Movie Review | Maju Serem Mundur Horor (2025)

Tuesday, 7 July 2026

Pengarah: Chiska Doppert  
Penulis Skrip: Reza Keling, Adi Nugroho, Mo Sidik 
Pelakon:  Mael Lee, Daffa Ariq, Dodit Mulyanto, Yewen, Sara Fajira, Carissa Perusset, Sara Wijayanto, Gary M. Ishak, Kanaya Gleadys, Anif Bulbul, Azul Pratama, Rahut Sitompul
Syarikat Produksi: Makara Production    
Pengedar: Makara Production, Vidio 
Genre: Seram / Komedi  
Durasi Tayangan: 91 minit
Tarikh Tayangan: 23 Oktober 2025    
Trailer:


Filem Maju Serem Mundur Horor mengisahkan tentang empat mahasiswa jurusan perfilman iaitu Poltak (Mael Lee), Bowo (Dodit Mulyanto), Dede (Daffa Ariq), dan Asikin (Yewen) perlu menyiapkan tugasan akhir supaya dapat graduasi tepat pada waktunya. Mereka ingin menghasilkan filem seram tapi ketandusan idea sementara tempoh waktu yang diberikan oleh pensyarah (Gary Iskak) mereka cuma berbaki 3 bulan saja lagi.

Kebetulan, mereka berempat menyelamatkan Tiara (Carissa Perusset) dari diserbu oleh wartawan gara-gara kisah cinta dia yang terkubur. Dari insiden tersebut, mereka mendapat tahu ibu Tiara bernama Nyai Suketi (Sara Wijayanto) adalah seorang dukun yang cantik. Setelah pulang dari rumah Nyai Suketi, mereka berempat mengalami mimpi seram yang sama lantas menjadikan mimpi tersebut sebagai plot utama projek akhir mereka. 

Setelah berjaya memujuk Tiara dan rakan baiknya, Mumun (Sara Fajira), mereka kenetulan terjumpa tapak kubur Belanda iaitu lokasi yang sama seperti di dalam mimpi. Orang kampung melarang mereka menjalani penggambaran di situ tapi semuanya sudah nekad untuk jadikan kawasan tersebut sebagai lokasi utama. Ketika penggambaran berjalan, banyak perkara misteri dan menyeramkan berlaku. 

Filem seram komedi arahan Chiska Doppert menggunakan tema persahabatan yang diadun dalam komedi slapstik. Penggunaan watak mahasiswa menguatkan lagi tema yang dibawa kerana semangat setiakawan yang tinggi ketika zaman belajar dan juga keterdesakan mereka menghadapi pengalaman seram demi lulus pengajian.  

Penceritaan Maju Serem Mundur Horor bergerak laju dengan konflik-konflik yang dimasukkan seperti Poltak yang ingin buktikan dia mempunyai kemahiran dan bakat sebagai pengarah. Ada juga konflik yang datang dari kekangan dana kerana mereka semua cuma mahasiswa tahun akhir. Banyak juga konflik yang timbul tapi ada yang menjadi, ada yang memalukan macam watak Asikin yang boner tengok Tiara. 

Walaupun watak 4 sekawan adalah pelajar universiti tahun akhir tapi muka semua pelakon utama dah senja. Mungkin lama sangat repeat paper sampai pensyarah pun dah jemu tengok muka keempat-empat orang ni. Entah apa malang sangat nasib Tiara dan Mumun terperangkap dalam projek akhir mereka berempat. Masing-masing pun miang tengok Tiara macam miang keladi bila lelaki menginjak masuk umur 40-an. Geli tengok perangai masing-masing satu hal, dialog pun double meaning. Macam mana entah boleh lepas ditayangkan di pawagam. 

Idea untuk menggabungkan watak dari budaya Batak, Sunda, Jawa dan Papua tu dah menarik tapi kembangkan semua watak dalam acuan miang dan menggelikan ni memang tak patut sangat. Boleh sangat ketengahkan budaya masing-masing berhadapan dengan alam mistik. Pretty sure setiap kaum ada amalan dan pantang-larangnya tersendiri. 

Pertama kali tengok Sara Fajira berlakon filem komedi sebab selalunya dia berlakon filem seram macam Para Betina Pengikut Iblis (2023) atau Jagad Alam Gaib: Sinden Gaib (2024) tapi dalam persona Mumun, dia keluar dari kepompong watak yang menakutkan atau ditakutkan. I guess Sara Fajira dah boleh berlakon dalam genre lain sebab dia ada bakat yang lebih besar selain filem seram. 

Watak Tiara dan Nyai Suketi tak ada ruang untuk berkembang pun sebab hidup dalam dunia lelaki gatal. Memang masuk untuk jadi pasu bunga dan ikut telunjuk watak-watak utama walhal ada potensi tersendiri. 

Dari awal sampai ke klimaks memang filem Maju Serem Mundur Horor ada seram dan komedinya tapi bila masuk babak klimaks dah berubah kepada genre drama padahal tak perlu pun. Perubahan yang mendadak dan terkeluar dari landasan asal. Merepek betul sampai nak ke tahap tu padahal boleh sangat habiskan filem dengan momen yang kelakar bila semua dapat grad. 91 minit hadap filem macam ni bukan sesuatu yang mudah.  

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.5, 4. Storyline +0.2, 5. Casting +0.3, 6. Genre +0.2, 7. Themes +0.4, 8. Editing +0.3, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0 = 3.4/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.