Tak dinafikan, watak Rizwan dalam Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) merupakan antara karakter yang paling mencuri perhatian penonton, bukan sahaja kerana skil pertarungannya yang mantap, tetapi juga kerana rupa dan suara garaunya yang cukup ‘cool’. Di sebalik watak ini berdirilah figura pelakon suara yang cukup berpengalaman, Azman Zulkiply.
Baru-baru ini, Azman berkongsi pengalaman di sebalik tabir rakaman suara Rizwan, khususnya bagi babak klimaks pertarungan antara Rizwan dan antagonis utama. Dalam satu video yang dimuat naik ke media sosial, Azman memperlihatkan proses rakaman yang dipanggil effort sounds iaitu bunyi-bunyian non-verbal seperti helaan nafas, jeritan, keluhan, ketawa, tangisan dan sebagainya yang memberikan nyawa kepada sesuatu adegan.
Penonton dapat melihat sendiri cara Azman menyusun dan merancang set bunyi bagi satu babak, bermula dengan “breath, launch, attack, thrown, landing to recover” sebelum memulakan rakaman. “Video-video diberikan kepada saya supaya saya dapat samakan pergerakan watak dengan suara saya,” jelas Azman.
Setiap dialog atau bunyi biasanya dirakam dalam tiga hingga empat versi agar pengarah suara mempunyai pilihan terbaik untuk digunakan dalam suntingan akhir. Walaupun kedengaran menyeronokkan, proses ini memerlukan ketahanan fizikal dan tumpuan tinggi, terutamanya apabila melibatkan adegan pertarungan yang panjang atau penuh dengan jeritan.
“Saya sangat suka buat effort sounds sebab proses ni sangat luas dari segi kreativiti, dan macam-macam jenis bunyi kita boleh teroka,” tambahnya.
Satu Suara, Tiga Bangsa
Menariknya, Rizwan bukanlah satu-satunya watak yang disuarakan oleh Azman dalam EATM2. Beliau turut memegang watak General Rama dan Viktor, masing-masing mewakili tiga latar kaum berbeza iaitu Melayu, Cina dan India. Tentunya bukan mudah untuk menghidupkan watak dengan gaya pertuturan dan loghat yang berbeza, namun Azman memiliki kelebihan tersendiri.
“Masa sekolah dulu, saya ramai kawan dari pelbagai kaum. Dari situ saya didedahkan dengan cara mereka bercakap dan intonasi mereka. Jadi bila perlu bawa loghat-loghat etnik untuk watak saya, ia agak mudah sebab saya dah biasa dengar sejak kecil.”
Lebih membanggakan, Azman telah menyuarakan ketiga-tiga watak ini hampir sedekad, merangkumi lebih separuh daripada kerjaya beliau dalam dunia lakonan suara. Tidak hairanlah beliau mampu menyelami setiap karakter dengan mendalam dan memberikan sentuhan yang unik untuk masing-masing.
Memang hebatlah.. Ada tertengok juga klip pasal beliau.. Tak sangka rupanya 3 watak yang menggunakan suara pelakon ini.. Mantap..
ReplyDelete