GARA-GARA BINTANG DRAMA ‘S LINE’ - LEE SOO-HYUK! BUKIT BINTANG ‘HAVOC’ DAN SESAK!

Thursday, 17 July 2025

Pavilion KL bergegar! Jika anda berada di Pavilion Kuala Lumpur petang semalam dan tertanya-tanya mengapa kawasan tersebut berubah menjadi lautan manusia yang menjerit dan bersorak seperti di konsert K-pop, jawapannya adalah kerana Lee Soo-hyuk!

Lebih 2,000 peminat membanjiri Bukit Bintang hanya semata-mata kerana Lee Soo-hyuk!  Keberadaan aktor dan model kacak dari Korea ini mencetuskan gelombang luar biasa di acara eksklusif Galaxy Unfolds Roadshow yang berlangsung di Pavilion KL petang semalam. Ribuan peminat membanjiri ruang legar Concourse Utama bagi menyambut kehadiran bintang kesayangan mereka yang buat julung kalinya hadir ke Malaysia. 

Diterbangkan khas oleh Tonton sempena tayangan eksklusif drama thriller terbaharunya, S LINE, kehadiran Lee Soo-hyuk dinanti dengan sorakan gemuruh dan gelombang peminat yang setia menunggu sejak awal. Pavilion KL mula dibanjiri oleh peminat tegar beliau seawal jam 2 petang walaupun beliau dijadualkan tiba pada jam 5 petang. Ramai sanggup menunggu berjam-jam demi mendapatkan posisi terbaik yang paling hampir dengan pentas utama.  Menjelang jam 3 petang, setiap penjuru Concourse Utama menjadi padat luar biasa; setiap laluan utama, eskalator, dan tingkat atas dipenuhi wajah-wajah penuh harapan ingin melihat oppa kegilaan ramai itu dari dekat.

Detik paling 'gila' berlaku sebelum acara bermula, apabila gelombang peminat yang dahagakan pertemuan dengan Lee Soo-hyuk, bergerak secara beramai-ramai dari Lot 10 menuju ke pintu masuk utama Pavilion KL. Antara yang mencuri perhatian ialah peminat yang mengangkat sepanduk bertulis “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” Dengan sepanduk pelbagai saiz—termasuk sepanduk khas "Tonton❤️Lee Soo-hyuk"—mereka membentuk satu konvoi mini yang penuh semangat, lengkap dengan sorakan dan jeritan, persis sebuah perarakan selebriti yang lazimnya hanya dilihat di kaca TV!

Saat kelibat Lee Soo-hyuk muncul, seluruh Pavilion KL seakan bergegar. Jeritan peminat meletus serentak, ada yang melompat-lompat, dan tidak kurang juga yang dilihat mengalirkan air mata kerana terlalu terharu. Suasana tegang bercampur gembira itu benar-benar menyerupai sebuah konsert K-Pop berskala mini, di mana setiap gerak-geri bintang itu disambut dengan reaksi luar biasa. Di celah-celah keriuhan, terlihat seorang peminat di hadapan pentas menangis teresak-esak, bukti betapa 'gila'nya peminat Malaysia terhadap Lee Soo-hyuk.  Bukan hanya warga kota, ramai peminat juga dikesan datang dari luar Kuala Lumpur, termasuk Pulau Pinang dan Johor, membawa sepanduk besar sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi. Pengorbanan ini jelas menyentuh hati Lee Soo-hyuk.

Aktor tampan ini kelihatan sangat terharu dengan sambutan luar biasa tersebut. Senyuman tak lekang di bibirnya, dan tangannya tak berhenti melambai ke arah peminat yang sentiasa memanggil namanya, dan sempat berkata "I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now. Thanks for supporting me," luahnya, sambil mengakui terkejut dengan lautan manusia yang hadir.  Beliau juga menyatakan harapannya untuk datang semula ke Malaysia, “I hope to visit Malaysia more. Thank you Samsung for giving this opportunity.”

Detik yang paling mencairkan hati pastinya apabila beliau melafazkan frasa keramat dalam Bahasa Melayu, "Aku cinta padamu," yang serta-merta disambut dengan sorakan histeria dan tepukan gemuruh yang memecah gegendang telinga!

Fenomena Lee Soo-hyuk di Pavilion KL ini bukan sahaja memecah kesunyian pusat beli-belah, malah mencetuskan fenomena yang bakal kekal dalam ingatan!  Membuktikan betapa kuatnya pengaruh bintang Korea dan betapa bersemangatnya peminat di Malaysia. 

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan lakonan Lee Soo-hyuk dalam drama thriller terbaharu, S LINE, yang kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton. Dua episod pertama telah ditayangkan serentak dengan waktu siaran Korea pada 11 Julai 2025 lalu.  Jangan lepaskan peluang untuk meleraikan misteri di sebalik dunia S LINE sekarang!

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.