Movie Review | Kuncen (2025)

Saturday, 28 March 2026


Pengarah: Jose Poernomo
Penulis Skrip: Jose Poernomo
Pelakon: Azela Putri, Cinta Brian, Davina Karamoy, Thomi Baraqbah, Vonny Felicia, Mikha Hernan
Syarikat Produksi: HERS Productions, Cinevara
Pengedar: Netflix
Genre: Seram / Misteri
Durasi Tayangan: 107 minit
Tarikh Tayangan: 06 November 2025 (Indonesia), 19 Mac 2026 (Netflix)
Trailer:


Awindya (Azela Putri) bimbang dengan keadaan teman lelakinya, Devlin (Thomi Baraqbah) apabila tidak dapat dihubungi setelah mendaki Gunung Merbabu. Dia mengajak Agnes (Vonny Felicia) dan Mojo (Mikha Hernan) untuk menemaninya mencari Devlin di sana. Sebaik saja sampai di desa yang terletak di kaki gunung, mereka mendapat tahu sang Kuncen iaitu penjaga gunung baru sahaja meninggal dunia. 

Tanggungjawab Kuncen itu penting kerana dia menjaga keamanan juga keseimbangan antara manusia dan makhluk alam ghaib di gunung tersebut. Sekiranya Kuncen tiada, penunggu gunung akan mengganggu manusia sama ada dengan merasuki mangsa atau makan bahagian tubuh badan manusia. 

Awindya bertemu dengan Yoga (Cinta Brian) dan Diska (Davina Karamoy) yang juga mendaki Gunung Merbabu tapi terpaksa turun awal kerana Diska demam panas. Yoga setuju dengan plan Awindya untuk naik ke gunung mencari teman-teman mereka yang lain malangnya penunggu gunung menghalang laluan agar tiada manusia yang dapat turun atau naik. 

Mereka berlima terpaksa mencari jalan untuk mencari pengganti Kuncen yang baru secepat mungkin supaya keselamatan rakan-rakan mereka di atas gunung dan juga penduduk di situ terjaga. 

Naskhah seram arahan dan penulisan Jose Poernomo menggunakan tema yang segar iaitu penjaga gunung yang mempunyai tanggungjawab tinggi. Walaupun hanya mitos tapi menarik juga tugas yang jarang diceritakan ni. Kalau dekat Malaysia ada malim gunung tapi tugas dia cuma menjaga pendaki gunung. Itu pun tanggungjawab tak sepenuhnya diletakkan pada malim. 

Menurut filem Kuncen, penjaga gunung dipilih oleh alam bukannya sukarelawan seperti yang Awindya sangka. Nak jadi kuncen pun kena lalui pelbagai latihan untuk persiapkan fizikal dan mental sebelum masuk bertugas. Kelebihan menjadi kuncen sahaja yang tak diceritakan. Kalau Gen Z confirm tak berminat nak jadi kuncen sebab tak ada work-life balance, upah pun belum tentu ada. 

Selain dari babak seram yang wujud kerana gangguan makhluk ghaib di Gunung Merbabu, landskap geografi gunung tu pun mengerikan juga. Keadaan kabus yang tebal, laluan yang sempit dalam hutan tebal atau hembusan angin kuat buatkan suasana terlihat seram dan berbahaya. Dikukuhkan lagi dengan musik latar yang mengerikan. 

Konflik yang dimasukkan juga menarik apabila Kuncen dibunuh oleh bomoh lain semata kerana tamak dan rakus ingin cepat kaya. Bila Kuncen tiada, dapat lah bomoh seru penunggu gunung untuk ganggu penduduk atau orang luar. Bila dirawat, dibalas dengan wang dan kuasa. Tapi bila bersekutu dengan syaitan, bukannya boleh pergi jauh sebab dari azali lagi syaitan bencikan manusia. 

Sayangnya penceritaan filem Kuncen agak lemah sebagai sebuah naskhah kerana watak utama yang dangkal. Mungkin kalau watak utama diubah kepada wanita dewasa dengan personaliti dan cara berfikir yang lebih bijak, filem Kuncen akan tampil lebih menarik. Dari awal pun dah geli dengan dialog perbualan Awindya bersama ayah dia gara-gara risaukan Devlin. Dah boleh agak sangat yang Awindya akan jatuh hati dengan Yoga. 

Tak pasti kenapa Awindya sayang sangat dengan Devlin sampai sanggup bahayakan diri naik ke atas Gunung Merbabu. Tak diceritakan pun kisah mereka berdua dan tak diceritakan juga kenapa Awindya suka dengan Yoga. Bila penulis nak dua watak ni bercinta, kita kena terima mereka tertarik antara satu sama lain. Chemistry pun lemah, lakonan Azela Putri juga lemah. 

Mampu habiskan filem Kuncen ni pun sebab kelakar tengok perangai Mojo dengan Agnes yang diwujudkan untuk elemen komedi. Watak Diska dan Yoga terlihat kuat malah pendirian Diska untuk pulang tanpa bantu rakan-rakan lain dilihat rasional juga relevan untuk situasi besar yang mereka tak mampu nak hadap. Tapi sebab Awindya nak jadi hero, habis orang lain merasa sakit sekali, kesian dekat Agnes lah sampai kena masuk hospital padahal pergi sebab nak hantar Awindya sahaja. 

Untuk tontonan santai semasa beraya, boleh lah layan filem Kuncen. Boleh lah cuci mata tengok Yoga. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.4 = 6.8/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.