimport serta mengedarkan jenama terkenal seperti detergen Daia, detergen BOOM dan mi segera Mi Sedaap. Dengan pengalaman pasaran serta rangkaian pengedaran yang luas, Gentle Supreme komited untuk menawarkan produk berkualiti dan inovatif bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia.

Sebarang pengumuman untuk acara ABPBH 38, termasuk promosi, tajaan dan malam kemuncak akan dikongsi dan diumumkan dari masa ke semasa.

**********************

Mengenai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH)

Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah anugerah ’People’s Choice’ yang terunggul anjuran BH yang diadakan setiap tahun bermula pada 1987. Ketika itu, ia dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Bertahan hampir empat dekad, ABPBH menjadi antara anugerah paling konsisten apabila ia diadakan setiap tahun. ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, selain memberi peluang kepada pembaca dan pengikut setia Berita Harian (BH) memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah.

Pencalonan terbuka kepada semua selebriti, pelakon, penyanyi dan penggiat seni termasuk pempengaruh yang bergiat secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing dengan sekurang-kurangnya satu produk yang diterbitkan iaitu Januari 2025 hingga September 2026.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.