MIMI LANA HIDUPKAN KEMANISAN CINTA BERSAMA HERO SEBERANG; BAWA HARAPAN & SEMANGAT KOMUNITI DALAM ‘MOJOKU HILANG!’

Tuesday, 21 July 2026

MIMI LANA HIDUPKAN KEMANISAN CINTA BERSAMA HERO SEBERANG; BAWA HARAPAN & SEMANGAT KOMUNITI DALAM ‘MOJOKU HILANG!’ | ‘Jejak Kehilangan Lembu Mojo Bermula 23 Julai 2026 Di Pawagam Seluruh Negara’

Kuala Lumpur, 20 Julai 2026 – Filem Mojoku Hilang! tampil sebagai sebuah naskhah romantik komedi yang menggabungkan elemen cinta, harapan, pengorbanan dan realiti kekuatan kehidupan komuniti kampung yang sentiasa ada untuk satu sama lain.  Realiti ini menjadi refleksi masa kini yang semakin berubah, di mana nilai kebersamaan tidak sekuat dahulu. 

Bagi mengimbangi emosi jalan cerita, naskhah jujur ini dikukuhkan dengan elemen humor menerusi setiap karakter serta watak ikonik, Mojo, iaitu seekor lembu yang digambarkan sebagai pempengaruh terkenal yang hilang diculik. 

Kisah bermula apabila seekor lembu viral bernama Mojo, hilang di sebuah kampung. Adi, seorang pemuda dari bandar diarahkan mencari Mojo, di samping memikul satu agenda. Adi menyamar bagi meraih kepercayaan orang kampung dan tanpa sengaja jatuh cinta pada Ayu. Adi bagaimanapun meneruskan penipuannya demi tugas dan ‘jiwa’ yang baru ditemuinya di kampung itu. Manakala Ayu, sebagai seorang gadis kampung yang idealistik, sangat lantang menentang syarikat dari bandar yang ingin membolot tanah mereka. 

Diarahkan Min Lim, Mojoku Hilang! bakal menemui penonton bermula 23 Julai di pawagam seluruh negara. Filem ini diterbitkan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films. 

Menurut Pengarah Mojoku Hilang!, Min Lim, yang juga individu yang membangunkan filem ini dari peringkat konsep menyatakan, filem Mojoku Hilang! bukan sekadar filem romantik komedi biasa. Ia adalah sebuah cerita yang membawa nilai-nilai yang dekat kepada masyarakat seperti kepercayaan, pengorbanan, serta tentang memilih untuk melakukan perkara yang betul untuk orang yang kita sayang. Nilai ini tidak hanya bersifat universal, tetapi sesuatu yang wujud dalam fitrah manusia. 

“Ramai yang tertanya mengapa kami memilih seekor lembu sebagai subjek dalam dilem ini. Sebenarnya, lembu adalah sebuah metafora yang mempertemukan semua watak menarik ini. Kami ingin bawa mesej tentang manusia, komuniti dan usaha untuk menemui semula perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa harapan, maka kami telah berjaya menyampaikan tujuan kami.”

Filem ini menampilkan gandingan sulung Mimi Lana (Polong, Mencari Ramlee, The Experts) bersama hero dari seberang, Adipati Dolken (Sang Kiai, Posesif, Teman Tapi Menikah). Menerusi naskhah ini juga, Mimi Lana tampil buat kali pertama menerajui watak romantik komedi dalam filem. Peralihan ini memperlihatkan sisi lakonan Mimi yang penuh warna, sekaligus menambah dimensi baharu dalam kariernya sebagai seorang pelakon. 

Manakala pemenang anugerah Pelakon Terbaik di Indonesia Choice Awards, Adipati Dolken bukanlah asing dalam genre romantik komedi, malah boleh dikatakan genre ini sudah sebati dengan kekuatan lakonannya. Dengan pengalaman yang luas dalam membawa watak-watak sebegini, Adipati tampil dengan keyakinan yang menjadikan karakter Adi terasa hidup.

Himpunan pelakon dengan nama besar dan berpengalaman seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato A. Tamimi Siregar, Haeriyanto Hassan, Tony Eusoff, Farah Ahmad, Gambit Saifullah dan Seha Monica, Ayu Azlina, menambahkan kredibiliti kepada penceritaan serta memberi kualiti persembahan yang kuat.  Turut membuat kemunculan Atilia Haron, dan Alif Satar & The Locos.

Uniknya, filem ini menjadikan negeri Perlis sebagai latar sinematografi utama yang menambah keindahan visual dan identiti tersendiri kepada penceritaan. Mojoku Hilang! turut menerima sokongan padu daripada pihak Kerajaan Negeri Perlis. 

Lagu yang mengiringi babak-babak adalah ‘Inikah Cinta’, di mana lagu nyanyian Alif Satar & The Locos ini digubah semula khas untuk filem ini. Menambahkan lagi keistimewaan runut bunyinya, Mimi Lana turut menyanyi dalam filem buat pertama kali, menerusi olahan semula beberapa lagu ikonik yang menambahkan lagi dimensi emosi kepada jalan cerita.

Saksikan filem Mojoku Hilang! di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai 2026. Ikuti perkembangan terbaru dan klip menarik di semua akaun media sosial Astro Shaw dan Double Vision. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.