RENTAK DUA HATI ARAHAN SITI SALEHA BONGKAR CINTA RENTAS BANGSA? | Cerekarama pertama dari projek Dari Layar Ke Lensa
TV3 mempersembahkan Rentak Dua Hati, telefilem sulung arahan Siti Saleha yang turut menjadi karya pembuka projek khas Dari Layar Ke Lensa sempena ulang tahun ke-41. Mengangkat kisah seorang wanita berhijab yang menjalani dua identiti dan terjebak dalam percintaan rentas bangsa, naskhah ini bersedia menyentuh hati penonton menerusi penceritaan yang tulus dan berani.
Dari Layar Ke Lensa merupakan inisiatif TV3 yang menampilkan empat pelakon tersohor iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang kini mengambil kerusi pengarah untuk memperkaya kandungan tempatan. Dengan mengetengahkan penceritaan yang lahir daripada jiwa dan pengalaman mereka sendiri, projek ini mencerminkan komitmen TV3 dalam memperkasa bakat kreatif tempatan serta membuka ruang kepada naratif segar melalui sudut pandang unik para penggiat seni.
Rentak Dua Hati mengisahkan Adila (Auni Yusri), seorang peguam sivil junior yang menjalani kehidupan sebagai DJ malam secara tertutup. Perkenalannya dengan Fabian (Zhen Ning), seorang lelaki berbangsa Cina, membuka lembaran baharu dalam hidupnya; namun segalanya berubah apabila identitinya terbongkar oleh kakak Fabian yang tidak merestui hubungan mereka. Dihimpit kecaman netizen dan tekanan keluarga, Adila berdepan dilema antara prinsip, cinta serta minatnya, dan harus membuat keputusan untuk masa depannya.
Mengulas tentang penglibatan sulungnya di kerusi pengarah, Siti Saleha berkongsi, “Saya memang seronok mengarahkan cerita ni, dari tulis skrip sampai ke set, sebab cerita ni datang dari hati. Jadi bila masuk penggambaran, saya memang dah bersedia. Cakap pasal kerja mengarah saya ni, saya boleh kata, kalau berlakon penatnya lain, kalau mengarah penat dia lain. Bila mengarah, semua benda kena fikir, lokasi, masa, pakaian, konti dan semuanyalah. Walaupun bukan semua tugas saya, tetap kena tahu.”
“Tentang watak utama dalam cerita ni, Adila, saya rasa ramai boleh relate, terutama wanita yang pernah rasa tertekan atau bergelut dengan pilihan dalam hidup. Dia cuba nampak kuat, tapi sebenarnya banyak yang dia pendam. Jadi saya harap cerita ni dapat buat penonton rasa sesuatu dan beri inspirasi untuk berani jadi diri sendiri,” tambah Siti Saleha.
Bagi Auni Yusri, jadi heroin dalam telefilem pertama arahan Siti Saleha memang satu peluang yang tak disangka. “Saya rasa sangat bertuah bila Kak Saleha pilih saya untuk bawa watak Adila. Sebagai pelakon baru, saya tak jangka akan diberi tanggungjawab besar macam ni. Tapi sepanjang di set, dia banyak bimbing saya dan bagi ruang untuk saya selesa dengan watak ni,“ kata Auni.
Selain Auni Yusri, Zhen Ning dan Khatijah Tan, turut membintangi Rentak Dua Hati, sekali gus menyajikan gandingan pelakon yang cukup segar. Adila kini berada di persimpangan hidup, terikat antara suara hati, tekanan sekeliling dan cinta yang tidak pasti — mampukah dia membuat pilihan yang betul? Saksikan pengakhiran kisah ini dalam tayangan perdana Rentak Dua Hati pada Sabtu ini, 5 Julai, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3.
Tiga lagi telefilem daripada projek Dari Layar Ke Lensa turut menanti anda; Noktah Dosa arahan Fattah Amin (12 Julai), Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai). Setiap satunya menjanjikan penceritaan berbeza, diadun dengan sentuhan peribadi mereka tersendiri. Jadi pastikan anda tidak terlepas menyaksikan kesemuanya, setiap Sabtu, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3!
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.