Watak animasi kebanggaan negara, Ejen Ali, terus mencipta sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia di acara berprestij World Expo 2025 yang sedang berlangsung di Osaka, Jepun!
Sebagai simbol aspirasi anak muda Malaysia dalam era digital dan teknologi masa hadapan, penglibatan Ejen Ali di pentas antarabangsa ini bukan sahaja membanggakan industri animasi tempatan, malah menjadi lambang kemajuan bakat kreatif negara yang semakin mendapat tempat di mata dunia.
Kehadiran Ejen Ali dan Ejen Alicia di Pavilion Malaysia menyerlahkan tarikan luar biasa apabila dari jauh pengunjung dari pelbagai negara dilihat sanggup beratur panjang demi peluang bertemu dan bergambar bersama wira animasi ini. Sambutan yang diterima memberi gambaran jelas tentang daya penarik global yang dimiliki oleh IP tempatan ini.
Mewakili kekuatan industri kreatif Malaysia, Ejen Ali tampil membawa mesej sejagat berteraskan nilai keberanian, integriti dan kesetiaan yang mudah difahami dan diterima merentas budaya.
Walaupun ramai pengunjung di Osaka baru pertama kali mengenali watak ini, visual dinamik dan naratif penuh semangat yang dipamerkan berjaya menarik perhatian serta-merta. Malah, tidak kurang yang terus mencari maklumat lanjut mengenai siri ini secara dalam talian, mencerminkan impak pantas dan mendalam yang dicetuskan oleh Ejen Ali.
Antara detik paling menyentuh hati ialah apabila seorang kanak-kanak Jepun kembali ke booth selepas menonton treler dan berkata penuh semangat, “I want to be like him!", satu momen yang menggambarkan kekuatan Ejen Ali dalam menyampaikan aspirasi, inspirasi dan identiti Malaysia secara halus namun berkesan.
Encik Usamah Zaid Yasin, Pengarah Ejen Ali The Movie 2 merangkap Ketua Pegawai Kandungan WAU Animation, turut hadir ke Pavilion Malaysia pada 21 dan 22 Julai 2025. Kehadiran beliau disusuli dengan sesi perkongsian istimewa yang mendedahkan proses kreatif di sebalik pembangunan francais Ejen Ali serta wawasan WAU Animation dalam membangunkan kandungan animasi bertaraf dunia.
Sesi tersebut mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung pelbagai latar belakang, termasuk penggiat industri kreatif Jepun yang menyuarakan minat untuk mengenali lebih lanjut mengenai IP ini, lantas membuka ruang kerjasama dan kemungkinan kolaborasi antarabangsa pada masa akan datang.
World Expo 2025 berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober 2025, dan dijangka menerima lebih daripada 28 juta pengunjung dari seluruh dunia. Sebagai platform yang menghimpunkan idea, teknologi dan budaya antarabangsa, penyertaan Ejen Ali memperkukuh kedudukan Malaysia dalam bidang kandungan kreatif, pendidikan digital serta diplomasi budaya di peringkat global.
Selepas mencipta impak di Indonesia dan kini mencuri tumpuan di Osaka, ke manakah destinasi seterusnya buat Ejen Ali? Yang pasti, kerja kita belum selesai!
wahhh.....tahniah usama melebarkan sayap ke Jepun...
ReplyDelete