HAEL HUSAINI KEMBALI DENGAN ‘SELESA’, KISAH CINTA YANG TERPAKSA DILEPASKAN DEMI KEBAHAGIAAN INSAN TERSAYANG | Single terbaharu ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh, turut menjadi runut bunyi utama drama bersiri tempatan ‘Suamiku Anak Emak’
KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2026 – Penyanyi dan komposer berbakat, Hael Husaini, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Selesa’, sebuah karya yang mengangkat kisah cinta tidak kesampaian, pengorbanan yang tidak dihargai serta kepedihan melepaskan seseorang yang paling disayangi demi kebahagiaannya bersama insan lain.
Dicipta oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, ‘Selesa’ mengetengahkan kisah seseorang yang terlalu setia dalam mencintai, menjaga dan berkorban untuk insan tersayang, namun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa segala pengorbanannya tidak membawa kepada kebahagiaan yang diharapkan. Lebih menyakitkan, dia sendiri menjadi individu yang membantu insan tersebut menemui kebahagiaan bersama orang lain, meskipun hatinya sendiri terluka.
‘Selesa’ bukan sekadar tentang kesakitan yang dihadapi dalam percintaan, tetapi juga tentang pengorbanan yang tidak terlihat, perasaan yang terpendam dan kekuatan untuk melepaskan seseorang yang dicintai demi kebahagiaannya.
Mengulas mengenai penghasilan single terbaharunya itu, Hael Husaini berkata:
“Bagi saya, ‘Selesa’ ialah sebuah lagu yang sangat dekat dengan realiti kehidupan. Ada masanya, kita terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat dia bahagia, walaupun akhirnya kita sendiri yang terluka. Apa yang lebih menyakitkan apabila kita terpaksa membantu orang yang kita sayang untuk bahagia dengan orang lain, sedangkan kita tahu kebahagiaan itu bukan lagi milik kita. Saya berharap lagu ini dapat mewakili perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini dan menjadi teman kepada mereka yang sedang belajar untuk melepaskan.”
Lebih istimewa, muzik video rasmi ‘Selesa’ menjalani penggambaran eksklusif di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini. Muzik video ini menampilkan penampilan istimewa pelakon popular Malaysia, Anna Jobling, bersama dua pelakon sinetron Indonesia yang semakin mendapat perhatian, Antoni Blanco Junior dan Mahdy Reza. Pengarah berbakat, Prialangga, diberi kepercayaan untuk mengarahkan muzik video ini bagi menghidupkan penceritaan visual yang selari dengan emosi dan mesej lagu.
Gabungan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia ini memberikan dimensi tersendiri kepada muzik video ‘Selesa’, sekali gus memperkukuh penceritaan tentang cinta, pengorbanan dan perasaan yang tidak terluah.
Selepas tampil dengan single ‘Garah’, sebuah kolaborasi bersama Mimi Fly baru-baru ini, ‘Selesa’ menjadi buah tangan terbaharu Hael Husaini dan Iqie Hugh buat para peminat. Menariknya, lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi utama bagi drama bersiri tempatan ‘Suamiku Anak Emak’, yang menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Keith Foo, Izzue Islam dan ramai lagi.
Pemilihan ‘Selesa’ sebagai runut bunyi utama drama tersebut dijangka memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada penonton, khususnya dalam menghayati perjalanan emosi dan konflik yang dipaparkan menerusi jalan ceritanya.
Dalam perkembangan lain, Hael Husaini bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila dijadualkan membuat persembahan di ROUND Festival di Korea Selatan pada 8 November 2026. Penyertaan ini menjadi satu lagi peluang buat penyanyi dan penulis lagu yang telah meraih pelbagai pengiktirafan itu untuk memperkenalkan karya serta bakat muzik Malaysia kepada peminat di peringkat antarabangsa.
Mengulas mengenai peluang mewakili Malaysia di pentas ROUND Festival di Korea Selatan, Hael Husaini meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas peluang yang diberikan untuk membawa karya muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu saya sangat teruja dan bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di ROUND Festival di Korea. Bagi saya, ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi juga sebagai wakil yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Persiapan sedang dilakukan dari segi vokal, susunan persembahan dan pemilihan lagu supaya saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton di sana. Saya berharap dapat berkongsi muzik dan identiti seni saya dengan peminat baharu, di samping membawa pulang pengalaman yang berharga daripada festival ini.”
Kehadiran Hael di ROUND Festival bukan sahaja membuka ruang untuk memperkenalkan bakat dan karya muziknya kepada khalayak antarabangsa, malah menjadi peluang untuk mengukuhkan hubungan muzik antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi persembahan serta sesi pertemuan peminat.
Selain persembahan di ROUND Festival pada 8 November, kemunculan Hael Husaini di Wish 107.5 Bus yang akan diadakan di Namdong Gymnasium, Incheon Korea turut menjadi antara pengisian menarik sepanjang kunjungan Hael ke Korea Selatan, sekali gus memberikan peluang untuk berkongsi muziknya dengan audiens yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
Single terbaharu Hael Husaini, ‘Selesa’, boleh distrim mulai 30 Oktober 2026 di semua platform penstriman digital. Peminat juga boleh menyaksikan muzik video rasmi ‘Selesa’ menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.
Teruskan menyokong perjalanan muzik Hael Husaini dengan menstrim ‘Selesa’ di platform penstriman digital pilihan anda dan menonton muzik video rasminya di YouTube Rocketfuel Entertainment.



Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.