Kuala Lumpur, 14 Julai 2026 – Impian untuk bergelar pelakon terus menjadi aspirasi ramai apabila Uji Bakat Pencarian Pelakon Tonton Vertical menerima sambutan memberangsangkan dengan penyertaan seramai hampir 300 peserta, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu. Peningkatan ini bukan sahaja membuktikan minat yang terus berkembang terhadap dunia lakonan, malah memperlihatkan kesungguhan lebih ramai individu untuk merebut peluang dalam industri kreatif tempatan.
Berlangsung di Heritage Club, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu, uji bakat ini dianjurkan bagi mencungkil bakat lakonan untuk membintangi produksi Tonton Vertical dan drama TV3 pada masa akan datang. Selain mencari pelakon utama, sesi pemilihan ini turut membuka peluang kepada peserta yang berpotensi memegang pelbagai peranan, termasuk watak sampingan, sekali gus memperluas ruang kepada lebih ramai pelapis untuk melangkah ke industri.
Sambutan kali ini telah menarik penyertaan peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun dari dalam dan luar Lembah Klang, termasuk yang sanggup datang dari Johor dan Pulau Pinang. Turut mencuri perhatian ialah penyertaan dua peserta orang kurang upaya (OKU) yang tampil menguji bakat, sekali gus memperlihatkan semangat dan kesungguhan mereka dalam mengharungi cabaran demi mengejar peluang dalam dunia lakonan.
Bagi menguji keupayaan peserta, setiap individu menjalani ujian lakonan secara berpasangan menggunakan skrip yang disediakan oleh syarikat produksi. Persembahan mereka kemudiannya dinilai oleh panel yang terdiri daripada Shuhaimi Lua, Pengarah dan Penerbit Tanah Beris Film Production; Haji Fadzil Teh, Penerbit Zeel Production; Jalena Rejab, Penerbit Country & Universal; Azlin Rahim, Penerbit Wiranusa Corporation; serta Marlia Zul Amran, Pengurus Besar, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima.
Dalam proses penilaian tersebut, panel memberi tumpuan kepada versatiliti lakonan dan personaliti peserta sebagai kriteria utama dalam mengenal pasti individu yang berpotensi membawakan pelbagai watak mengikut keperluan produksi. Hasil daripada proses tersebut, kira-kira 20 peratus peserta telah disenarai pendek dan akan dihubungi bagi proses seterusnya.
Menurut Puan Marlia Zul Amran, “Apa yang paling menggembirakan kami bukan sekadar jumlah penyertaan, tetapi kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap peserta sepanjang sesi uji bakat. Mereka hadir dengan persediaan yang baik, keyakinan tinggi dan kesediaan untuk mencabar diri. Sambutan yang diterima tahun ini memberi keyakinan kepada kami bahawa masih banyak bakat baharu yang boleh digilap dan diketengahkan menerusi platform seperti ini.”
Melihat kepada sambutan yang diterima, orang ramai boleh terus menantikan lebih banyak peluang uji bakat pada masa hadapan. Uji bakat ini turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan Tonton Vertical yang menawarkan siri mikrodrama dalam format video vertikal dengan jalan cerita yang lebih ringkas, pantas dan mudah diikuti. Selepas pelancaran siri Tonton Vertical pertama, BRU: Masin & Manis, semalam yang bakal menemui penonton mulai 22 Julai ini, penonton boleh menantikan lebih banyak siri tempatan selain menikmati pelbagai mikrodrama Korea dengan judul baharu yang dikemas kini pada setiap hari Isnin.
Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.