‘HILANG DALAM RINDU 2’ KEMBALI MENCUIT HATI, JAZMY & TRACIE TEMPUH CABARAN BAHARU JADI IBU BAPA!

Thursday, 12 March 2026


Kuala Lumpur, 11 Mac 2026 – Selepas kejayaan musim pertama yang memperoleh 9 juta tontonan di televisyen dan 1.5 bilion capaian di media sosial, kisah cinta Aira dan Eijaz kembali menyentuh hati penonton menerusi sambungan drama Hilang Dalam Rindu 2, yang bakal ditayangkan bermula Hari Raya Pertama bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya dan kempen Ramadan Raya 2026.

Satu sesi iftar istimewa HDR2 telah diadakan di Banglo 289, ibu negara bagi memperkenalkan drama tersebut kepada para peminat dan rakan media. Majlis ini bukan sekadar sesi berbuka puasa bersama, tetapi peluang eksklusif bagi peminat untuk berinteraksi lebih dekat dengan para pelakon, berkongsi detik bermakna sekali gus mempererat hubungan antara penonton dan watak-watak dalam drama ini.

Menampilkan gandingan pelakon Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai pasangan utama, drama ini turut dibintangi Zarif Ghazzi dan pelakon senior Jalaluddin Hassan yang menghidupkan kisah penuh emosi tentang perkahwinan, keluarga dan kekuatan cinta selepas melalui pelbagai ujian. 




Hilang Dalam Rindu 2 membuka cerita dengan detik cemas apabila Aira selamat melahirkan anak pertama mereka, Eirman. Namun pengalaman hampir kehilangan Aira (Tracie Sinidol) ketika bersalin meninggalkan trauma mendalam dalam diri Eijaz (Jazmy Juma). Sejak itu, kehidupan mereka sebagai ibu bapa baharu dipenuhi cabaran apabila Eijaz menjadi terlalu melindungi, manakala Aira pula berusaha membuktikan dirinya mampu mengurus keluarga dengan caranya sendiri.

Perbezaan pandangan antara mereka sering mencetuskan pertengkaran kecil, walaupun diselangi detik manis dan lucu dalam kehidupan rumah tangga. Ketegangan semakin terasa apabila kisah silam kembali menghantui keluarga mereka, termasuk kemunculan individu yang pernah melukai hidup mereka sebelum ini.

Hilang Dalam Rindu 2 bukan sekadar kisah cinta suami isteri tetapi juga menyelami trauma, kepercayaan dan perjalanan membina keluarga yang penuh cabaran. Ia turut mengetengahkan aspek keibubapaan, tanggungjawab berkeluarga serta pengorbanan yang perlu dilakukan demi mempertahankan dan menguatkan sebuah institusi keluarga.

Menerusi jalan cerita yang menyentuh emosi, konflik kekeluargaan yang dekat dengan realiti kehidupan serta lakonan mantap barisan pelakon, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hilang Dalam Rindu 2, bermula Hari Raya Pertama hingga Hari Raya Kelima, jam 10.30 pagi di TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.