HAEL HUSAINI & MIMI FLY BERSATU DALAM “GARAH”
Wednesday, 30 September 2026
HAEL HUSAINI & MIMI FLY BERSATU DALAM “GARAH” | Rocketfuel Entertainment Satukan Dua Karakter Muzikal Yang Berbeza Dalam Sebuah Karya Pop Nusantara Bernuansa Rock & Hip-Hop
KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2026 – Dua nama besar industri muzik tempatan, Hael Husaini dan Mimi Fly, akhirnya bersatu dalam “Garah”, sekali gus menandakan kolaborasi pertama mereka dalam sebuah lagu.
Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, “Garah” hadir sebagai karya pop moden yang menggabungkan warna muzik Nusantara dengan elemen pop-rock dan hip-hop, menghasilkan bunyi yang bertenaga, dramatik serta sarat dengan nuansa tempatan.
Lebih istimewa, lagu ini turut mempertemukan kreativiti Hael dan Mimi bersama komposer terkenal, Iqie Hugh, yang berganding bahu dalam proses penciptaan untuk menghasilkan sebuah karya dengan identiti tersendiri.
Maksud Di Sebalik “Garah”
Judul “Garah” sendiri membawa makna yang menarik. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, “garah” merujuk kepada senda gurau atau lawak jenaka, selari dengan sisi spontan dan bersahaja yang dapat dirasakan menerusi lagu ini. Namun, di sebalik judul yang kedengaran ringan, “Garah” sebenarnya menyentuh tentang pencarian hati dan sesuatu yang sukar ditemukan.
Liriknya menggambarkan perjalanan mencari sesuatu yang seakan-akan hilang, sedangkan jawapannya mungkin selama ini tersembunyi di dalam diri. Ungkapan “Cinta tersembunyi, di dalam dada” memberikan gambaran tentang perasaan yang dekat tetapi masih belum terungkap, sementara persoalan berulang mengenai ke mana harus membawa hati menambahkan rasa resah dan ingin tahu.
Bagi Hael Husaini, “Garah” membuka ruang untuk beliau meneroka warna muzik yang berbeza bersama Mimi.
“Saya anggap kolaborasi dengan Mimi memang sesuatu yang sudah lama ditunggu kerana ini julung-julung kali kami bergabung dalam sebuah lagu. ‘Garah’ mempunyai warna tersendiri dan kami mahu hasilkan sesuatu yang segar, tetapi pada masa yang sama masih mempunyai rasa tempatan. Gabungan pop, rock dan hip-hop memberikan lagu ini tenaga yang berbeza, manakala liriknya pula mempunyai sisi yang lebih mendalam. Saya harap pendengar dapat menikmati ‘Garah’ bukan sahaja melalui muzik, tetapi juga cerita yang cuba kami sampaikan,” jelas Hael.
Dua Karakter Bergabung Dalam “Garah”
Bagi Mimi Fly, penghasilan “Garah” pula menjadi peluang untuk bereksperimen dengan pendekatan yang lebih bebas, khususnya apabila idea beliau disatukan dengan Hael Husaini dan Iqie Hugh.
“Saya sangat teruja kerana sekian kalinya dapat bekerjasama dengan Hael dalam sebuah lagu. Kami datang dengan karakter dan juga cara kerja yang berbeza, jadi proses penghasilan ‘Garah’ memang menyeronokkan. Saya juga turut terlibat dalam penciptaan lagu ini dan kami cuba mencari keseimbangan antara elemen moden dengan bunyi yang dekat dengan identiti kita. Saya rasa pendengar akan dapat merasakan sesuatu yang berbeza apabila mendengar lagu ini,” kongsi Mimi Fly.
Kekuatan “Garah” terletak pada pertemuan beberapa unsur yang berbeza tetapi tetap berpadu. Sentuhan Nusantara memberikan warna tempatan yang kuat, manakala pop-rock dan hip-hop menyuntik tenaga serta pendekatan yang lebih kontemporari. Gabungan ini membolehkan Hael dan Mimi menampilkan sisi yang mungkin belum pernah mereka terokai bersama sebelum ini.
Kisah Seram MV “Garah”
Jika “Garah” membawa pendengar menyelami persoalan hati, video muziknya (MV) pula mengheret Hael ke sebuah dunia penuh misteri dan keseraman.
Berlatarbelakangkan Hauntu Malaysia @ The Linc KL, pengalaman teater imersif bertemakan “horror” pertama di Malaysia, MV ini menampilkan Hael yang tiba di sebuah hotel lama dan usang. Selepas membunyikan loceng di kaunter, kemunculan lembaga misteri memaksanya melarikan diri, namun setiap cubaan untuk mencari jalan keluar hanya membawa kepada lebih banyak gangguan.
Keadaan bertambah seram apabila Hael ditangkap oleh seorang lembaga wanita lalu dikenakan sumpahan. Dalam usaha mencari jawapan, dia menemukan sebuah buku daftar tetamu lama yang menyimpan petunjuk tentang misteri hotel tersebut, termasuk satu penemuan mengejutkan di halaman terakhir.
Tanpa mendedahkan penghujung cerita, penonton bakal menyaksikan perjalanan Hael yang berubah daripada seorang mangsa ketakutan kepada sesuatu yang tidak pernah dijangka.
Rocketfuel Satukan Dua Dunia Kreatif
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam, kolaborasi Hael Husaini dan Mimi Fly merupakan satu pertemuan kreatif yang memberi ruang kepada kedua-dua artis untuk meneroka sisi baharu.
“Apabila dua artis dengan karakter yang kuat seperti Hael dan Mimi digabungkan, kami mahu memastikan hasilnya mempunyai identiti yang istimewa. ‘Garah’ memberi mereka ruang untuk bereksperimen, bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga melalui dunia visual yang dibina untuk video muziknya. Kami percaya gabungan bunyi, tenaga dan elemen misteri ini akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada pendengar dan penonton,” jelas beliau.
Single "Garah" nyanyian Hael Husaini dan Mimi Fly akan mula dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 25 September 2026. MV rasminya turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Rocketfuel Entertainment.
LIRIK LAGU GARAH



