Apabila kalimat “setia” dinodai… siapa sebenarnya yang harus dituding jari? Akan datang di slot Akasia TV3 minggu hadapan, naskhah terbaharu arahan Jamal Khan, Setia Itu Mahal, bersedia menguji kefahaman penonton tentang makna sebenar kesetiaan yang cukup membelit jiwa.
Diterbitkan oleh Wiranusa Corporation Sdn Bhd, ia mengangkat kisah seorang wanita yang terperangkap di persimpangan antara cinta dan nafsu. Drama 28 episod ini menyatukan barisan pelakon popular tanah air seperti Anna Jobling, Zahiril Adzim, Redza Rosli dan Rita Nadira, dengan skrip hasil penulisan Sophilea.
Dalina (Anna Jobling), seorang pereka fesyen terkenal, hidup bahagia bersama suaminya, Dr Hakim (Zahiril Adzim) dan anak mereka, Alia. Namun, kebahagiaan itu mula tergugat apabila Tengku Farid (Redza Rosli), cinta pertamanya, kembali muncul menagih kasih yang tidak pernah padam.
Biarpun Tengku Farid kini merupakan suami kepada wanita berpengaruh, Tengku Natasya, hatinya dikatakan masih berpaut pada Dalina. Setiap lirikan mata dan setiap bicara seolah-olah menghidupkan semula rasa yang telah lama terkubur dalam diri Dalina. Dalam kelelahan mengurus keluarga, ditambah pula rasa terabai oleh suami yang terlalu sibuk, Dalina mungkin mula goyah.
Ketika Alia jatuh sakit dan Dr Hakim gagal dihubungi, Dalina tiada pilihan selain meminta bantuan daripada Tengku Farid. Adakah panggilan ini akan membawa mereka kembali ke dalam pelukan rasa yang pernah wujud dan mungkin belum pernah mati? Inikah pemulaan titik yang mengaburkan antara setia dan curang?
“Dalina ni seorang wanita yang penuh kasih sebagai seorang ibu dan isteri… tapi dia juga manusia biasa,” ujar Anna Jobling ketika menyelami sisi kompleks watak utamanya dalam Setia Itu Mahal. “Dia tak sempurna. Dia bergelut nak faham apa yang dia rasa dan dalam usaha nak buat yang terbaik, dia makin keliru dengan suara hatinya.”
Bagi Anna, kekuatan Dalina terletak pada hakikat bahawa dia bukan mangsa dan dia sendiri tak pernah cuba menjadi satu. “Dia cuma terperangkap dalam dilema yang tak pernah dia minta… antara cinta lama yang muncul tanpa dijemput, dan kesetiaan yang semakin menjauh.”
Jangan lupa tandakan kalendar anda! Setia Itu Mahal bakal menemui penonton mulai 28 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Strim juga episod baharu secara percuma di iQIYI, bermula jam 8.00 malam.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.