‘MALAIKAT MALAM’ BAWA NAFAS BAHARU FILEM AKSI MOTOSIKAL DAN CINTA | Gabungan penulis, penerbit dan pelakon hebat Malaysia
Kuala Lumpur, 25 Mac 2026 – Menggabungkan aksi kelajuan penuh adrenalin dengan kisah cinta, filem Malaikat Malam merupakan taruhan terbaru daripada empat penerbit terkemuka Malaysia, Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 26 Mac ini.
Filem ini memberi fokus kepada perjalanan seorang ‘mat motor’ yang berdepan dilema di antara kehidupan yang membentuk dirinya dan impian untuk keluar daripada situasi tersebut. Dalam masa yang sama, kehadiran seseorang yang menjadi ‘cahaya’ dalam hidupnya membuka ruang kepada perubahan yang tidak disangka.
Berbeza daripada filem ‘rempit’ lain yang menumpukan aksi motosikal semata-mata, Malaikat Malam turut memberi penekanan kepada hubungan di antara watak, terutama tentang kesetiaan dan pengorbanan yang mampu mempengaruhi tujuan hidup seseorang. Naratif ini mencerminkan realiti bahawa setiap individu mempunyai peluang untuk merubah kehidupan yang lebih baik walaupun berada dalam dunia yang dipandang negatif.
Malaikat Malam menampilkan pelakon versatil Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan dengan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko. Menerusi watak Azam, Syafiq Kyle buat pertama kalinya menyahut cabaran membawakan karakter seorang ‘mat rempit’, memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan berbeza daripada penampilan sebelum ini.

Turut menampilkan barisan pelakon mantap, termasuk Tracie Sinidol sebagai gadis buta, yang membawa dimensi tersendiri kepada cerita, serta kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan ramai. Pelakon lain yang mencuri tumpuan ialah Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang menjanjikan kombinasi watak yang bertanaga dan meninggalkan kesan.
Malaikat Malam diterajui bakat muda Nazifdin Nasrudin, menandakan penampilan sulungnya sebagai pengarah. Sebelum ini, Nazifdin terlibat sebagai editor dan penulis untuk filem-filem box-office termasuk Sheriff, Malam Terlarang, Reversi dan Soloz: Game of Life. Turut menyokong projek ini ialah pengarah pecah panggung Syafiq Yusof sebagai penerbit, membawa pengalaman dan kepakaran untuk memastikan Malaikat Malam hadir dengan kualiti yang tinggi.

Sementara itu Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Filem Malaikat Malam menyatakan “Kami melihat Malaikat Malam sebagai satu usaha untuk mengangkat semula genre pemotoran dengan pendekatan yang lebih kemas dari segi penceritaan dan pembikinan. Kami memberi penekanan kepada disiplin produksi, kekuatan skrip serta pembangunan watak supaya filem ini tidak hanya bergantung kepada aksi semata-mata. Pada masa sama, penting untuk kami memastikan karya ini mempunyai nilai tontonan yang kukuh dan mampu berdiri sebagai sebuah naskhah yang berkualiti dalam landskap industri perfileman tempatan hari ini.”
Tambah Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Genre pemotoran atau ‘rempit’ sentiasa mendapat tempat di hati penonton tempatan. Melalui Malaikat Malam, kami mempersembahkan versi yang lebih relevan. Filem ini memperlihatkan watak utama lakonan Syafiq Kyle meneruskan legasi watak ikonik ‘mat motor’ dan berpotensi muncul sebagai watak ikon baharu pemotoran. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan rakan penerbit Viper Studios, Skop Productions, dan Primeworks Studios. Gabungan kreatif ini membolehkan kami mempersembahkan filem penuh adrenalin serta menyentuh sisi kemanusiaan dalam konteks impian, pilihan, dan peluang. Kami yakin elemen tersebut menjadikan filem ini dekat dengan penonton.”
Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Puan Nini Yusof berkata, “Kami percaya Malaikat Malam bukan sahaja menawarkan pengalaman tontonan yang berlainan, malah memberikan dimensi emosi dan penceritaan yang lebih mendalam, sekaligus memperkukuh kedudukan filem tempatan sebagai karya berkualiti dan berdaya saing di pasaran.”
Pengarah, Cerita Asal, Skrip, Nazifdin Nasrudin menyatakan filem ini ingin membawa penonton melihat dunia tersebut dari perspektif yang lebih manusiawi. “Sebagai pengarah, saya ingin membawa Malaikat Malam lebih daripada sekadar filem aksi pemotoran. Bagi saya, cerita ini adalah tentang manusia — tentang pilihan, penyesalan dan harapan untuk berubah. Dunia ‘mat motor’ sering dilihat dari sudut stereotaip, jadi saya cuba mengangkat perspektif yang lebih jujur dan berlapis, supaya penonton dapat memahami apa yang mendorong mereka. Saya juga memberi fokus kepada keseimbangan antara aksi dan emosi, agar setiap babak bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga mempunyai jiwa.”
Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna. Ia menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti yang tidak dapat dielakkan.
Nantikan filem Malaikat Malam yang temui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac 2026. Gunakan #MalaikatMalam2026 di semua platform digital dan ikuti perkembangan dan info terkini filem di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.