EVOLUSI MUZIK ‘EJEN ALI’ MENERUSI GUBAHAN EKSKLUSIF AZRI YUNUS, PENAMPILAN SULUNG IDA RAHAYU DI PENTAS KONSERT

Wednesday, 18 November 2026

Fenomena animasi tempatan, Ejen Ali, kini melangkah ke dimensi baharu menerusi penganjuran acara muzikal berskala besar yang membawa runut bunyi ikonik francais tersebut keluar dari layar skrin terus ke pentas persembahan secara langsung.

Diterajui oleh tulang belakang muzik asal siri ini, Azri Yunus, Ejen Ali in Concert bukan sekadar persembahan nostalgia, sebaliknya satu evolusi susunan muzik yang diangkat ke tahap orkestra dan produksi penuh bagi memberikan pengalaman audio yang jauh lebih mendalam kepada peminat.

Evolusi Muzik & Kelainan Eksklusif Azri Yunus Di Pentas Mega

Sejak kemunculan pertama Ejen Ali, elemen muzik dan skor filem memainkan peranan penting dalam membina momentum aksi serta emosi penonton. Menerusi konsert ini, Azri Yunus mengambil pendekatan berani dengan menyusun semula skor-skor ikonik tersebut ke dalam skala yang lebih megah, menggabungkan elemen elektronik moden dengan instrumen secara langsung.

Menurut Azri Yunus, cabaran utama dalam menterjemahkan muzik animasi ke pentas konsert adalah untuk mengekalkan "roh" dan adrenalin yang sama seperti yang dirasai penonton ketika menonton babak pertarungan atau detik cemas di pawagam.

“Kalau buat muzik untuk animasi, fokus kita memang untuk menyokong visual. Tapi untuk konsert ini, muzik pula yang jadi watak utama. Kami susun semula lagu-lagu ini dalam skala yang lebih besar supaya peminat bukan setakat dengar, tapi betul-betul dapat rasa emosi dan getaran setiap babak depan mata mereka,” ujar Azri Yunus.

Mengulas lanjut mengenai kelainan yang bakal dibawakan khas untuk malam tersebut, Azri Yunus mendedahkan bahawa penonton akan disajikan dengan beberapa gubahan eksklusif yang belum pernah diperdengarkan di mana-mana platform sebelum ini.

“Kelainan paling ketara adalah apabila kami gabungkan elemen tradisional Nusantara dengan bunyi moden dan orkestra secara langsung. Selain itu, ada beberapa medley khas serta segmen gubahan semula lagu-lagu ikonik yang kami olah strukturnya untuk beri kejutan. Semua ini memang eksklusif di konsert ini sahaja,” tambah Azri Yunus.

Kejutan Ida Rahayu: Dari Suara Watak Ke Pentas Nyanyian

Selain susunan muzik luar biasa daripada Azri Yunus, tumpuan utama konsert ini pastinya terarah kepada pelakon suara rasmi watak Ejen Ali sendiri, Ida Rahayu. Buat julung kalinya, Ida Rahayu bakal membuat penampilan sulung sebagai penyanyi di pentas konsert rasmi Ejen Ali.

Ini menandakan satu transisi menarik bagi Ida Rahayu yang selama ini dikenali menerusi lontaran dialog bertenaga dan emosi sebagai ejen muda MATA. Kemunculan beliau sebagai penyanyi dijangka menjadi detik paling beremosi dan dinanti-nantikan oleh para peminat setia yang membesar dengan suaranya.

"Ramai yang mengenali saya sebagai suara Ejen Ali, tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa saya juga menyanyikan lagu Mama. Kesempatan untuk menyanyi buat pertama kali di pentas konsert ini adalah satu cabaran baharu yang saya sahut demi peminat setia Ejen Ali. Hakikatnya, lagu ini cukup dekat di hati saya kerana ia merupakan lagu kegemaran arwah mama yang telah meninggal dunia pada tahun 2020. Justeru, nyanyian ini adalah tanda penghormatan dan hadiah paling bermakna buat arwah.” ujar Ida Rahayu.

Bercerita mengenai persiapan rapi yang dilakukan menjelang hari persembahan, Ida Rahayu mengakui beliau perlu menjalani latihan vokal dan stamina yang berbeza daripada rutin rakaman suara di studio demi memastikan penyampaian yang mantap di atas pentas.

“Persiapan kali ini memang agak mencabar sebab menyanyi secara langsung dengan iringan muzik yang besar perlukan stamina dan kawalan pernafasan yang kuat. Jadi, saya banyak berlatih teknik vokal supaya emosi lagu itu sampai, tapi pada masa sama tidak lari daripada karakter suara yang peminat sudah biasa dengar. Tipulah kalau tak gementar, tapi sokongan pasukan produksi banyak membantu menaikkan keyakinan saya,” ujarnya lagi.

Gabungan visi muzik Azri Yunus dan keberanian Ida Rahayu keluar dari zon selesa membuktikan bahawa harta intelek (IP) animasi tempatan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke cabang hiburan lain. Konsert ini bukan sahaja meraikan kejayaan Ejen Ali, tetapi turut menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran konsert berasaskan runut bunyi animasi di Malaysia.

Bagi peminat setia yang mengikuti perjalanan Ejen Ali sejak musim pertama, persembahan ini menjanjikan satu malam penuh magis yang menyatukan visual, emosi, dan kuasa muzik secara langsung.

Ejen Ali in Concert akan berlangsung pada 28 dan 29 November 2026 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan dua sesi persembahan setiap hari. Bagi sesi Family Fun Day pada jam 11:00 pagi, tiket individu ditawarkan pada harga RM69, manakala Pakej Family Bundle yang merangkumi empat tiket (dua dewasa dan dua kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah) dijual pada harga RM200.

Untuk Konsert Utama pada jam 8:00 malam pula, tiket ditawarkan mengikut kategori tempat duduk iaitu CAT D (RM119), CAT C (RM149), CAT B (RM179 hingga RM238), CAT A (RM269), Premium (RM299) dan VIP (RM369). Jangan lepaskan peluang menyaksikan karya muzik yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Ejen Ali selama sedekad dipersembahkan secara langsung dalam skala orkestra. Dapatkan tiket anda sekarang!

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.