MENJADI AIRA & DIRA, CABARAN EMOSI TERBERAT UNTUK TRACIE SINIDOL

Saturday, 12 July 2025

MENJADI AIRA & DIRA, CABARAN EMOSI TERBERAT UNTUK TRACIE SINIDOL | Diburu Masa Silam, Terperangkap Dalam Cinta Yang Samar — Semuanya Dalam Hilang Dalam Rindu

“Mama…? Mak cik ni siapa?” Begitulah bermulanya kisah penuh misteri dalam drama baharu slot Samarinda TV3 yang mengangkat perjalanan seorang wanita merungkai kembali hidupnya, memori demi memori, untuk mencari kebenaran yang akhirnya menempatkannya dalam keadaan yang cukup mengelirukan.

Diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd serta diarahkan oleh Along Kamaludin, drama 20 episod ini menggandingkan Tracie Sinidol, Jazmy Juma, Qistina Rania dan Zarif Ghazzi dalam sebuah kisah cinta dan penebusan yang diapit pelbagai lapisan konflik. Penonton bakal dibawa menyelami dunia Aira Nadira yang penuh teka-teki dan pergelutan jiwa menerusi Hilang Dalam Rindu, yang akan bersiaran mulai 17 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton http://www.tonton.com.my .

Aira Nadira (Tracie Sinidol), yang kehilangan ingatan, cuba menjejaki semula masa lalunya. Dia tidak mengingati sepuluh tahun terakhir dalam hidupnya, dan lebih membingungkan, dia kini bergelar isteri kepada Nadim Eijaz (Jazmy Juma), lelaki yang langsung tidak menunjukkan sebarang kasih padanya.

Berlatarkan konflik rumah tangga, kisah Aira perlahan-lahan terungkap melalui serpihan memori, hubungan beracun dengan adik iparnya dan satu rahsia besar yang menjadikan perkahwinan itu berlaku bukan atas dasar cinta, tetapi agenda peribadi. Ketika benih cinta mula tumbuh dalam situasi yang serba kabur, Aira terpaksa berdepan dengan kebenaran paling pahit, dan harus memilih sama ada untuk bangkit menentang perkara yang membentuk lukanya sebelum ini, atau berdamai dan membuka lembaran baharu.

Siapa sebenarnya Aira yang dikenali orang ramai sebelum ini? Dan apakah yang telah dia lakukan hingga ramai membencinya, meskipun di saat paling rapuh, ketika dia tidak berupaya mengingati banyak benda?

Menurut pelakon utama, Tracie Sinidol, wataknya dalam drama ini benar-benar menguji kebolehan lakonannya. “Cabaran terbesar adalah untuk menjiwai Aira dalam dua versi yang berbeza. Saya perlu tukar emosi, bahasa tubuh dan intonasi berdasarkan siapa Aira ketika itu, sama ada sebelum atau selepas koma. Setiap emosi perlu dibezakan secara halus, sebab Aira sebelum ini penuh dengan kemarahan dan dendam, manakala Aira selepas koma pula kosong, lembut dan keliru. Secara keseluruhan, pengalaman ini sangat bermakna buat saya dan banyak ilmu yang saya bawa pulang dari set ini.”

Jangan ketinggalan menyaksikan Hilang Dalam Rindu yang akan bersiaran mulai minggu hadapan, kerana dalam setiap ingatan yang hilang, tersimpan rahsia yang belum terjawab.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.